Tuesday, 31 January 2017

BIHUN GORENG HAILAM ...Sarapan pagi yang menyelerakan


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Selepas gelidah peti sejuk beku terperasan ada baki Udang Kertas yang saya beli hari tu
Emmm...
Nak masak apa ya...

Kalau buat BIHUN GORENG HAILAM sedap juga kan !
Kebetulan dah lama tak makan..

Jom...
Memang menyelerakan sungguh bihun goreng pagi ini
Kenyang sampai tengahhari..

Mari ikut kedapur, kita tenguk resepi lengkap...


Bahan A ( Untuk 2 orang makan)
1/4 bungkus bihun (direndam 1/2 jam)
Segenggam taugeh (jika suka)

Bahan B
sedikit minyak untuk menggoreng
3/4 mangkuk kecil udang kertas (yang bersaiz kecil)

Bahan C 
1 biji bawang besar (dihiris sederhana tebal)
4 ulas bawang putih (diblend kering)
3 biji cili kering (diblend kering)

Bahan D
1 camca besar sos tiram
2 camca besar Kicap Manis ABC
2 camca besar kicap masin
1/2 camca teh lada hitam
Air secukup nya supaya bihun kita sedikit berkuah

Bahan E
4 ekor udang besar (dibuang kepala dan kulit nya)
sedikit sayur (kucai atau lobak merah atau sawi)
sedikit minyak bijan

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Udang kertas kecil tidak perlu dibuang kepala, kulit dan ekor nya. Cuma di basuh bersih sahaja.
2. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng sehingga garing. Semasa menggoreng ini aroma udang akan keluar semerbak nya.
3. Angkat dan toskan minyak nya dan masukkan kedalam blender dengan sedikit air dan blend sehingga halus. 
* Kulit-kulit udang yang digoreng garing akan hancur, jadi tidak perlu ditapis lagi.

4. Panaskan kembali minyak goreng udang tadi dan tumis hirisan bawang besar. Goreng sehingga layu.
5. Masukkan bahan C yang lain dan goreng sehingga hampir keperangan.
6. Masukkan bahan D dan masak sehingga kuah mendidih kembali.
7. Masukkan bihun, udang besar dan sayur. Ratakan semua, tutup tudung kuali dan perlahankan api supaya bihun masak dengan sempurna dengan wap yang terperangkap selama lebih kurang 5-6 minit/
8. Selepas 5 minit, renjis minyak bijan dan ratakan kembali.
9. Siap untuk dihidangkan.

~FHA Selemak Santan

Monday, 30 January 2017

KARI AYAM NASI KANDAR .. Mamak Haji


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Hari ini saya sediakan lauk KARI AYAM NASI KANDAR.
Resepi ini saya ambil dari FB Mamak Haji.
Rasa nya ?
Umphhhh !!!!
memang marvelous  !

Lagi-lagi sedap ada nya Kas-kas dalam masakan ini.
Kebiasaan nya masakan mamak memang dimasukkan bahan ini untuk melemakkan kuah masakan.

Kebetulan pula stok Yogurt saya masih ada lagi, jadi saya masukkan sedikit untuk menggantikan santan.
Memang sedap..
Lepas makan nasi, siap meratah lagi isi ayam sambil calit-calit kuah kari yang lemak ni.

Rasa macam tak cukup pula masak kali ini

Terima Kasih Mamak Haji atas perkongsian resepi

Jom ... Kalau nak tengok resepi asal di sini KARI AYAM NASI KANDAR

Resepi dibawah saya olah sedikit untuk 1/2 ekor ayam dan menggunaakan bahan yang ada didapur.


Bahan A
1/2  ekor Ayam (di potong kepada 6 ketulan dan dibersihkan)
2 biji kentang sederhana besar (di buang kulit dan di belah 4)
1 liter air atau megikut kepekatan yang disukai (sebagai kuah)

Bahan B
3 sudu besar minyak masak untuk menumis
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
4 kuntum bunga cengkih

Bahan C
1 helai daun pandan  (dikerat sepanjang 2 inci)
1 biji bawang besar (dihiris)
1 sudu besar pes 'halia bawang putih'.
2 tangkai daun kari

Bahan D (Satukan semua jadikan Pes)
2 paket serbuk kari ayam/daging Babas  *saya menggunakan jenama 'Hang Tuah' 50g
1/2 sudu besar serbuk jintan putih
1/2 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk cili
1/2 sudu besar serbuk kas-kas (optional)
2 keping asam gelugor * saya tambah
sedikit air


Bahan E
1/2 cawan santan pekat (optional) * Saya gantikan dengan 3 camca besar Yogurt
1 biji Tomato (dipotong dan dipenyekkan).
1 biji cili hijau (dibelah dua) * Saya gantikan dengan cili merah sbb tiada stok
1/2 sudu besar garam masala *saya tak masukkan sbb tiada stok
1/2 kiub pati ayam * Saya Tambah
Sedikit garam
2 tangkai daun pudina

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan B sehingga terbit aroma.
2. Kemudian terus masukkan daun pandan dan perlahankan api dapur.
3. Masukkan hirisan bawang dan goreng sehingga ia bertukar kepada warna keemasan baru dimasukkan pes 'halia bawang putih' dan daun Kari.
4. Bila campuran ini mula keluarkan aroma terus masukkan pes rempah (bahan D). Kecilkan api supaya rempah tidak hangus. Masak sehingga terbit minyak dan rempah menjadi pekat.
4. Masukkan ketulan ayam dan sebatikan  dengan bahan rempah.
3. Masuk segera air diikuti ubi kentang. Besarkan api dan biarkan kuah mendidih selama 10 minit.
4. Kecilkan api dapur dan biarkan ia dalam keadaan reneh 5-10 minit lagi atau sehingga ubi kentang dan ketulan ayam masak sempurna.

Jangan masak terlalu lama kerana jus ayam akan kehilangan dari dagingnya. 
Sekiranya kuah anda pekat dan ingin cairkan jangan gunakan air biasa tetapi gunakan air mendidih. Bila gunakan air biasa kari anda akan wujudkan dua lapisan, dengan rempah kari akan terapung di atas permukaan atas dan air dibawah.

5. Masukan santan (saya masukkan yogurt), tomato, cili hijau/merah dan garam masala dan perasakan dengan garam/kiub ayam. Kacau rata supaya minyak tidak terapung di atas permukaan kari.
6. Bila kuah kari mula mendidih semula, terus padamkan api.
7. Tabur dengan daun pudina di atas kari dan tutup tudung periuk supaya aroma nya terperangkap.

Nota: kepekatan kari anda tertakluk berapa lama jangka masa kari disediakan .
Gelatin yang dihasilkan oleh collegen ayam semasa proses renehan kari akan memekatkan kari anda.
Collegen ayam terdapat banyak pada bahagian kaki dan leher.

* Selamat Menjamu Selera ...


Sunday, 29 January 2017

KERIA MONTOK GULA RANGGUP ..Tips menjadikan ia montok dan ranggup !



Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Pagi ini sarapan cucur keria lagi
hehehe...

Ada yang dah jemu ?
Tapi saya masih belum ....

Maklum baru dapat beli Keledek Kuning
Jadi semangat nak buat cucur keria datang lagi...

Mana boleh tahan tengok sahabat-sahabat lain asyik tayang keria montok-montok
hehehe...Jelous

Kali ini buat tak banyak
~ 240 gram ubi sahaja.

Resepi yang ini lebih kurang sama saperti KERIA GULA MERAH, KERIA GULA TABUR  dan KERIA KAYU MANIS yang saya sediakan hari tu tetapi kali ini saya menggunakan ubi keledek kuning dan bukan nya keledek Oren.

Perbezaan antara ubi keledek kuning dengan keledek oren adalah ia kurang menyerap air.
-Selepas direbus isi nya tidak selembik ubi oren.
-Penggunaan tepung semasa menyediakan doh pon tak banyak.
-Mudah dibentuk.
-Tidak memerlukan minyak atau tepung semasa membentuk kerana ia tidak melekat ditangan.
-Tidak memerlukan minyak atau tepung untuk diletakkan pada dulang.

Jadi jika inginkan keria yang montok-montok atau tembam-tembam;  saya sarankan guna lah keledek kuning

Masalah nya keledek kuning memang susah sangat nak cari dipasaran
Yang ini pon kebetulan saja. ..
Yang banyak keledek oren kan

Untuk menjadikan gula diluar ranggup dan tidak melekit pula...
-Pastikan air gula cukup-cukup dengan kuanttii keria yang digoreng. Jangan pula berlebihan.
-Jangan cair
-Semasa proses menyira, apabila air gula sudah bersalut cantik, akhir sekali taburkan sedikit 'tepung beras campuran' pada keria tersebut dan terus mengacau dengan api pelahan sehingga kering.

Pastikan guna 'Tepung Beras Campuran' ya...
Bukannya Tepung Beras' biasa tau !!!!!

Kalau nak tahu sebenarnya tepung beras ada beberapa jenis, boleh rujuk di sini Jenis-Jenis Tepung di blog Kak Wan
Tumpang Kongsi ya Kak Wan.  Terima Kasih !!!

Saya menggunakan Tepung Beras Campuran (Cop 1 ekor Gajah)


OK Jomm kita kedapur ....



Bahan A
Minyak untuk goreng tenggelam
240 g ubi keledek kuning (berat bersih ~200g)
anggaran 30 g Tepung Gandum
5 g Tepung Beras Campuran (cap 1 gajah)
sedikit garam

Cara-Cara Menyediakannya
1. Keledek dibuang kulitnya, dibasuh bersih dan masukkan kedalam periuk, tambahkan air sehingga tenggelam dan rebus sehingga empok. Semasa pertengahan rebusan, balik-balikkan ubi supaya ia masak sekata.
2. Cucuk ubi dengan hujung pisau atau garfu, jika ia menjunam dengan mudah ini menandakan ubi telah empok. Padamkan api dan toskan air nya.
3. Semasa ubi masih panas, tumbuk atau lenyek ubi sehingga hancur.

4. Masukkan garam, tepung beras dan tepung gandum sedikit-sedikit dan gaul sekata menggunakan senduk atau camca. Agak-agak adunan dah boleh dibentuk tak perlu lagi masukkan tepung.
* Elakkan menggunakan tepung terlalu banyak kerana texture cucur akan menjadi keras. Agak-agak sahaja
* Elakkan menggunakan tangan semasa menguli

Cara Membentuk
5. Ambil secubit adunan ubi anggaranr 30g, bulat-bulatkan dan lubangkan ia menggunakan copstick.
6. Buat sehingga habis.

7. Panaskan minyak dalam kuali non-stick.
8. Goreng cucur sehingga masak. Balik-balikkan supaya ia masak dengan sekata.




PROSES MENYIRA

Bahan B
1/2 keping gula melaka (pecah-pecahkan)
2 camca besar gula putih
1/4 cawan air

Bahan C
anggaran 1 - 2 camca kecil 'Tepung Beras' Campuran (cap 1 gajah)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan bahan  B dalam kuali. Masak sehingga gula hancur, pekat dan berbuih-buih.
* Jika gula masih belum hancur, tambahkan sedikit lagi air.
2. Masukkan kesemua cucur kedalam kuali dan balik-balikkan ia supaya gula bersalut dengan sekata.
3 Apabila gula bersalut cantik dan agak kering, akhir sekali 'tabur' dengan sedikit tepung beras dan ratakan lagi.
Masukkan 1 sudu dahulu dan jika rasa perlu sedikit lagi baru ditambah.
Jangan terlalu banyak pulak ya..Agak-agak sahaja.

4. Masak dengan api perlahan sehingga air gula betul-betul kering dan menjadi ranggup.
5. Angkat dan boleh dihidangkan.

* Selamat Menjamu Selera ...


Saturday, 28 January 2017

AYAM SAMBAL YOGURT ... kesukaan keluarga


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Hari ini tak nak celoteh panjang.. maklum Chinese New Year
Semua bercuti kan ...

Cuma nak kongsi resepi AYAM SAMBAL YOGURT.
Ayam goreng yang dimasak dengan kuah sambal yang pekat ini memang amat menyelerakan.

Jomm...kita terus masuk ke dapur!



Bahan A (diperap 1/2 Jam)
1/2 ekor ayam (dipotong sederhana besar)
sedikit serbuk kunyit
sedikit garam

Bahan B
8 biji cili kering
10-12 biji cili padi merah (boleh dikurangkan atau digantikan dengan 5 cili merah biasa)
1/2 sudu kecil jintan manis
1/2 sudu kecil jintan putih
1/2 sudu kecil lada hitam biji
1/2 sudu kecil lada putih biji
1 sudu kecil ketumbar biji
1 inci halia
sedikit air

2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih

Bahan C
minyak untuk menumis
2 batang serai (di ketuk lebam)
2 camca besar yogurt
1 biji bawang besar (dibelah 8)
2 camca besar madu
sedikit garam

Cara-Menyediakan nya
1. Satukan bahan A dan diperap 1/2 jam dan digoreng dengan api perlahan sehingga masak.
Pastikan tudung kuali ditutup semasa proses menggoreng untuk memastikan ke'mois'an ayam kekal.
Kita tak nak isi ayam menjadi keras.

2. Satukan kesemua bahan B kecuali bawang merah dan bawang putih. Kisar sehingga halus baru dimasukkan bawang merah dan bawang putih dan di kisar selama 2 saat stop, 2 saat stop dan 2 saat  stop. Tujuan nya supaya bawang tidak terlalu hancur, hanya sekadar pecah-pecah sahaja.
Boleh juga ditumbuk jika mahu.

2. Panaskan minyak didalam periuk dan tumis bahan B yang telah dikisar tadi. Masukkan serai dan masak sehingga pekat dan terbit minyak.
3. Masukkan yogurt, sebatikan sehingga rata baru dumasukkan ayam yang telah digoreng tadi.
4. Masukkan bawang besar, madu dan perasakan dengan garam.
5. Apabila kuah mendidih semula barulah padamkan api dan boleh dihidangkan.

* Selamat Menjamu Selera ...


Friday, 27 January 2017

APPLE POPIAH ... Ranggup diluar dan manis beraroma didalam


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Salam Jumaat hari yang penuh barokah !!

Hari ini projek menghabiskan apple yang telah saya beli beberapa hari lalu.
Perancangan awal asal nya nak buat APPLE PIE.
Maklum dah lama tak makan

Tapi tak kesampaian kerana tak jumpa Kulit Pie jenama KAWAN
Dah merata di cari !
Rasa macam pernah tengok ada dijual di salah satu pasaraya di kawasan saya ini

Di.........
Tesco extra tak ada
Maidin pon tak ada
Pasaraya ORY pon tak ada
Cuma tak berkesempatan nak ke Eon Big lagi
Mungkin dah habis kot ....

Nak menguli rasa malas pulak !
Malas rasa nya nak keluarkan alat / mesin penguli
Jadi sebagai alternative saya beli saja kulit popiah sebagai ganti

OK juga
Ranggup diluar dan lembut, manis dan beraroma di dalam.

TIPS penting...
Inti untuk popiah ini tak boleh terlalu banyak kerana ia akan keluar dan melekit semasa digoreng nanti.
Kena sedang-sedang saja...
Memadai 1 camca kecil

Jom....


Bahan A
Kulia popiah secukup nya
* Pastikan kulit popiah ditutup dengan tuala lembab untuk mengelakkan ia kering apabila terdedah diudara

Bahan B (inti)
2 biji epal hijau (epal merah kurang sesuai kerana isi nya akan lembik)
3 camca besar gula putih
1/4 cawan air

1/2 camca teh serbuk kulit kayu manis
1 camca besar tepung jagung
1/4 cawan air

Cara-Cara Menyediakan inti
1. Apple dibuang kulitnya dan dipotong kepada kiub-kiub kecil.
2. Satukan apple, air dan gula dalam periuk dan masak dengan api yang sederhana sehingga gula larut.
3. Masukkan kulit kayu manis dan ratakan.
4. Bancuh tepung jagung dengan sedikit air  dan masukkan kedalam inti yang sedang mendidih.
5. Kacau-kacau sehingga inti menjadi pekat.
6. Angkat dan tuang kedalam penapis untuk mengasingkan cairan lebihan.
Lebihan jus apple yang ditapis boleh digunaan sebagai pelekat semasa membalut popiah.

Cara-Cara Membalut
1. Ambil sekeping kulit popiah.
2. Calit sedikit jus apple ditepi kulit di bahagian atas yang mana tujuan nya supaya memudahkan proses membalut / melipat.
3. Letakkan 1 camca sudu kecil inti dipenjuru bawah.
Pastikan Inti tidak boleh terlalu banyak kerana ia akan keluar dan melekit semasa digoreng.
Biar ala kadar sahaja.
4. Lipat ke atas disusuli kedua bahagian tepi dan teruskan menggulung.
5. Buat sehingga habis.

6. Panaskan minyak dalam kuali dengan api yang sederhana.
Minyak yang kurang panas akan menyebabkan kuih menyerap minyak.
Terlalu panas pula boleh menjadikan popiah masak tidak sekata menyebabkan kurang ranggup didalam.

7. Bila agak-agak dah masak boleh lah terus diangkat untuk dihidangkan
Elakkan mengoreng terlalu lama kerana  inti akan keluar dari kulit.

* Selamat Menjamu Selera ...





Thursday, 26 January 2017

NASI GORENG ARAB ... Simple, Sedap & Selera Sungguh !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

NASI GORENG ARAB ini saya saji kan bersama dengan AYAM PANGGANG YOGURT yang telah saya share pagi tadi DI SINI

Nasi putih yang amat beraroma dengan rempah empat sekawan, sedikit hirisan halia dan yang penting menggunakan Minyak Sapi 'Ghee Blend'.

Pastikan menggunakan minyak sapi 'Ghee Blend' ya.
Jangan sekali-kali menggantikan dengan butter, marjerin mahu pon yang sewaktu dengan nya kerana anda tak akan dapat rasa yang sepatutnya.

Saya pernah share resepi sebelum-sebelum ini tetapi ketika itu saya tambahkan sedikit daun kari.
NASI GORENG ARAB ini juga sedap kalau dimakan dengan Ikan Goreng Panas.
Boleh juga kalau nak makan dengan Ayam Goreng biasa tu..

Jomm...


Bahan A
1 mangkuk besar nasi putih (berada pada suhu bilik)
2 biji bawang besar (dibelah2 dan dihiris sederhana tebal)
1/2 sudu teh lada hitam biji (Biarkan sebiji-sebiji)
sedikit garam

Bahan B
3/4 camca besar minyak sapi 'Ghee Blend'.
1 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
1/2 inci halia (dihiris nipis memanjang)
4 ulas bawang putih (dihiris nipis)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak sapi dalam kuali dan tumis bahan B sehingga terbit aroma.
2. Masukkan bawang besar dan kacau sehingga layu.
3. Masukkan nasi, perasakan dengan garam dan gaul sehingga rata sebelum diangkat untuk dihidangkan bersama AYAM PANGGANG YOGURT.

* Selamat Menjamu Selera ...


AYAM PANGGANG YOGURT .. Sedap sangat ! Cukup semua rasa.


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Semalam berlaukkan AYAM PANGGANG YOGURT.
Lama sangat teringin nak cuba resepi ayam ini !

Resepi asal disini ....Ayam Bakar Yogurt resepi Puan Zila

Cukup lengkap segala rasa... manis, masin, lemak dan masam yogurt dan terasa pedas hanya dihujung lidah saja.
Awal nya risau juga kalau-kalau nanti rasa ayam yang terhasil sedikit masam maklum kita menggunakan yogurt.
Tetapi jangkaan saya meleset..
Apabila diblend semua rasa, memang marvelour sangat-sangat.

Ramai yang dah cuba ...
Maklum balas yang diterima ... memang yummy sangat-sangat !!!

Bahan utama yang digunakan tentulah Yogurt.
Yang menyebabkan keinginan ini tertangguh-tangguh dulu adalah kerana selalu lupa nak dibeli bila kepasar raya.

Resepi ini tak menggunakan bawang langsung ya..
Kepada yang belum pernah rasa saya cadangkan cuba lah !
Memang berbaloi-baloi sedap.

Terima Kasih Puan Zila


Bahan A 
1 ekor ayam (dipotong 4)
1 cawan yogurt
3 sudu makan minyak zaitun (kalau tak ada minyak biasa pun boleh)
2 sudu makan jus lemon
2 sudu gula ( * saya gantikan dengan madu)
1 sudu makan serbuk cili
1 sudu makan jintan manis (di tumbuk)
1/2 sudu makan jintan putih  (di tumbuk)
1 sudu makan  rosemarry  (di tumbuk)
1 sudu makan ketumbar biji  (di tumbuk)
1 sudu makan lada hitam biji  (di tumbuk)
1 inci halia  (di tumbuk)
1/2 sudu serbuk kunyit
2 batang serai (di ketuk lebam)
garam sedikit sahaja

Cara-Menyediakan nya
1. Satukan kesemua bahan diatas dan lumur pada ayam. Perap selama 1 hingga 3 jam.
2. Letakkan dalam dulang pembakar yang di alaskan dengan aluminium foil.
3. Panaskan oven dengan suhu 190 C (api atas/bawah tanpa kipas)
4. Bakar sehingga masak dan garing..lebih kurang 50 minit ikut pada oven masing-masing (saya masak ~ 1 jam).
* 30 minit pertama alihkan ayam supaya ayam masak dengan sekata .

* Selamat Menjamu Selera ...


Wednesday, 25 January 2017

100 ++ MENU DULU-DULU DI-MAJALAH SAJI ... Jom dapatkan segera !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Dah beli Majalah SAJI untuk bulan Februari ni ?

Kalau belum.. jom ke kedai  !

Edisi Februari ini, Majalah SAJI mengutarakan Menu Dulu-Dulu yang penuh nostalgia dan boleh dijadikan panduan kita dan generasi hari ini dalam penyediaan  juadah untuk keluarga tersayang.



Secara peribadi saya memang amat gemar menikmati lauk pauk dulu dulu yang mempunyai rasa asli, yakni tanpa sebarang perasa tambahan mahu pon tiruan.

Kemanisan dan kelemakan masakan bergantung sepenuh nya kepada bahan-bahan yang digunakan dan cara penyediaan masakan tersebut.



Ada resepi Kari Sembilang Ubi Kemili, Sambal Garing Pucuk Ubi, Gulai Tulang Kulit Rambai, Pecak Jantung Pisang, Asam Rebus Ubi Kayu, Telur Ayam Pencek Lemak Lada Hitam, Acar Belut Masin, Tumtuman, Gablog dan banyakkkkkkkkk.... lagi !

Dalam 100 ++ resepi yang dipaparkan saya turut menyumbang 6 resepi kegemaran saya dan keluarga.

Terima Kasih kepada Puan Rosmarlinda Kamarudin kerana sudi mengundang saya untuk mengisi slot 'Intai Blogger'.

OK...
Jom beli... banyak resepi-resepi menarik untuk kita cuba !!!



Tuesday, 24 January 2017

TELUR AYAM PENCEN GORENG BUNCIS ...suka yang simple tapi sedap !



Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Lagi sekali kita berlaukkan telur ayam tua..
Sedap sangat !!! 
Suka ! Suka !  Suka !

Saperti yang saya ceritakan dalam entry terdahulu, 'Telur Ayam Pencen' atau 'Telur Ayam Tua' ini adalah telur yang berada dalam perut ayam betina yang belum sempurna kejadian nya ketika ayam itu disembelih. 
Ia bergantung kepada jenis ayam, kalau baka ayam telur memang banyak tu...berbiji-biji.
Kebiasaan nya ayam telur ini bila dah ber usia dan kurang mengeluarkan hasil ia akan disembelih saja.




Memang susah nak dapat !
Kena cari penjual 'ayam tua / pencen'.

OK.....
Hari tu saya dah sediakan TELUR AYAM TUA 'LEMAK LADA HITAM'

Jom hari ini kita masak TELUR AYAM PENCEN 'GORENG BUNCIS' pula !!!


Bahan A (diperap 1/2 jam)
Semangkuk besar Telur Ayam Pencen
1/2 camca teh jintan manis (ditumbuk halus)
1/2 camca teh jintan putih (ditumbuk halus)
1/2 camca teh lada hitam (ditumbuk halus)
1/2 camca teh lada putih (ditumbuk halus)
1 sudu teh serbuk kunyit
sedikit garam

Bahan B
minyak untuk menggoreng
2 batang serai (diketuk lebam)
10-12 urat kacang buncis atau 4 urat kacang panjang (dipotong pendek menyerong)
2 biji bawang besar (dibelah 8)
8 biji cili padi merah (dipotong menyerong)

Cara-Cara Menyediakan nya
1.  Telur ayam dibersihkan. Jika terdapat usus telur pastikan ia jangan dibuang. Basuh bahagian dalam usus dengan mengalirkan air kedalam nya beberapa kali.
2. Satukan kesemua bahan A dan perap 1/2 jam.
3. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan telur yang telah diperap tadi.
4. Kacau-kacau seketika, masukkan serai dan perlahankan api.
5. Biar sehingga telur 3/4 masak, masukkan kacang panjang, bawang besar dan cili padi.
6. Kacau-kacau seketika dan boleh padamkan api untuk dihidangkan. 

* Selamat Menjamu Selera ...


Monday, 23 January 2017

MASAK LEMAK CILI API 'PUCUK PAKU & UBI KEMILI' .. Dah sedap, bertambah-tambah sedap !!!




Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Kepada yang bekerja, selamat bekerja
Yang dok rumah tu pon kerja juga kan... kerja rumah. Sapu sampah, kemas rumah, basuh baju, basuh pinggan, memasak dan macam-macam lagi lah.

Yang rasa-rasa kurang sihat tu kena makan ubat dan kena banyak berehat.
Maklumlah sekarang cuaca tak menentu, kejap panas kejap hujan kan.

Hari ini nak masak apa ya ?
Emm tak tau lagi lah...tak fikir lagi

Pasai sat gi nak ke bank sat
Ada masalah sikit...
Duit yang ditransfer dari BSN ke tabung Haji tak masuk-masuk.
Hari ni dah 15 hari....

Mengikut kata... maklumat yang dicapture oleh pegawai bertugas tak dapat dibaca oleh system dipihak yang satu lagi tu yang telah di naiktaraf menyebabkan 'proses tentusah' menolah transaksi yang dibuat.
4 hari menunggu dari hari transaksi tak masuk-masuk, akhir nya saya terpaksa berhubung sendiri dengan 2 pihak yang berkenaan dicawangan, di Ibu Pejabat, di Penang dan di Kuala Lumpur untuk memastikan tindakan diambil.

Maklumlah manusia ni berbeza-beza cara bekerja kan.
Kalau kita asyik menunggu saja, bila tiba tarikh yang diberikan masih tak berjalan...
Ini berdasarkan pengalaman ...

Jadi saya mengambil initiatif call sendiri setiap hari bertanyakan progress
Alhamdulillah pada sabtu lepas kata nya akan diproses malam tu.
Terima Kasih kepada pegawai-pegawai yang menguruskan nya.
Hari ni nak pi chek sat.
Lepas tu buat pindahan manually lah... senang cerita

OK...
Hari ni nak share resepi MASAK LEMAK CILI API 'PUCUK PAKU & UBI KEMILI
Entry tertunggak ni
Jangan marah yeee....

Menu ni saya sediakan bulan lepas
A.k.a hujung tahun lah tu !
Masa tu tengah musim ubi kemili atau ubi keling
Saya masak dengan pucuk paku

Semua orang tahu yang masak lemak rasa nya memang dah sedapkan !
Tapi bili digabungkan dengan ubi kemili ini, aroma nya sedikit berlainan dan bertambah-tambah sedap.
Kalau terjumpa ubi ini, boleh masak sebegini lagi
Kena tunggu musim nya kan..........

Jommmm !!!
Moh kita kedapur ..........



Bahan A
1 ikat sayur Pucuk Paku
1 helai daun kunyit (dihiris lebar)
2 tangkai atau 4 helai daun limau purut (dikoyak)

Bahan B
sedikit minyak untuk menumis
2 batang serai (diketuk lebam)
1 inci halia (diketuk lebam)
1 inci lengkuas (diketuk lebam)

Bahan C (di blend halus)
25 biji cili padi hijau
5 biji cili padi merah (untuk lebih pedas)
1 inci kunyit hidup
sedikit air (sekadar membolehkan cili dikisar)

Bahan D
2 cawan santan pekat
1 cawan santan cair
1 mangkuk udang hidup (dibuang kepala)
1/2 mangkuk ikan bilis (ditumbuk lebam)
2 keping asam gelugor
sedikit garam

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Pucuk paku di asingkan batang dan daun nya, kemudian dibersihkan.
2. Panaskan minyak didalam periuk dan tumis kesemua bahan B dan C sehingga terbit aroma. Goreng sehingga bawang menjadi betul-betul layu dan hampir garing.
3. Terus masukkan kesemua bahan D, batang pucuk paku dan perlahankan api.
4. Masak sehingga kuah mula mendidih kembali baru dimasukkan daun pucuk paku, daun kunyit dan daun limau purut.
5. Teruskan memasak sehingga kuah kembali mendidih dan pucuk paku lembut dan bolehlah diangkat untuk dihidangkan.

Sunday, 22 January 2017

LEMAK LADA HITAM SAWI ... Segar Dari Kebun


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...
Salam Berhujung Minggu

Hari ini saperti biasa laksanakan rutin pagi dulu
Selesai ja...
Baru ke kebun kutip-kutip sawi.
Kalau dibiar lama makin tua pulak kan.
Alah...  dibelakang rumah saya ja...

Kebun ke ???
Ya lah .. kebun juga
Walaupon tak sebesar mana belakang rumah tu
Seronok-seronok !
Cuba cari aktiviti yang mendatangkan hasil dan yang penting  keseronokan
Jadi  bercucuk tanam sayur pulak !
Sikit-sikit ja

Maklum lah 'jelus' tengok jiran sebelah tu.
Macam-macam pokok ada didepan rumah.
Tak perlu tanah yang luas pon !!!!
Cuma dalam tayar-tayar buruk, plastik hitam tanaman dan dalam pasu bunga pon jadi.
Tak habis makan ...

Jom kita masak LEMAK LADA HITAM SAWI.
Makan dengan ikan goreng.
Ulam cili padi !


Bahan A
Sayur sawi  (diasingkan batang dan daun)
1 biji bawang besar (dibelah 8)
1 biji ubi kentang (di potong kiub)
1 keping cendawan 'telinga gajah' (direndam dengan air panas sehingga kembang dan dihiris kasar)
1/2 mangkuk udang kertas
1 mangkuk santan cair
1 mangkuk santan pekat
1/4 kiub ikan bilis
1/2 camca teh lada hitam (ditumbuk halus)
1/2 camca teh lada putih (ditumbuk halus)
sedikit garam

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Masukkan batang sawi, ubi kentang, cendawan dan santan cair  ke dalam periuk. Rebus sehingga mendidih dan ubi menjadi 1/2 empok.
2. Masukkan daun sawi, udang, lada hitam / putih, santan pekat, kiub bilis dan perasakan dengan garam.
3. Masak dengan api perlahan sehingga mendidih kembali dan boleh diangkat untuk dihidankan.

* Selamat Menjamu Selera ...


Saturday, 21 January 2017

PASEMBOR MAMAK HAJI .....Jomm ! Sedap ! Memang layan berpinggan-pinggan


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Sejak kebelakangan ni tekak memang terasa nak makan cucur atau kuih kampung yang manis-manis saja
Dari cucur keria kita beralih pulak kepada Pasembor !

Lama benar tak makan pasembor mamak.
Last makan tahun lepas kalau tak silap di Padang Kota Lama ketika berkunjung ke sana sekadar jalan-jalan.
Tapi rasa nya memang tak menepati selera saya langsung.
Tak pasti, mungkin hari tu kuah yang dimasak tak berapa menjadi kot.
Tak sama saperti yang saya pernah makan sebelum-sebelum ini.

Saya pernah masak sekali kuah pasembor ini beberapa belas tahun dahulu.
Memang sebiji kuah nya rasa saperti yang mamak jual tu.
Sayang... 
Masa tu tak terfikir nak catat resepi
Sekarang ingat-ingat lupa, 
Dah buat beberapa kali tapi tak menjadi pulak  !

Yang ini saya cuba google.
Pencarian saya kali ini ke dapur Mamak Haji
Memang sah sedap sangat !
Jadi saya nak sarankan sesiapa nak mamak Pasembor Mamak boleh cuba rujuk pasembor Mamak Haji ini.
Memang 'Thumbs Up'


KUAH PASEMBOR
Resepi asal nya disini ya Kuah Pasembor Mamak Haji


Bahan A
1/2 kg ubi keledek berwarna oren (kalau keledek putih pon boleh)
125g udang kertas halus atau 'segumpal tangan' sotong kering  (Sotong ini tujuan untuk safe kos dan penggunaan nya sedikit saja sudah mencukupi kerana kuat baunya. Walaubagaimana pon Mamak haji syorkan udang kertas kerana kulit dan kepalanya lembut, mudah untuk kisar. Kalau guna sotong kering kuah akan jadi kehitaman sedikit)
125g kacang tanah. (Tujuan kita masukan kacang untuk dapat bau haruman dan lemak kuah)
10 – 15 biji cili kering.
3 ulas bawang putih
2-3 bawang besar atau 15-20 biji bawang merah (bawang merah lebih wangi dari bawang besar)
4 cawan air
5 sudu besar gula putih
1 ketul gula melaka (Saya tambahkan kerana gemar kuah yang lebih manis dan lebih terasa apabila dimakan dengan cucur/salat)
2 sudu besar asam jawa dan perahkan dengan 1/2 cawan air (saya lebihkan sedikit. Kemasaman apabila diblend dengan kemanisan kuah adalah lebih sedap)
5-8 keping biskut merry
Sedikit garam
Sedikit Pewarna oren merah (jika menggunakan ubi putih)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Ubi keledek dibuang kulit, direbus sehingga lembut dan dilenyek ketika ia masih dalam panas-panas lagi. Boleh juga dikisar dengan menggunakan air rebusan ubi.
2. Jika menggunakan udang... boleh dibuang kulitnya atau pun biarkan begitu saja. Hanya basuh bersih-bersih, panaskan sedikit minyak dan goreng ia sehingga 1/4 masak.
(Perasa udang terletak dikepala udang atau otaknya yang berwarna kuning, kalau cabut kepala tentukan jangan dibuang yang berwarna kuning tersebut). 
* Saya biarkan kulit bersama kepala nya. Oleh itu saya goreng sehingga garing untuk lebih beraroma.

Jika menggunakan Sotong Kering...Rendam sotong kering semalaman dan buang air rendaman, awas pasir dibawahnya dan basuh beberapa kali sehingga pasti ia bebas pasir.

3. Kacang Tanah digoreng kering atau dengan menggunakan sedikit minyak. Pastikan jangan sampai hitam. Kemudian asingkan sedikit kacang anggaran 1/4 bahagian.
4. Goreng Cili kering dengan minyak lebihan gorengan kacang sehingga ranggup. Jangan jadikan terlalu hitam.
5. Bawang putih dan bawang merah digoreng layu
6. Satukan udang/sotong kering, 3/4 bhg kacang tanah, cili kering, bawang dan kisar sehingga halus. Baki 1/4 kacang kita masukkan masa terakhir kisaran dan kisar SEKALI saja supaya ia sedikit kasar.
6. Masukkan semua bahan yang telah dikisar tadi bersama keledek ke dalam periok. Masukkan air dan masak sehingga mendidih.
7. Apabila kuah sudah mendidih kecilkan api, masukkan air asam jawa, dan gula
8. Rendam biskut merry,  lenyekan ia dan masukkan dalam kuah yang sedang reneh.
9. Masukkan beberapa titis pewarna jika warna kuah kurang 'oren' dan perasakan dengan garam.

Biasanya kuah sedia dalam masa 35-45 minit. Jangan lupa sentiasa kacau kuah supaya tak hangus dibawah. Ingat gula boleh terkumpul dibawah periok dan hanguskan masakan bila dipanaskan


CUCUR PASEMBOR
Resepi asal nya disini ya CUCUR PASEMBOR


Bahan A
1 cawan tepung gandum (anggaran 100gm).
1 cawan tepung beras campuran (1 gajah)
3 sudu besar tepung jagung.
1/2 sudu kecil baking powder.
3/4 sudu kecil garam.
1 cawan air 
1/4 sudu kecil garam Amonia / Garam busuq. Dibancuh dgn 1 sudu besar air. (optional)
* Kita tambah tepung beras untuk mengeraskan dan tepung jagung untuk tidak menjadikan hasil gorengan yang terlalu keras tetapi jadikan ranggup.  kalau tidak masukkan tepung jagung ia akan jadi seperti kueh tempeyek.

Bahan B
1/2 sudu kecil Yis segera/ Mauripan 11gm setengah paket.
1 sudu kecil gula pasir dilarutkan dengan 2 cawan air suam (jangan panas!). Larutkan dan biar selama 10 minit.

Bahan C
2 sudu besar kelapa parut kering (goreng kering di atas kuali dengan api sederhana)
1 sudu besar udang kering (ditumbuk halus)  atau 1 mangkuk kecil isi udang basah (lebih lagi sedap)
1 mangkuk besar Taugeh
2 pokok Kucai (dipotong 1 inci panjang)
1 biji Cili merah
2 biji Bawang besar
1/2 sudu teh serbuk kunyit
* Kalau nak warna seperti cucur udang mamak, tambahkan sedikit pewarna” Red Orange” atau “oren merah” bukan kuning telor. 

Cara-Cara Menyediakan nya 
1. Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung, baking powder, serbuk kunyit, garam dan larutan garam amonia kedalam bekas yang besar kerana adunan akan naik 2 kali ganda). Adunkan serata.
2. Apabila larutan yis telah kembang, masukkan larutan kedalam adunan tepung.  Bancuh tepung serata.
Kalau nak  berbentuk bulat cucur, cairkan sedikit tapi kalau inginkan cucur berbentukk selinder (bulat memanjang) pekatkan sedikit ditambah tepung gandum. Jenis selinder ini kita perlu gunakan sudip untuk memindahkan kedalam kuali untuk gorengan.
3. Tutup bekas adunan. Biarkan selama sekurang-kurangnya satu jam. Lama sangat pun tak boleh kerana tepung akan menjadi masam. Bagi mamak haji 1-2 jam sudah memadai.
4. Adunan biasa akan naik dua kali dari asal. Gaulkan kembali. Masukan nyioq parut dan bahan C yang lain. (Resepi asal Mamak haji masukkan bahan C yang lain pada langkah 2 diatas).

5. Sementara itu panaskan minyak dalam kuali.
Untuk menguji minyak betul-betul panas adalah dengan masukan satu atau dua titik tepung adunan tadi kedalam minyak.
Minyak kalau tak panas, ia akan menyerap ke dalam cucur anda. Tetapi jika terlalu panas akan menghanguskan cucur. jadi pandai-pandai kawal suhu panas. 
Kalau nak sejukan minyak panas masukan sedikit minyak baru ke dalam kuali. 

Perlu ingat yea..setiap bahan yg digoreng dlm minyak, bahan gorengan itu perlu "crust" (kerak) dulu sebagai dinding diantara minyak dan bahan gorengan. Bila crust dibentuk boleh lah perlahankan api dan goreng sampai masak.

6. Cara goreng gunakan sudip, panaskan sudip kedalam minyak panas selama 1-2 minit. Ambil adunan tepung dengan anggaran 2 sudu (menggunakan sudu yang lain) dan letakkan kedalam sudip, masukkan dalam minyak panas. Tepung kadang-kala melekat di sudip, untuk elakan biarkan dia masak sedikit kemudian baru tolak masuk. Kalau punyai sudip yang tak melekat (non-stick ceramic) amat sesuai. Buat perlahan-lahan untuk memahirkan.

7. Cara tuang tepung di tepi kuali menggunakan senduk dan tuang ditepi kuali. Yang melekat itu boleh ditolak dengan sudip. Untuk ini tepung perlu cair sedikit kerana ia akan meleleh perlahan masuk ke dalam kuali.  Tepung yang masih terlekat atas paras minyak di kuali boleh ditolak masuk dengan sudip bila tepung mulai masak.

8.Jika udang dimasukkan berasingan ...Untuk memudahkan udang melekat di atas cucur, bersihkan udang dan masukan sedikit tepung gandum supaya udang diselaputi dengan tepung. Tepung ini perlu cair. Ia seperti kita buat “gam” untuk roti sardin atau popia. Letakan udang disalut tepung ini pada peringkat cucur mula masak dan kita tolak masuk kedalam minyak. Pasti udang tak berenang dalam minyak.

9. Cucur yang masak akan terapong dan bertukar menjadi warna kekuningan.
Cucur yang masak kita boleh tentukan dengan tidak ada gelembong udara dikeluarkan dari cucur yang tengah masak. Ini bermakna kandungan air dalam cucur telah sejat. haba mainkan peranan utama dalam setiap gorengan.
Cucur yang Garing bermakna mengeluarkan kandungan air dalam setiap gorengan.

* Kekerasan cucur udang ini terletak pada tepung beras. Kalau ia lembut dan kita nak keras, tambahkan tepung beras. Kekerasan juga kadang-kala terletak cara kita goreng atau kandungan air yang terdapat dalam gorengan itu. Ini termasukan kepekatan tepung gorengan. 


SALAD


Bahan A
Telur rebus
Sayur salat
Timun (dihiris memanjang)
Ubi Sengkuang (dihiris memanjang)
Ayam Goreng tepung
Tauhu Goreng (dihiris kiub)


* Selamat Menjamu Selera ....