Thursday, 28 April 2016

KELI GORENG dan SAMBAL PEDAS MANIS THAI ... simple lagi sedap !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ..

Lauk tengahari ini sangat simple
Goreng Ikan Keli dan  Sambal Pedas Manis Thai yang amat menyelerakan !
Ikan keli ini saya tak campurkan sekali dengan sambal nya kerana lebih enak semasa makan nanti kita colek kan sambal ini dengan ikan,
Atau boleh juga sambal ini digaul-gaul dengan nasi sebelum dimakan dengan ikan keli goreng.
Walla....

Emmm.
Esok pagi rasa-rasa nak kena kepasar besar BM.
Nak beli bekalan ikan untuk kucing-kucing kesayangan saya.
Dalam peti sejuk masih berbaki 2 bungkus lagi tuuu..

Jadi hari ini terpaksa habiskan ikan yang tersimpan dalam peti sejuk beku
Masih ada daging
Mungkin esok kita masak daging pulak
Hari-hari makan daging.. boleh migrain kepala ni

3 hari lepas saya migrain teruk dari pagi sampai kepetang
Mungkin tekanan darah naik !
Masalah nya ....
Saya ni malas nak makan ubat.
Alternative...
Saya rendam 3 keping asam gelugor (kalau saiz kecil tu boleh guna 4 keping) dalam air panas mendidih selama 1++  jam dan minum air nya.
Alhamdulillah 2 jam selepas itu sakit kepala berkurangan dan sembuh saperti biasa

Arwah emak dulu kalau terasa sakit belakang leher, orang utara kata 'belakang tengkok', emak akan minum air asam gelugor. Kebiasaan nya sakit ini menandakan tekanan darah naik dari biasa.



Jom kita terjah resepi  Sambal Pedas Manis Thai

Bahan A
Minyak untuk menumis (Saya guna baki minyak goreng ikan keli)

Bahan B (Di blend kasar)
2 ulas bawang putih
2 biji bawang besar
18 biji cili padi merah

Bahan C
Kicap Lemak Manis (Saya Guna Kicap Manis ABC)
1 biji Limau Kasturi (ambil Jus)
1/2 kiub Tomyam 'KNOR'
1 sudu teh gula putih
sedikit kunyit
sedikit garam

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam kuali (minyak lebihkan sedikit kerana kita akan masak/menggoreng sambal ini sehingga pekat).
2. Masukkan bahan blend B dan C dan masak dengan api yang perlahan sehingga pekat dan terbit minyak yang bergeledangan dalam kuali.
Lagi lama kita 'goreng' sambal ini dalam kuali lagi sedap sambal kita .

* Selamat Menjamu Selera ...


Wednesday, 27 April 2016

NASI ULAM GORENG ...... yang awesome ! sedap !

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum, Selamat Sejahtera semua ..

NASI ULAM GORENG....
Penyediaan nya adalah saperti NASI ULAM yang telah saya sediakan tempoh hari.
Cuma yang mmbezakan nya ialah ia akan digoreng seketika dengan sedikit butter selepas disatukan kesemua bahan-bahan ulam yang menjadikan ia terasa ber'lemak dan sungguh sedap dimakan semasa masih panas-panas dengan kopi O.

Selera nak makan nasi Ulam goreng ini timbul semasa saya menyediakan nasi ulam tempoh hari.
Baki yang timgal sedikit saya cuba gorengkannya  dan 'awesome' ! ia amat menyelerakan sekali ....
Ini menjadikan saya teringat-ingat akan nasi ulam tersebut sampai sekarang !

Kali ini saya sediakan dengan ulam-ulam yang dipetik dibelakang rumah saja dan menggunakan ikan pekasam yang digoreng garing.
emm...


Bahan A
2 mangkuk nasi (ditanak dan disejukkan)

Bahan B (Ulam-ulaman dimayang halus)
2 helai daun cekoq
1 batang serai
1 kuntum bunga kantan
4 tangkai daun kesom
2 helai daun limau purut
1 helai daun kunyit yang bersaiz kecil
* Boleh ditambah ulam-ulam lain

Bahan C (digoreng garing)
Ikan pekasam

Bahan D (ditumbuk hancur tetapi tidak sampai menjadi serbuk)
1 camca teh lada hitam
1/2 camca besar beras (dibasuh dan disangai)
1/2 inci lengkuas

Bahan E
1 biji bawang besar (dibelah 4 dan dihiris sederhana tebal)
1/2 camca besar kerisik
3 biji cili padi
3 camca besar air (Untuk mengekalkan kelembapan nasi semasa menggoreng)
sedikit garam

Bahan F
1/2 camca besar buttercup

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan bahan B,C,D dan E kedalam mangkuk yang besar dan gaul sehingga bercampur sekata.
2. Masukkan nasi yang telah disejukkan dan sekatakan lagi.
3. Panaskan butter dalam kuali dan masukan nasi yang telah digaul. Balik-balikkan supaya serata dengan butter selama lebih kurang 1 minit dan bolehlah dihidangkan.

* Selamat Menjamu Selera ...


Tuesday, 26 April 2016

PENGAT LABU KUNING ...Jom ke-kebun kita petik labu !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum, Selamat Sejahtera semua ..

Labu Kuning ini adalah pemberian kakak saya yang tinggal berjiran dengan saya.
Semenjak bersara dari syarikat Kewangan, beliau kini tertumpu dengan minat nya yang gemar bercucuk tanam.
Macam-macam sayur ada..terutama sayur hijau
Sawi, Kangkung, Kailan....
Macam-macam ada

Kini saya dah stop beli sayur hijau.
Nak makan, saya petik aja  sayur yang ditanam

Labu kuning ini dah 3 hari disimpan,
Lama-lama nanti dah tak berapa sedap
Jadi saya putus kan nak masak pengat saja
Kebetulan dah lama tak mana manisan
Sedap ....


Bahan A
500 gram labu kuning
50 gram gula perang/gula merah
40 gram sagu
3 cawan air
3 helai daun pandan
sedikit garam
100 gram santan pekat

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Labu kuning dikupas kulit dan di potong mengikut saiz kesukaan.
2. Satukan kesemua bahan diatas kecuali santan pekat ke dalam periuk dan masak dengan api sederhana sehingga labu 3/4 lembut.
3.  Masukkan santan pekat dan perlahan kan api sehingga hampir mendidih. Di kacau-kacau supaya santan tidak pecah minyak.
4. Siap

* Selamat Menjamu Selera ...

Monday, 25 April 2016

MEE KOLOK .. Sesiapa yang belum pernah makan, Jom cuba.. Sedap tak terkata !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum, Selamat Sejahtera semua ..

Menu yang dihidangkan pada hari sabtu lepas..
Mee Kolok !

Sesiapa yang belum pernah makan mee ini, saya ingin cadangkan anda mencuba nya.
Sekali rasa memang suka dan akan terpikat.
Kadang terfikir kenapa tak mencuba nya lebih awal dahulu.
Memang sedap !!!
Tak perlu dapatkan Mee Kolok untuk mencuba resepi ini, tapi boleh digantikan dengan Instant-Mee Kering yang ada dipasaran.

Resepi ini saya dapatkan dari Dapurku Sayang.
Terima Kasih Dayang Jack.
Marvelous !


Jom kita semak resepi ...untuk 8 orang
Saya olahkan sedikit dengan cara saya ...

Bahan A (Untuk Mee)
6 keping non-fried noodles /instant mee (mee kering spt maggie mee) atau mi kolok
4 sudu makan Sos Ikan / Sos Soya
3 sudu makan Cuka Makan
Kicap Lemak Manis
non-fried noodles /instant mee

Bahan B (Untuk Sup)
1 sudu besar penuh Perencah Sup
350 g Daging Lembu
air secukupnya
1/2 kiub Pati Daging
sedikit garam

Bahan C (Untuk Daging)
1/2 sudu besar lada hitam (ditumbuk halus)
4 sudu besar Sos Manis ABC/Kicap Lemak Manis
1 sudu besar Kicap Lemak Masin

Bahan D (Untuk Bawang Putih)
minyak untuk menggoreng
12 ulas bawang putih (dicincang)

Bahan E (Untuk Sambal)
8-10 biji cili padi merah
2 ulas bawang putih
1/2 sudu besar gula putih
3 biji limau kasturi (ambil Jus)
3 sudu besar air biasa
Sos Manis ABC/Kicap Lemak Manis

Bahan F
Daun bawang
Daun sup (dihiris)
Limau Kasturi
Fish ball (Goreng/Rebus sekejap)
Fish cake (Goreng/Rebus Sekejap)
Sayur Sawi (Rebus.  Masukkan 1 sudu makan minyak dalam air rebusan untuk menjaga kesegaran sayur)
Tomato biji

Cara -Cara Menyediakan nya
SUP
1. Satukan daging, perencah sup dan air secukupnya dan rebus sehingga daging empuk.
2. 5 minit sebelum angkat, masukkan garam dan kiub daging.

DAGING
1. Toskan daging yang telah direbus diatas dan hiriskan nipis.
2. Masukkan bahan C, gaulkan rata dan perap selama 1/2 jam.
3. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan masukkan daging. Jika terlalu kering bolehlah masukkan 2-3 sudu makan air rebusan daging diatas.
4. Goreng anggaran 3-4 minit dan terus diangkat.
* Tak perlu digoreng terlalu lama untuk mengelakkan daging menjadi terlalu keras.

BAWANG PUTIH
1. Panaskan minyak dalam kuali (lebihkan sedikit kerana minyak yang sama akan digunakan untuk mengoreng mee nanti).
2. Goreng bawang putih sehingga bertukar menjadi keperang-perangan.
3. Angkat dan toskan. Simpan minyak ini untuk menggoreng mee.

MEE
1. Panaskan air secukupnya dalam periuk sehingga mendidih.
2. Masukkan non-fried noodles /instant mee dan rebus sehingga mee masak.
    * Jika mee sudah lembut dan tidak terasa tepung, boleh diangkat dan toskan. 
3. Panaskan 'minyak goreng bawang putih' diatas dan masukkan mee yang telah ditoskan.
4. Perasakan dengan Sos Ikan / Sos Soya, Cuka Makan dan Kicap Lemak Manis, rata-ratakan dan terus diangkat.

SAMBAL
1. Tumbuk atau kisar kering cili padi dan bawang putih.
2. Alihkan kedalam mangkuk dan masukkan kicap manis dan perahan jus limau kasturi, gula dan sedikit air..
3. Gaul rata.

CARA MENGHIDANG
1. Sediakan mangkuk, Masukkan mi, Sambal kicap sedikit dan gaulkan. Kemudian masukkan  daging, tabur bawang putih yang telah digoreng garing dan hiaskan dengan bahan F.
2. Sediakan juga semangkuk sup yang ditabur dengan daun sup untuk kuahnya.

* Selamat Menjamu Selera ...


Friday, 22 April 2016

SAYUR LEMAK FUCUK-UMBUT NYIOR ... Lemak-lemak manis, sedap !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum, Selamat Sejahtera dan Salam Jumaat..

Bukan senang nak dapat Umbut Nyior a.k.a. 'Umbut Nyok' kata orang utara.
Ini pon kebetulan ada pokok kelapa kena tebang, jadi dapatlah merasa.
Sedap..
Lembut..

Bila di kahwinkan dengan sayur Fucuk,
Dimasak dengan Udang besar
Lagi sedap !
Terasa manisnya  umbut dalam sayur lemak..
Aduhaii ...
Tak boleh nak cakap banyak.

Yang ini bukan saya yang masak ye...
Kakak saya yang sediakan
Dapat laaa.. tumpang semangkuk
Tak berasap lah dapur ku semalam

Salah satu kelebihan duduk rumah sebelah-sebelah macam ni lah
Boleh tumpang makan free
heh heh heh !


Jom kita jengok resepi

Bahan A
1 mangkuk Umbut Nyior (dibersihkan dan dihiris/disagat  nipis)

Bahan B
Sayur Fucuk (direndam 1/2 jam)
2 mangkuk Santan pekat
10-12 ekor udang besar

Bahan C
sedikit garam
sedikit gula gerek
1 biji cili merah
1 biji bawang besar (dibelah 8)

Bahan D
3 biji cili padi (tambahan kepada yang suka lebih pedas)
bawang goreng

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Umbut nyior yang telah disagat akan direbus seketika untuk melembutkan nya, dan kemudian ditoskan air.
2. Masukkan umbut kedalam periuk bersama bahan-bahan B diatas dan dimasak dengan api perlahan sehingga hampir mendidih.
* Kacau-kacau untuk mengelakkan santan pecah minyak.
3. Apabila hampir mendidih  masukkan bahan C dan perasakan.
4. Siap dan boleh dihidangkan dengan taburan bahan D.

* Selamat Menjamu Selera ...


Thursday, 21 April 2016

SAMBAL LANCUT ... Penambah selera makan


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua..

Biasa tak makan sambal Lancut ?
Mungkin orang dengar macam pelikkan nama nya.

Jika google-google dalam internet...
Ooo.. ada yang panggil 'sambai picit' ya !
Tapi dalam keluarga saya memang itu lah panggilan untuk sambal tersebut.

Mungkin semasa picit-picit sambal itu, cili 'ter pelancut' sebab itu dipanggil 'Sambal Lancut'.
Ya lah tu kotttt !

Ini adalah salah satu sambal yang menjadi kegemaran Arwah Emak.
Bila tak ada selera makan, picit-picitkan cili dan buat sambal ini.
Orang utara kata bagi 'Pecah Lioq',  maksudnya supaya terbit selera makan kita.
Makan pula dengan ulam timun atau ulam mentah yang lain dan Ikan Kering Goreng.
Fuhh !!!
Layan habis ......


Jomm

Bahan A
3-4 biji cili merah
3 biji cili padi (* saya tambah supaya lebih pedas)
2 ulas bawang kecil (dihiris nipis)
sedikit belacan
sedikit garam
Air asam jawa (boleh digantikan dengan limau kasturi)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Semua bahan A diatas disatukan dalam mangkuk.
2. Cili akan dipatah-patahkan dan dipicit-picit. Lagi sedap jika dipicit dengan tangan dari menggunakan sudu.
Boleh juga menggunakan plastik semasa memicit untuk mengelakkan tangan berasa pijar nanti.
Tapi saya memang menggunakan tangan semasa memicit cili tersebut.

* Selamat Menjamu Selera ...

Wednesday, 20 April 2016

SAMBAL GORENG JAWA ... antara yang paling sedap pernah makan !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua..

Yaaaa ....
Saya bukan orang Jawa.
Memang sah tak tahu cakap jawa pon !
Kalau dengar kawan bercakap pelat jawa, lagi lah tak paham . Kannn !
hehehe...

Tapi...
Saya pernah  makan makanan orang Jawa.
Sewaktu berkhidmat dahulu, ada yang bau-bau bacang disitu.
Bila orang belanja, kita makan lah !
Bila kawan adakah kenduri, kita makan juga !
Bila adakan potluck, , kita makan bertambah-tambah !
Salah satu menu yang kerap disediakan adalah Nasi Ambeng dengan Sambal Goreng Jawa .

Kalau kita google dalam internet memang banyak versi Sambal Goreng Jawa.
Tapi kali ini saya nak share resepi yang disedikan oleh anak saudara saya.
Maklumlah dah jadi menantu orang Johor yang berketurunan Jawa.
Jadi kenalah pandai masakan Jawa kann..
Kita pon tumpang lah belajar juga.
heh heh heh !!!
Secara jujur nya ini adalah Sambal Jawa yang sangat sedap pernah saya makan.
Mungkin ada yang lagi sedap ...Tapi bagi selera saya, ini yang the best !
Masak untuk kali kedua dalam seminggu....baru sempat untuk berkongsi dari beliau.

Tanpa perasa tambahan atau pon gula, memang saya admire sambal ini ...
Yang menjadikan ia bertambah sedap adalah penggunaan bawang yang banyak dan ia digoreng sehingga benar-benar masak disamping juga Kicap Lemak Manis dalam sambal ini.


Jom kita jengok resepi ...

Bahan A (Digoreng secara berasingan)
Minyak untuk menggoreng
3 keping Tempe *
2 ketul Tauhu  *
1 biji ubi Kentang  *
3 ketul Hati Ayam
10-12 ekor Udang Hidup sederhana besar (dibuang kulit)
* Dipotong sederhana besar

Bahan B (Diblend halus menngunakan minyak masak / tanpa air)
Sedikit minyak
10-12 ulas Bawang merah
4 ulas Bawang putih
6-8 biji Cili Padi
1 inci Halia
1 camca besar udang kering

Bahan C
Kicap Lemak Manis 'Kipas Udang' (lebihkan)
Sedikit kunyit
Sedikit garam

Bahan D
1 biji Lobak Merah
4 urat Kacang Panjang
Kubis
Pucuk

Bahan E
Soun (direndam)
Cili Merah
Cili Hijau

Cara-Cara Menyediakannya
1. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng bahan A diatas secara berasingan dan ditoskan minyak.
* Udang digoreng sekejap sahaja untuk mengelakkan menjadi liat.
2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bahan B sehingga bawang bertukar keperangan dan terbit aroma yang sedap.
 * Bawang blend jika kurang masak dan garing akan menghasilkan aroma yang kurang sedap dalam masakan.
3. Masukkan bahan C dan goreng seketika.
4. Masukkan sayur-sayur mentah (bahan D).
5. Apabila sayur sudah 3/4 masak, masukkan bahan A yang telah digoreng tadi dan Suun. Gaul rata.
6. Sebelum angkat masukkan Cili Merah dan Cili Hijau untuk menjadikan ia lebih berwarna warni
7. Siap untuk dihidangkan.

* Selamat Menjamu Selera ...

Tuesday, 19 April 2016

IKAN GORENG CUKA .... lemak masam manis yang memikat selera !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua..

Kalau kerap berlaukkan ayam dan daging tentu jemu juga kan..
Goreng Ikan kembong kemudian buat masak cuka,
Tumis daun kari.........
Amboi !!
Sungguh-sungguh menyelerakan
Boleh bertambah-tambah selera makan saya
Tengah malam pon saya sanggup cari periuk nasi lagi
Memang suka sangat..
Posting ini adalah lauk kelmarin
Hari ini nak masak lagi
Lauk dan resepi yang sama, cuma tukar ikan sardin pula
Ikan dah digaramkan, cuma nak digoreng saja lagi
Dah jadi kebiasaan selagi suka dan tak jemu selagi itu akan repeat and repeat and repeat...
hahaha.... sedap !


Jom kita tengok resepi

Bahan A (gaul dan diperap 1/2 jam)
6-8 ekor ikan kembong (dibersihkan dan dipotong 2)
sedikit serbuk kunyit
sedikit garam

Bahan B
2 ulas bawang putih (dimayang nipis)
2 ulas  bawang merah (dimayang nipis)
1 inci halia (dimayang nipis)
1 tangkai daun kari
1 sudu teh biji sawi

Bahan C
3/4  cawan cuka makan
1 sudu makan sos tiram
1/4 cawan air
garam

Bahan D
1 biji bawang holland (dibelah 12)
8 biji cili padi merah (dipotong menyerong)
8 biji cili padi hijau  (dipotong menyerong)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng ikan sehingga masak. Angkat dan toskan.
2. Dengan menggunakan minyak yang sama (jika berlebihan bolehlah dikurangkan), tumis bahan B sehingga naik bau yang harum.
3. Masukkan bahan C dan biarkan sehingga mendidih.
4. Masukkan Ikan yang telah digoreng, bahan D dan ratakan.
5. Siap untuk dihidangkan.

* Selamat Menjamu Selera ...

Monday, 18 April 2016

AYAM MASAK KICAP BEREMPAH MAMAK PENANG ...WOW ! Marvelous sedap...


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua..

Lauk ayam masak kicap........
Resepi ini saya dapat apabila google melalui media internet yang membawa ke FB Mamak Haji DI-SINI.
Sebenar nya dah tak tahu nak masak apa dengan ayam yang terperap dalam peti sejuk beku yang dah berminggu.

Saya bukan peminat tegar masak hitam.
Makan tu memang makan.
Tapi kalau ada lauk lain,  Masak hitam menjadi akan pilihan terakhir saya.

Tapi yang ini memang marvelous !
Marvelous !
Marvelous !
Marvelous !
Memang Marvelous !
Lima bintang *****
Terima kasih Mamak Haji kerana kongsikan resepi ini.


Jom kita masak

Bahan A (Gaul dan perap 1/2 jam)
1 ekor ayam. Berat sekitar 1.6 - 1.7 kg (dipotong 16)
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil garam

Bahan B
1 batang serai (di ketuk di perdunya)
3 kuntum bunga lawang
1 inci kulit kayu manis
3 biji buah pelaga

Bahan C
1 sudu besar Pes Bawang Putih dan Halia (Rujuk dibawah)

Bahan D (dikisar halus)
3 Biji bawang besar (dikisar halus)
Sedikit air (Jangan terlalu cair. Kisaran 1:1 dengan air)
Tujuan bawang merah adalah untuk mendapatkan kuah. Sekiranya anda tidak mahu kuah yang lebih anda boleh kurangkan jumlah bawang.
* Saya gantikan air dengan sedikit minyak masak 

Bahan E
2 sudu besar rempah Kari Daging
1/2 sudu kecil garam masala
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
1 sudu kecil serbuk Jintan manis
1 sudu kecil serbuk Jintan Putih
1/2 sudu kecil serbuk kas-kas (tidak kemestian)
1 sudu besar serbuk cili. Mengikut kepedasan yang anda inginkan* Saya gantikan dengan 12 biji cili padi yang diblend halus
1 sudu kecil serbuk lada hitam.
3 sudu besar kicap pekat 'Mee Yakin'. Kehitaman masakan terpulang pada cita rasa anda. * Saya gunakan Kicap Lemak Manis 'Alif'
Garam
Gula secukup rasa. * Saya tak masukkan sebab telah gunakan kicap manis diatas

Bahan F
1 sudu kecil jus limau nipis

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng ayam sehingga 75% masak dan angkat.
* Saya tutup kuali semasa menggoreng untuk mengekalkan ke-moist-an isi ayam dan memastikan isi ayam masak dengan sempurna.

2. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan serai yang telah diketuk.
    Sederhanakan api dan tumiskan bunga lawang, kayu manis dan buah pelaga (bahan B).
3. Apabila naik baunya, masukkan pes bawang putih halia (bahan C) sehingga baunya naik kembali.
4. Segera masukkan kisaran bawang (bahan D) dan tunggu sehingga bawang benar-benar masak ia-itu hampir kekuningan dan naik bau.
5. Masukan semua bahan-bahan rempah (bahan E) dan biarkan kuahnya didih dan menjadi pekat
6. Masukan ayam yang telah goreng separuh masak. Kecilkan api dan biarkan selama 10 minit - 15 minit di masak.
7. Rasa kemasinan. Sekiranya kurang masin tambahkan garam tapi sekiranya terlebih masin boleh ditambahkan sedikit gula.
8. Tutup api dapur dan masukkan perahan air limau nipis (bahan F).
9. Keluarkan masakan dan hidang dengan taburkan bawang goreng.


PES HALIA BAWANG PUTIH

Bahan A
* 1 cawan Halia (dibuang kulit dan dicincang kasar)
* 1 cawan Bawang Putih (dibuang kulit dan dicincang kasar)
1/4 sudu kecil Serbuk kunyit (untuk mendapatkan warna yang cantik)
3/4 sudu minyak masak  (untuk mengelakkan pes cepat basi)
sedikit garam
Nota: * Sukatan selepas dicincang

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Kisar halia sehingga halus.
2. Kemudiaan masukkan bawang putih, serbuk kunyit, garam dan minyak dan kisar lagi sehingga halus dan bercampur rata.
3. Masukkan dalam botol saiz jem dan simpan di peti sejuk.
Gunakan sudu semasa proses penyediaan dan penggunaan untuk memastikan pes tahan lama ia-itu sekurang-kurangnya 6 bulan.

* Selamat Menjamu Selera ...

Saturday, 16 April 2016

CUBIT-CUBIT JAGUNG pulak ya ! Memang sedap .......


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua..

Kali ini saya sediakan Cubit-Cubit Jagung pula ya...
Hari tu dah beberapa kali sarapan dengan CUBIT-CUBIT BAWANG.
Pergi tesco beberapa hari lalu tak lupa nak cari jagung, sebiji dah cukup sebab nak guna cuma 1/3 untuk seadunan.
Kali ini saya tambahkan daun sup supaya cucur jagung kita lebih sedap dan beraroma.



Adunan untuk 2 orang makan

Bahan A
1 cawan tepung gandum
Lebih kurang 1/4 cawan air * Bergantung kepada Jenama/Keluaran
  (Jika masih ada tepung yang tidak rata digaul, bolehlah ditambah sedikit lagi air. 
  Cuma pastikan adunan kita boleh di goreng bulat-bulat saja)
  Pengalaman saya..  1/4 sukatan jika 'Bakers Choice'. 1/2 sukatan jika cap 'Keluarga' 
3 sudu besar minyak masak
1/2 biji telur (Pecahkan sebiji, dikocak dan guna hanya separuh sahaja)
1/2 jemput ikan bilis (direndam sekejap dan ditumbuk hancur)
1/2 sudu teh baking powder
1 biji cili padi  (ditumbuk halus untuk menjadikan cucur kita sedikit pedas)
1 biji bawang holland bersaiz besar (Dibelah 4, dah setiap belahan dibelah lagi 4..menjadikan ia 16 belahan dan dipotong menjadikan ia kiub)
1/3 tongkol jagung (diceraikan biji nya)
1 urat daun sup (dihiris kecil)
1/4 kiub pati ikan bilis
sedikit garam

* boleh letakkan secalit (tak sampai setitik) pewarna merah untuk menjadikan cucur bewarna ke-oren-oren nan  spt yang dijual dipasar tani ... menarik lagi selera makan

Cara-Cara Menyediakan nya :
1. Satukan semua bahan A diatas, dan gaul rata.
2. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali. Jemput adunan tepung sebesar jari kelingking dan goreng.
3. Balik-balikkan sehingga cucur masak.

* Selamat Menjamu Selera ...


Thursday, 14 April 2016

KARI UDANG MAMAK STAIL ... memang sedap gila !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua...

Kalau masak kari udang berbanding dengan ikan, asam mesti dikurang kan untuk mengekalkan rasa udang.
Kena pula udang besar dan baru,  memang sedap dan manis.
Tempoh memasak pula jangan terlalu lama untuk mengelakkan isi udang menjadi keras dan liat.
Kebiasaan nya saya akan rampai dengan kacang panjang.
Tapi kali ini saya tukar dengan ubi kentang... yakni ubi 'mengala' kata orang utara

Jom kita masak versi mamak.
Selalu nya versi mamak direstoren tu kalau kita perasan rempah nya masih terasa aroma rempah 'mentah'. Ini kerana tempoh memasak yang singkat, maklumlah nak cepat.....
Tapi kalau nak makan sendiri, kita masak betul-betul hingga hilang aroma rempah 'mentah' ini ya...


Jomm

Bahan A
3 ulas bawang merah (dimayang nipis)
3 ulas bawang putih (dimayang nipis)
1/2 sudu besar halba campur
1 inci halia (dimayang nipis)
3 tangkai daun kari

Bahan B (Disatukan dan dijadikan pes)
3 sudu besar penuh 'Rempah Kari Udang  (Boleh digantikan dengan Rempah Kari Ikan)
2 keping asam gelugor
2 ulas bawang merah (dimayang nipis)
3 ulas bawang putih (dimayang nipis)
1/2 sudu teh lada hitam serbuk
1/2 sudu teh jintan manis serbuk
1/2 sudu teh jintan putih serbuk
Sedikit air

Bahan C
1 mangkuk air biasa (menggantikan santan)
2 biji ubi kentang (dibelah 2 atau 4 mengikut saiz ubi)
6 biji cili kering

Bahan D
1 kilo Udang besar (dikeluarkan tahi/pasir yang terletak dibahagian kepala udang).
2 biji bawang besar (dibelah 4)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak didalam periuk dan tumis kesemua bahan A kecuali daun kari sehingga bawang bertukar hampir keperangan.
2. Masukkan daun kari dan kacau seketika sehingga daun sedikit layu dan terbit aroma daun kari.
3. Masukkan bahan B dan masak sehingga terbit minyak.
4. Masukkan bahan C dan masak sehingga ubi 3/4 empok.
5. Akhir sekali masukkan udang dan bawang besar (bahan D). Perlahankan api dan masak sehingga kuah hampir mendidih terus diangkat untuk mengelakkan udang terlebih masak.

* Selamat Menjamu Selera ...

Wednesday, 13 April 2016

JUS LIMAU KASTURI ... Untuk hilangkan dahaga


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua...

Cuaca Panas ketika ini memang terasa bahang nya kannn.
Walau pon berada didalam rumah kita tetap terasa panas nya.
Saya nak keluar rumah pon jadi malas !

Awal-awal dulu ketika belum alert tentang cuaca ini tertanya-tanya juga ......
Kenapa la  air yang keluar dari paip memanjang panas dari pagi hingga ke malam
Buka paip ja... panas.
buka paip ja... panas.
Kerusi yang diduduk pon terasa panas
Baju yang dipakai asyik bertukar ganti kerana berpeluh
Malam tu baru dapat berita tentang panas yang melampau ketika ini
Patut lah poon ....heheh

Alamak bil letrik bulan ini...
Aduhh !!! Pasang air-cond diruang tamu 3 hari ja tu dah RM 228 ++, biasa itu  134 ++ ja...
Itu baru 3 hari, kalau sebulan mahu pengsan !

Dalam rumah memang saya sentiasa sediakan air dalam balang kaca yang ditempatkan diatas meja makan, selain  sebagai perhiasan sedikit sebanyak dapat mengurangkan panas.
Tapi bila terlalu panas macam ni memang tak dapat rasa beza nya pon walau air dalam balang berkurangan begitu ketara sekali.

Jadi alternatifnya...
Saya basahkan kain dalam 3 helai dan saya letakkan dibawah kipas.
Bila kain tu kering ja, saya basahkan lagi..
Alhamdulillah bahang kepanasan dalam rumah dah tak seberapa.

Sekarang...
Dalam 2 minggu kebelakangan ini saya dah tak jemur pakaian diampaian luar rumah
Saya gantung elok-elok dan letakkan bawah kipas.
Baju-baju cepat sungguh kering, udara dalam rumah pon menurun begitu ketara ....
Jimat sikit RM
hehehe.....

Air dalam botol asyik kena isi ja hari-hari..
Kena minum 7 gelas ++ seorang.
Selain air kosong, air limau kasturi dan asam boi juga saya sentiasa sediakan.......

Bahan A
Limau Kasturi
Gula Putih
Daun Pandan
Air Secukup nya
Ketulan Ais

Cara-Cara Menyediakannya
1. Masukkan gula, daun pandan dan sedikit air kedalam periuk dan masak sehingga gula larut.
2. Tapiskan air gula dan masukkan kedalam jug.
3. Perah beberapa biji limau kasturi, masukkan kulitnya bersama kedalam jug,
4. Tambahkan air  secukupnya dan rasa kemanisan.
5. Masukkan ketulan ais dan sedia untuk dihidangkan.


Sedikit info dari Bahagian Pendidikan Kesihatan sebagai panduan

Cuaca Panas : Nasihat Kepada Orang Ramai
  1. Cuaca panas memberi tekanan fizikal kepada tubuh manusia. Kesan terhadap kesihatan boleh jadi dari tahap sederhana (mild) kepada yang boleh menyebabkan maut  contohnya akibat strok haba.
  2. Semua orang berisiko menjadi mangsa cuaca panas. Walau bagaimanapun, terdapat kumpulan yang lebih berisiko:
    • Mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal di luar seperti buruh, peladang, ahli sukan, tentera, polis dan lain-lain.
    • Orang dewasa (berumur 40 tahun ke atas mempunyai risiko 10 kali ganda berbanding dengan mereka yang lebih muda).
    • Kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah.
    • Penghidap penyakit sistem pernafasan.
    • Penghidap penyakit darah tinggi, jantung, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid.

  3. Risiko bertambah jika mereka memakai pakaian yang tebal dan ketat yang menghalang haba keluar daripada  penyejatan/ pengeringan peluh.
    • Gejala cuaca panas melampau adalah :
      • Sakit kepala
      • Keletihan
      • Lemah tumpuan
      • Pening
      • Lemah otot–otot atau kekejangan
      • Mual dan muntah

  4. Keadaan yang terlalu teruk boleh menyebabkan dehidrasi (kekeringan), kekeliruan dan tidak sedarkan diri (koma).
    • Cara  mencegah atau mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas melampau:

      4.1 Anda Perlu :
      • Minum air kosong dengan banyak tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang anda lakukan. Jangan tunggu sehingga anda dahaga.
      • Sejauh yang mana yang boleh, anda perlu berada di dalam rumah/bangunan
      • Hadkan aktiviti luar
      • Kerap berehat
      • Mandi atau gunakan kipas angin untuk menyejukkan tubuh badan anda
      • Pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang dan longgar.
      • Pakai topi atau payung yang besar 
      4.2 Elakkan:
      • Minum minuman yang mengandungi kafein, alkohol, atau kandungan gula yang tinggi.
      • Membiarkan seseorang di dalam kereta yang tertutup.
      • Bersenam dalam cuaca panas
  5.  Jika anda  mempunyai tanda-tanda masalah berkaitan dengan suhu panas,  ingat tip-tip di bawah;
    • Keluar dari kawasan yang panas
    • Tanggalkan pakaian yang ketat
    • Letakkan kain yang basah dan sejuk pada badan
    • Gunakan kipas untuk sejukkan badan
    • Minum air setiap 15 minit
    • Dapatkan bantuan jika keadaan tidak dapat dikawal 

Tuesday, 12 April 2016

TELUR MATA LEMAK MANIS SOS IKAN ... yang menyelerakan


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua...

Siapa kata lauk yang simple menjadikan kita kurang berselera makan ?
Kalau kena cara memasak, yang simple itu yang paling sedap !
Cukup dengan telur goreng
Telur yang kuning nya separuh masak
Yang boleh goyang-goyang sedikit....
Ditambah lagi masak dengan kasih sayang.......
Lagi berselera kita makan

Bila makan kebiasaan nya yang putih habis dahulu
Yang kuning diketepikan
Bukan kerana tidak suka
Tetapi yang sedap tu disimpan akhir untuk lebih menikmatinya !!!

Jomm kedapur

Bahan A
3 biji telur ayam
5 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 biji bawang besar (dihiris sederhana tebal)
Kicap Lemak Manis 'Kipas Udang'
Kicap Sos Ikan.
Sedikit air (sebagai kuah jika pekat)
2 biji Cili Padi (dihiris nipis)

Cara-Cara Menyedikan nya
1. Panaskan minyak didalam kuali non-stick dan tumis bawang putih. Goreng sehingga bawang bertukar sedikit keperangan.
2. Masukkan bawang besar dan goreng sehingga bawang hampir layu.
3. Masukkan Kicap Lemak Manis (lebihkan), Sos Ikan dan sedikit air.
4. Bila kuah telah mendidih, pecahkan telur sebiji sebiji. Jika boleh pastikan telur tidak bersentuhan antara satu.
5. Perlahan kan api sekecil yang boleh dan tutup tudung kuali.
6. Masak lebih kurang 3 minit atau bila pasti bahagian putih diatas bahagian kuning telah sedikit mengeras boleh lah dipadamkan api
7. Tabur dengan cili padi semasa menghidangkan nya.

* Selamat Menjamu Selera ...

Monday, 11 April 2016

PULUT KUNING & RENDANG DAGING ISTIMEWA .... Kenduri Khatam Quran


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua...

Alhamdulillah !
Hari sabtu lepas saya adakan sedikit kenduri Khatam Quran.
Buat ala kadar saja, kebetulan hari tersebut juga saya berpuasa sunat di bulan Rejab ni.
Jadi saya sediakan Pulut Kuning dan Rendang Daging.
Hantar sepinggan untuk kakak-kakak sebelah rumah..........

Syukur kepada ALLAH !
Semenjak joint Group-Ngaji secara Wsap ni  semangat membaca semakin membara !
Diperkuatkan lagi dengan semangat dalaman saya untuk habiskan sebelum Ramadhan menjelang.

Syukur...
Sekarang group AQDHK294 ini dah masuk ke pusingan ke 25 hari ini.
Ini bermakna masih ada 5 juzuk lagi, tidak termasuk juzuk untuk minggu ini yang akan melengkapkan bacaan 1 Quran.

Tapi oleh kerana tak sabar nak khatam sepenuhnya ... saya perbanyakkan dan memperkerapkan bacaan saya,
Alhamdulillah pada  minggu lepas, 3/4/2016  siap khatam sepenuhnya.

Dan sekarang dah pon mulakan bacaan yang baru,
Akan memasuki juzuk ke -3 hari ini
Target saya kali ini...
Untuk khatam 1 Quran sekali lagi pada penghujung Ramadhan.
In Sya ALLAH
Aminn.......

OK jom kedapur saya pula ya !

PULUT KUNING



Bahan A
1 kilo Pulut Susu
1 sudu teh serbuk kunyit / 3 titis pewarna kuning (Saya elak menggunakan kunyit kerana ia membuatkan pulut kita sedikit berbau)
2 helai daun pandan

Bahan B
~ 400 gram Santan Pekat
Sedikit garam

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Basuh pulut bersih-bersih, kemudian rendam dengan pewarna atau serbuk kunyit semalaman atau sekurang-kurangnya 9 jam.
2. Toskan air rendaman, kemudian jirus dengan air mengalir untuk mengeluarkan lebihan pewarna.
3. Panaskan periuk kukus. Masukkan pulut yang telah ditoskan kedalam bekas tahan panas. Ratakan pulut pada dasar dan dinding bekas (jika boleh) untuk mendapat ketebalan pulut yang sekata supaya ia cepat masak.
4. Masukkan daun pandan dan kukus selama 30 minit dengan api yang sederhana besar.
5. Keluarkan bekas yang berisi pulut tadi dari periuk kukus, masukkan separuh dari santan (yang bercampur garam) dan ratakan. Kukus semula selama 20 minit.
6. Keluarkan bekas yang berisi pulut untuk kali kedua, masukkan baki santan, ratakan dan kukus kembali selama ~ 1 jam.

7. Angkat, masukkan kedalam acuan dan kejapkan supaya ia mengikut bentuk acuan.


RENDANG DAGING ISTIMEWA



Bahan A
800 gram Daging (hiris mengikut saiz kesukaan)

Bahan B (Diblend halus)
3 sudu besar minyak masak
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2 batang serai
15-20 biji cili padi hijau
1 inci kunyit hidup
1 inci halia
sedikit air

Bahan C
2 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2 batang kulit kayu manis
1 camca besar 'penuh menimbun' Rempah Sup Faiza
1/2 sudu besar kerisik
1 keping asam gelugor
Santan dari 1 biji kelapa

Bahan D
1 pokok daun sup, anggaran 6-8 batang saiz besar (dihiris)
1/2 pokok daun ketumbar (dihiris)

Bahan E
1/2 kiub pati daging Lembu
1 helai daun kunyit (dihiris nipis)
sedikit garam

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Masukkan daging, bahan B dan C kedalam kuali dan masak dengan api yang sederhana besar sehingga daging mejadi empok dan kuah menjadi separuh pekat.
2. Masukkan bahan D dan teruskan memasak sehingga kuah rendang menjadi sedikit kering.
3. 10 minit sebelum angkat masukkan bahan E dan perasakan dengan garam.

* Selamat Menjamu Selera ...

Friday, 8 April 2016

KANGKUNG GORENG BELACAN .... yang super sedap ! Berbudi pada tanah ini lah hasilnya


Bismillahirrohmanirrohim...
Assalamualaikum, Selamat Sejahtera dan juga Salam Jumaat semua.....

Berbudi dengan tanah, ini lah hasilnya.. Kangkung segar
Kalau ada kemahuan, disitu tetap ada jalan.....
Tak perlu sediakan tempat yang luas.
Hanya dalam tayar buruk pon boleh saja.
Percaya atau tidak, tempat yang sebesar itu hasilnya dapat dikongsi dengan 3 buah rumah.
Lebih kurang 2 cekak untuk serumah...
Ini lah hasil dari minat menanam kakak saya, macam macam jenis sayur yang ditanam beliau


Saya,
Rumah sebelah boleh tumpang merasa...
Alhamdulillah !

Hasilnya... Kangkung Goreng Belacan yang saya telah sediakan semalam
Resepi yang saya tumpang dari dapur Che Mat Gebu.
Memang menyelerakan..dengan taburan ikan bilis ranggup
Bertambah-tambah nasi saya makan
Tumpang share resepi kat sini ya Che Mat, minta halalkan resepi...

Bahan A
2 cekak kangkung, siang berasingan daun dan batangnya, cuci dan toskan
Sedikit ikan bilis, dibersihkan dan digoreng garing, ketepikan
1 biji bawang besar, hiris halus
1/2 camca besar sos tiram
Sos ikan secukupnya
Garam secukup rasa (jika perlu)
Sedikit air

Bahan B (Ditumbuk hancur/ *saya blend kering)
1 biji bawang besar
4 biji bawang merah  (*saya tak masukkan)
2 ulas bawang putih
1 biji cili hijau  (*saya tak masukkan)
1 biji cili merah (* saya masukan 3 biji)
6 - 7 biji cili padi (* saya masukkan 3 biji saja)
1 inci belacan
Sedikit ikan bilis, bersihkan dan rendam sekejap, toskan

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis bahan tumbuk hingga harum.
2. Tambah sos tiram dan sedikit sos ikan. Masukkan juga hirisan bawang besar. Kacau rata dan masak sekejap.
3. Masukkan batang kangkung dan gaul rata, masukkan sedikit air (sedikit sahaja). Tambah daun kangkung dan gaul pantas.
4. Tambah garam secukup rasa dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
5. Alih sayur kangkung dalam bekas sesuai, tabur ikan bilis goreng atasnya dan hidangkan segera bersama nasi dan lauk2 lain. Sedap dimakan panas.

Selamat Menjamu Selera ....

Thursday, 7 April 2016

PEKASAM GORENG DAUN KESOM.... memang sedap !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua...

Lauk untuk kali ini, saya goreng ikan pekasam.
Ikan Pekasam ni memang sedap kalau kena cara menggoreng nya.

Semasa membeli, saya suka memilih yang ada banyak serdak-serbak beras.
Kita goreng dengan api perlahan hingga beras-beras tu ranggup.
Kemudian tambah kan sikit cili kering dan bawang besar.
Fuh yooo... makan dengan nasi panas.

Berbuka puasa hanya dengan lauk itu dan sedikit sayur pon dah cukup !!
Itu lah salah satu kenangan saya semasa menetap di Pangsapuri Serindit suatu ketika dahulu.
Memang sedap... layan habis

Satu lagi mesti pastikan pekasam itu tidak berbau. Orang utara kata 'Ke-hong' atau  hapak akibat dari pekasam lama atau kebersihan diragui.

Pekasam kali ini saya beli di Pasar Tani, Penanti
Memang kakak ni pakar Pekasam
Macam-macam ikan ada dijual

Jom kita kedapur...

Bahan A
1/3 cawan minyak masak (minyak yang sama akan digunakan untuk menggoreng bahan B)
Ikan Pekasam (Saya goreng separuh sahaja kerana ikan ini bersaiz besar)

Bahan B
3-4 biji bawang besar (dihiris tebal)
8 biji cili padi merah (dipotong menyerong)
8 biji cili padi hijau (dipotong menyerong)
1 pokok daun Kesom

Cara-Cara Meyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam kuali yang tidak melekat (non stick). Goreng ikan pekasam dengan api yang perlahan
2. Balikkan ikan apabila pasti bahagian bawah telah garing. Pastikan semasa balikan itu dengan perlahan supaya ikan tidak hancur.
3. Angkat apabila kedua-dua bahagian telah garing.

4. Dengan menggunakan minyak yang sama, goreng bawang besar dan cili padi sehingga bawang layu.
5. Masukkan daun kesom, gaul-gaul sekejap, terus angkat dan curahkan atas ikan pekasam.

* Selamat Memasak dan Menjamu Selera ....

Tuesday, 5 April 2016

CUBIT-CUBIT BAWANG .....comei. Sebiji, sebiji masuk mulut


Bismillahirrohmanirrohim...
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua..

Hari ini saya nak kongsi resepi sarapan pagi saya
Dah 3 hari bersarapan dengan cubit-cubit bawang ini
Asal resepi ini adalah Cubit-Cubit Jagung yang saya beli di pasar tani Penanti 2 minggu lepas.
Sedap !!!
Itu yang tergerak nak masak sendiri tu.
Tapi disebabkan tak ada stok jagung, jadi saya gantikan dengan bawang....

Saperti cucur bawang
Tapi beza nya ia menggunakan kuantiti bawang yang banyak dan saiz nya yang amat comel-comel gitu......
Sebiji, sebiji masuk mulut.
Texture isi cucur ini amat lembut bila digigit.
Sedap di makan panas-panas

Adunan untuk 2 orang makan

Bahan A
1 cawan tepung gandum
Lebih kurang 1/4 cawan air * Bergantung kepada Jenama/Keluaran
  (Jika masih ada tepung yang tidak rata digaul, bolehlah ditambah sedikit lagi air. 
  Cuma pastikan adunan kita boleh di goreng bulat-bulat saja)
  Pengalaman saya..  1/4 sukatan jika 'Bakers Choice'. 1/2 sukatan jika cap 'Keluarga' 
3 sudu besar minyak masak
1/2 biji telur (Pecahkan sebiji, dikocak dan guna hanya separuh sahaja)
1/2 jemput ikan bilis (direndam sekejap dan ditumbuk hancur)
1/2 sudu teh baking powder
1 biji cili merah bersaiz kecil/ jika  besar guna separuh saja (ditumbuk halus untuk menjadikan cucur kita sedikit bewarna kemerahan)
2 biji cili padi. Boleh dikurangkan/abaikan jika kurang gemak pedas (dihiris nipis)
2 biji bawang holland bersaiz besar (Dibelah 4, dah setiap belahan dibelah lagi 4..menjadikan ia 16 belahan dan dipotong menjadikan ia kiub)
2 pokok daun kucai (dipotong pendek)
Sedikit udang hidup (dicincang kecil)
sedikit garam

Cara-Cara Menyedikan nya :
1.  Satukan semua bahan A diatas, dan gaul rata.
2. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali. Jemput adunan tepung sebesar jari kelingking dan goreng.
3. Balik-balikkan sehingga cucur masak.

* Selamat Menjamu Selera ...

Monday, 4 April 2016

SAMBAL MEMPELAM... Pedas dengan manis-manis buah


Bismillahirrohmanirrohim...
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua..

Kebetulan beberapa hari lepas saya ke pasar basah Bukit Mertajam, terperasan ada dijual mempelam muda dan separuh masak.
Nampak cantik sangat..montok-montok, bulat-bulat pulak
Terus teringat nak makan sambal mempelam
sedap ni !
pedas cili api dengan manis buah mempelam
terliur pulak.....
makan dengan ikan kering goreng
ulam sayur kampung
aduh !
meleleh air liur.....

Ambik 2 biji je nak buat sambal
cukup lah......

Jom Kita tumbuk sambal

Bahan A
4 biji cili merah
6 biji cili padi (saya tambah untuk lebih pedas)
sedikit belacan sebesar ibu jari
sedikit garam

Bahan B
Jus Limau Kasturi dari 1 biji
1/2 biji mempelam masak (dipotong besar)

Cara-Cara Menyediakan nya:-
1. Tumbuk bahan A sehingga lumat.
2. Kemudian masukkan Jus limau kasturi dan gaul rata.
3. Masukkan potongan mempelam dan leyek-lenyekkan separuh lebam. Tidak perlu terlalu hancur untuk dapat menikmati kemanisan mempelam.
4. Siap untuk dihidangkan

* Selamat Menjamu Selera ...