Wednesday, 8 June 2016

BUBUR LAMBUK AYAM KUNYIT ... Juadah hari ke-2 Ramadhan 1437 Hijrah

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum ..

Alhamdulillah hari ini dah pon masuk hari ke-3 kita berpuasa untuk tahun ini.
Saperti tahun-tahun lalu,
Juadah berbuka saya amat-amat simple sekali
Kerana saya memang tidak suka membazir
Satu dua juadah dah mencukupi

Saya juga lebih suka memasak dari membeli
Kecuali lah masa saya kerja dulu, saya terpaksa membeli kerana kesuntukan masa.
Atau kalau ada halangan yang tak dapat dielakkan.
Kalau dah masak sendiri tentu lah sepenuhnya mengikut selera kita kan
Lagi pon memasak sendiri lebih terjamin kebersihan nya

Hari ke-2 semalam, saya berbuka dengan Bubur Lambuk
Kebetulan pulak kakak saya hantarkan sebungkus lagi bubur lambuk pemberian Masjid Kubang Semang,
Jadi semalam memang makan bubur lambuk saja lah sampai kenyang
Dah menjadi kegemaran tentu tak menjadi masalah

Kali ini bubur lambuk yang saya sediakan alhamdulillah sedikit special kerana bahan-bahan rencah yang saya gunakan saya goreng sehingga benar-benar garing sebelum saya masukkan beras, juga saya campurkan dengan ketulan-ketualan ayam goreng kunyit yang saya goreng berasingan.
Memang sedap sangat sebab bubur ini, rasa nya amat wangi sangat !!!

Sebab itu saya kata saya boleh makan bubur lambuk saja semalam tanpa nasi berlauk lain.

Untuk 4-5 orang makan

Bahan A
1 1/2 cawan beras
12 cawan air
3/4 kiub pati ayam
sedikit garam
100 ml santan pekat (santan M&S)

Bahan B
sedikit minyak
1 ketul dada ayam (dipotong kepada ketulan kecil)
1/2 camca teh serbuk kunyit
1/2 camca teh lada hitam (ditumbuk halus)
1 biji bawang besar (dihiris nipis)
3 biji cili padi merah
sedikit garam

Bahan C
2 camca besar minyak masak
3/4 camca besar minyak sapi Ghee Blend
4 ulas bawang putih (dihiris nipis)
2 biji bawang besar (dihiris nipis)
1 inci halia (dihiris nipis)
1 batang kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
1/2 camca teh lada hitam (biji)
1/2 camca teh halba sahaja (biji)
1/2 camca teh jintan manis (biji)
1/3 cawan daun sup

Cara-Cara Menyediakannya
Ayam Goreng Kunyit.
1. Ayam diperap dengan serbuk kunyit , garam dan lada hitam.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan goreng ayam sehingga 'garing' untuk menaikkan aroma ayam kunyit ini.
3. Masukkan bawang dan cili padi; ratakan sebentar dan tuangkan kedalam bubur lambuk bersama minyak nya.
Minyak ayam goreng ini akan menjadikan bubur kita lebih beraroma. Jadi pastikan semasa menggoreng ayam, minyak tidak perlu banyak.

Bubur
1. Panaskan minyak dan minyak sapi dalam periuk dan goreng kesemua bahan C sehingga garing.
 * Sila pastikan semua 'benar-benar garing dan daun sup kecut' 
2. Masukkan kesemua bahan A kecuali santan.
3. Masak dengan api sederhana sehingga beras hancur. Untuk mempercepatkan proses penghancuran beras, kerap kali lah mengacau nasi.
4. Setelah nasi 3/4 hancur baru dimasukkan santan pekat bersama lauk ayam goreng kunyit.
5. Teruskan memasak sehingga bubur hampir mendidih kembali.
6. Siap untuk dihidangkan dengan taburan bawang goreng ranggup.

* Selamat Berbuka Puasa

1 comment: