Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua...
Perkongsian resepi untuk hari ini BAWAL ASAM KICAP yang ditumis dengan rempah 4 sekawan. Dan dikawankan juga dengan potongan kacang buncis yang digoreng sekejap sahaja untuk mengekalkan kerapuhan nya.
Alhamdulillah, sedap atau tidak ? Akak siap masak nasi panas-panas lagi ...
Sedikit kelainan dari biasa bagi padanan rempah ini dalam masakan, sebab kebiasaan nya ia diguna dalam resepi daging dan ayam sahaja.
Kali ini akak masukkan dalam masakan ikan.
ya......
Tak rugi mencuba kerana keenakan lauk ini berganda-ganda menyelerakan.
Malahan baki-baki kuah yang tinggal sedikit dalam mangkuk, rasa sayang sangat nak dibuang.
Jadi nya akak simpan untuk sarapan 'menyorok' keesokan hari sebelum bertolak menghadiri kursus di Tasik Gelugor.
Berganda-ganda lagi sedap, bila masak asam ini akak tambahkan kicap masin dan manis sahaja.
Tiada perasa tambahan lain.
Jom masak ........
Bahan A
3 potong Ikan Bawal Hitam (boleh diganti dengan ikan lain yang disukai)
1 camca kecil Kunyit Serbuk
Sedikit Garam
Bahan B
Minyak secukupnya
2 ulas Bawang Putih (dimayang)
2 ulas Bawang Merah (dimayang)
1/2 inci Halia (dihiris batang mancis)
1 batang Kulit Kayu Manis
1 kuntum Bunga Lawang
3 kuntum Bunga Cengkih
2 biji Buah Pelaga
Bahan C
1/2 biji Bawang Holland (dihiris tebal)
3/4 camca besar Pes Asam Jawa 'Adabi'
1/2 camca kecil Lada Hitam Serbuk
Sedikit Air
Bahan D
10-15 tangkai Kacang Buncis (dihiris pendek menyerong)
5 biji Cili Padi Merah (dihiris kasar)
5 biji Cili Padi Hijau (dihiris kasar)
Kicap Lemak Manis 'Kipas Udang' (kicap lemak manis 3 kali lebih dari Kicap masin)
Kicap Lemak Masin 'Kipas Udang'
* Tiada penggunaan garam lain kecuali dalam perapan ikan
Cara Menyediakan nya
1. Lumurkan ikan dengan kunyit dan garam. Perap selama 15 minit.
2. Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga masak. Angkat.
3. Menggunakan sedikit minyak goreng ikan tadi, tumis bahan B sehingga berorama harum.
4. Masukkan hirisan bawang holland, kacau seketika. Agak sedikit layu baru masukkan bahan C yang lain. Kecilkan api untuk memastikan minyak dapat terbit secara perlahan. * Jika api besar kuah asam menjadi kurang cantik dan menarik.
5. Apabila kuah nampak susut dan sedikit pekat, baru masukkan bahan D, di kacau rata, terus masukkan ikan. Balik-balikkan ikan dengan perlahan supaya kuah dapat meresap dalam ikan.
6. Siap untuk dihidangkan.
sedap nampaknya kak, lagi2 siap ada kacang buncis tuh...
ReplyDeletekalau tkade idea blh try nih...
utk bdk2 pun sesuai, lauk siap ngn sayur... dana suka masakna gini