Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam hujung minggu
Lauk pada hujung minggu ini .... 'PAJERI NENAS'.
Makan dengan Ikan masin yang digoreng dengan bawang dan cili kering.
Memang sah saya tak pandang kiri kanan lagi.
hahaha ... nasib lah siapa yang lalu lalang.
Nenas yang saya beli di Pasar Tani di Port Diskson minggu lepas ini memang bersaiz besar.
1/4 dari nya dah dibuat 'KERABU SARDIN' tempoh hari.
Masih ada baki 3/4.
Tapi 3/4 ni pon macam sebiji sebab saiz nya yang besar.
Ada sesetengah orang rebus nenas ini terlebih dahulu sebelum dimasukkan kedalam rempah.
Ada juga masukkan nenas tanpa merebusnya.
Saya memang praktikkan cara yang ke dua itu kerana saya nak memastikan kemanisan dan kemasaman asli nenas itu berada dalam masakan pajeri ini.
Bahan A
1 biji nenas (dibuang kulit dan empulur, dibelah 2 dan di potong tebal)
2 biji cabai hijau (dipatahkan)
Bahan B
sedikit minyak untuk menumis
4 ulas bawang putih (diketuk dan dicincang halus)
8 ulas bawang merah (dimayang nipis)
1 inci halia (dihiris nipis)
3 tangkai daun kari
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
6 kuntum bunga cengkih
5 biji buah pelaga
Bahan C
2 camca besar udang garagau/udang kepal (direndam dan ditapis untuk mengasingkan batu/pasir jika ada).
* Kebiasaan guna udang kering yang ditumbuk lebam. Tapi kali ini saya gantikan dengan udang geragau
4 camca besar 'penuh' rempah daging
1 mangkuk air
1 camca teh lada hitam (ditumbuk halus)
1/2 camca teh lada putih (ditumbuk halus)
6 camca 'penuh' gula putih
1 camca besar kerisik
1/2 kotak santan pekat
2 mangkuk air sebagai kuah
1 keping asam gelugor (Jika kurang masam)
sedikit garam
Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis kesemua bahan B sehingga hampir keperangan.
2. Masukkan udang garagau dan goreng hingga udang bertukar sedikit keperangan dan terbit aroma udang geragau
3. Masukkan baki bahan C yang lain, besarkan api dan biar rempah mendidih. Kecilkan api dan masak sehingga terbit minyak yang bergeledangan dengan banyak dalam periuk.
4. Masukkan bahan D dan kacau-kacau supaya rempah sebati dengan santan dan garam.
5. Masukkan nenas. Masak sehingga kuah mendidih semula.
6. Sebelum angkat masukkan cabai hijau.
7. Siap untuk dihidangkan
* Selamat Menjamu Selera ...
No comments:
Post a Comment