Tuesday, 28 February 2017

NASI GORENG ARAB BER'KICAP ... alas perut yang sedap di pagi hari


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Sarapan pagi saya hari ini NASI GORENG ARAB BER'KICAP.

Kali terakhir saya sediakan nasi goreng ini pada penghujung bulan January yang lalu.
Boleh rujuk di sini NASI GORENG ARAB ... Simple, Sedap & Selera Sungguh ! 



Tapi hari ini saya tambahkan kicap dan sedikit ikan bilis untuk lebih mengancam selera .......




Nasi goreng ini boleh dimakan dengan lauk  goreng apa saja.
Ikan, telur, ayam atau pon daging.
Terpulang pada selera masing-masing ..........

Jomm...


Bahan A
1 mangkuk besar nasi putih (berada pada suhu bilik)
1 biji bawang besar (diketuk lebam)
1/2 sudu teh lada hitam biji (ditumbuk halus)
1/2 sudu teh lada putih biji (ditumbuk halus)
1 camca besar Sos Tiram
Kicap Manis 'Kipas Udang'
Kicap Masin 'Kipas Udang'

Bahan B
3/4 camca besar minyak sapi 'Ghee Blend'.
5 ulas bawang putih (dihiris nipis)
1/2 inci halia (dihiris nipis memanjang)
1 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
4 kuntum bunga cengkih

Bahan C
Hirisan Cili padi
Hirisan Daun Bawang
Bawang Goreng



Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak sapi dalam kuali dan tumis bahan B sehingga terbit aroma.
2. Masukkan bawang besar dan kacau sehingga layu.
3. Masukkan ikan bilis, lada hitam/putih dan terus goreng sehingga sedikit garing dan beraroma.
4. Masukkan beberapa camca besar air masak supaya perencah tidak terlalu kering.
5. Masukkan nasi, sos tiram, kicap manis dan kicap masin.
6. Gaul sehingga rata sebelum diangkat
7. Tabur dengan bahan C dan hidang bersama lauk sampingan.

* FHA Selemak Santan

Monday, 27 February 2017

BIHUN SINGAPORE ... Brunch yang sedap dan mengenyangkan !!!


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Brunch untuk hari ini BIHUN SINGAPORE

Perancangan awal hari ini ingat nak masak Nasi Ayam Yunan.
Alih-alih terpaksa tukar ke bihun.

Ya lah bila dah balik pasar memang sibuk sikit kan.
Maklum ...
Mengemas barang yang telah di beli
Ikan, Ayam, Sayur, Cili
Tak beli banyak pon
Sikit-sikit saja

Pek dalam plastik dan bekas
Biar simpanan dalam peti sejuk tu nampak kemas... dimata kita !
Betul tak ???

Jadi hari ni sarapan lewat sikit
Sekalikan dengan makan tengahari
Memang sesuai sangat kalau masak BIHUN SINGAPORE ni sebagai brunch

Bihun ini memang saya masak berkuah kerana saya amat gemar makanan berkuah
Laju saja makan bihun bersama hirupan kuah nya yang menyelerakan


Saya juga ada sediakan VIDEO dalam penyediaan bihun ini
Kalau nak tengok boleh lah access Instagram saya 'fhaselemaksantan' ya...

Sekarang ni sedang belajar-belajar buat video pula
Ini dah masuk video ke 3..

Kalau snap foto saja boring juga
Nak juga belajar yang lain...
Tukar-tukar.. biar ada perkembangan !!!


(Untuk 4 orang makan.  Kalau makan banyak atau bertambah memang tak cukup ni !!!)

Bahan A
1/3 paket bihun yang tak mudah hancur (direndam 1/2 jam)
* Saya beli jenama 'Jasmine'. 'Jati' pon OK juga.

Bahan B
10-13 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 1/2 camca besar udang kering (ditumbuk halus)
1 mangkuk 'penuh' hirisan daun sup
2 biji bawang besar (ditumbuk kasar)
1 mangkuk kecil potongan isi ayam * saya ambil bahagian dada
1 mangkuk kecil udang hidup * yang bersaiz sederhana
1 1/2 camca kecil lada hitam biji (ditumbuk)
1 camca kecil lada putih biji (ditumbuk)
3 mangkuk besar air  Pastikan  dilebihkan kerana bihun akan menyerap air dan kerana bihun ini berkuah jadi air harus banyak. Tetapi biar berpatutan
1/2 kiub pati ayam
sedikit garam
1 mangkuk besar taugeh

Bahan C
Fish Cake (digoreng sekejap)
Tauhu (digoreng sekejap)
Hirisan Daun sup
Hirisan Daun Bawang
Hirisan Cili Padi
Limau Nipis
Bawang Goreng

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang putih sehingga kekuningan.
2. Masukkan udang kering, kacau sekejap dan terus masukkan hirisan daun sup. Goreng sehingga daun sup benar-benar kecut. Masa ini akan terbit aroma yang sedap dan wangi. 
3. Masukkan bawang besar dan terus mengacau sehingga bawang layu.
4. Masukkan isi ayam dan udang. Goreng sehingga ayam 1/2 masak.
5. Masukkan lada hitam dan lada putih di ikuti dengan air secukupnya sebagai kuah. Biar sehingga kuah mendidih membuak-buak.
6. Masukkan garam, pati ayam dan kacau supaya larut.
7. Terus masukkan bihun, kacau-kacau sedikit,  terus tutup tudung kuali dan perlahankan api.
8. Agak-agak 4-5 minit (atau sehingga bihun masak/lembut),  masukkan taugeh dan terus padamkan api. Ratakan  menggunakan garfu supaya bihun 'tidak putus dan hancur'.

9. Hidangkan dengan taburan bahan C.

* Selamat Menjamu Selera ...

* FHA Selemak Santan

Sunday, 26 February 2017

SARDIN GULUNG ... Ranggup dimakan panas-panas !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Semalam saya sediakan SARDIN GULUNG sebagai minum petang.

Tak buat banyak..
Dalam 5 keping roti sahaja
Potong 2 dapatlah 10 ketul...


Biasa nya kalau badan kurang sihat, tengok nasi pon dah tak berselera nak makan.
Tu yang teringin nak makan roti saja.
Kebetulan ada seketul lagi Ikan Mackerel.
Jadi lah SARDIN GULUNG ni...

Tak kisahlah nak guna Sardin atau Mackerel terpulang.

Jomm....


Bahan A
Roti putih secukup nya
Minyak untuk goreng tenggelam

Bahan B
1 ketul ikan Mackerel/Sardin yang bersaiz besar (dihancurkan)
1/2 sudu makan Sos Tomato Mackerel/Sardin
1 biji bawang besar (dibelah 8 dan dihiris sederhana tebal)
2 biji cili padi merah (dihiris nipis)
1/2 biji  limau nipis (diambil jus nya)
1/2 camca teh serbuk lada hitam
1/2 camca teh serbuk lada putih
1/2 mangkuk hirisan daun sup
sedikit garam

Bahan C (sebagai pelekat)
1 camca besar tepung gandum
sedikit air


Cara-Cara Menyediakan nya
1. Roti digelek sehingga nipis (dibalik-balikkan /  didepan dan belakang) dan kemudian nya di potong 2.
2. Satukan kesemua bahan B sehingga rata.
3. Satukan bahan C dan bancuh sedikit cair dari cucur bawang.

4. Ambil 1/2 keping roti yang telah dilenyek nipis dan letakkan lebih kurang 1/2 sudu kecil  inti (bahan C) disatu hujung. Pastikan jangan terlalu penuh untuk mengelakkan ia keluar semasa menggoreng.
5. Calitkan sedikit bancuhan tepung (bahan C) pada satu hujung lagi.
6. Gulung roti dan letakkan dalam bekas. Pastikan hujung berpelekat berada dibahagian dibawah untuk memastikan ia gam sempurna.
7. Buat sehingga habis

8. Panaskan minyak dalam kuali dengan api sederhana besar.
* Minyak yang terlalu panas akan menyebabkan roti cepat menjadi hitam dan cepat hangit. Juga ia masak dengan tidak sekata.
*Minyak yang kurang panas pula boleh menyebabkan ia menyerap masuk kedalam roti
9. Masukkan roti dan goreng dengan api yang sederhana. Balik kan jika dapati bahagian telah bawah bertukar keperangan.
10. Apabila pasti ia masak sempurna bolehlah diangkat dan ditoskan minyak nya.


* FHA Selemak Santan

Friday, 24 February 2017

DAGING GORENG JINTAN 'KELANTAN' ... Sedap nya !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

DAGING GORENG JINTAN 'KELANTAN'  ... Sedap nya !!!!

mmm..........
Kalau dah suka hari-hari lauk yang sama pon tak apa kan.
Kadang teringat lauk daging goreng yang dijual di salah satu gerai makan berdekatan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.
Gerai Kelantan yang menjual lauk daging goreng
Fuhh !!!
Sentiasa mendapat sambutan ramai ketika itu.

Jom hari ini kita masak daging goreng ....


Bahan A (gaul dan perap 1/2 jam)
400 gram daging (dihiris sederhana tebal)
1 camca kecil serbuk jintan manis
1 camca kecil serbuk jintan putih
1 camca kecil serbuk campuran lada hitam & lada putih
1 camca kecil serbuk kunyit
1 camca kecil garam

Bahan B
Air secukup nya untuk merebus daging sehingga empuk (paras tenggelam)
Minyak masak (jika suka lebih berminyak boleh ditambah lebih)
5 biji cili padi merah (dipotong menyerong)
5 biji cili padi hijau (dipotong menyerong)
2-3 biji bawang besar (dihiris tebal)
Kicap lemak masin 'Kipas Udang'
Kicap lemak manis 'Kipas Udang'



Cara-Cara Menyediakan nya
1. Masukkan bahan A kedalam kuali dan rebus sehingga daging empuk dan air rebusan susut.
Apabila air hampir kering harus dikacau selalu supaya tidak terlajak hangit.
2. Masukkan minyak masak dan terus menggoreng daging sehingga terbit aroma.
3. Masukkan cili padi, bawang besar dan gaul rata.
4. Masukkan kicap manis dan kicap masin (lebihkan kicap manis. Kicap masin sedikit sahaja kerana kita telah tambahkan dalam daging sebelum ini).
5. Gaul rata dan siap untuk dihidangkan.

* FHA Selemak Santan

Thursday, 23 February 2017

TERUNG BAKAR BERSAMBAL ... Yummy ! Yummy !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Hari ini masak TERUNG BAKAR BERSAMBAL
Beli terung bulat montok ini dah 3 hari.
Dari hari kehari nak masak asyik tertunda sahaja
Hari ini baru tertunai selera ini..

Memang suka terung sangat !
Tak kisah lah digoreng atau dibakar.
Tapi kalau goreng ia akan serap minyak. Rasa macam kita pulak makan minyak berlebihan !!!
Kepada yang berdiet elok lah terung ini dibakar.
Keenakan nya sama sahaja.

Jomm..


Bahan A
3 biji terung bulat (dibelah 2)
1/2 camca besar minyak masak

Bahan B
sedikit minyak
2 mangkuk kecil ikan bilis

Bahan C
8 biji cili padi hijau
8 biji cili padi merah
1 biji bawang besar
8 ulas bawang putih
sedikit belacan
1 biji tomato segar (dibelah 8 )

Bahan D
1/2 camca besar gula putih
sedikit garam

Bahan D
sedikit hirisan daun sup

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Leser kan kuali leper dengan 1/2 camca besar minyak.
2. Susun terung dalam kuali kemudian tutup tudung nya dan bakar dengan api yang perlahan. Agak-agak dalam 2-4 minit, alihkan terung. Bila terung sudah lembut bolehlah diangkat dan ketepikan.
* Jangan risau jika permukaan terung bertukar kehitaman saperti foto diatas. Ia bukan nya hangit.
Bila makan tak terasa langsung kepahitan.

3. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng ikan bilis sehingga garing, angkat dan ketepikan.
4. Menggunakan baki minyak yang tinggal, goreng bahan C sehingga bawang merah menjadi layu dan kulit cili menjadi sedikit kecut.
5. Angkat dan masukkan dalam mesin pengisar dan kisar sehingga halus.

6. Juga menggunakan baki minyak gorengan diatas, tumis bahan kisar sehingga hampir garing.
7. Masukkan gula dan perasakan dengan garam.
8. Angkat dan tuang keatas terung yang siap dibakar. Tabur dengan ikan bilis goreng dan hirisan daun sup.

* FHA Selemak Santan

DAUN PALEM ... Sudut Photography


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Tema Hari ini DAUN PALEM atau lebih dikenali dikalangan kita di sini sebagai DAUN PALMA.
Mana nak cari Daun Palma niiii....

Ronda-ronda belakang rumah baru terperasan jiran sebelah ada menanam pokok ni bersebelahan dengan beberapa pokok nyok.
Tak pasti pula apa kegunaan nya.
Kalau nyok atau kelapa boleh juga diambil buah nya kan !

Mungkin sebagai hiasan saja.
Hanya tuan nya saja yang tahu ...........

Gambar asal adalah saperti dibawah yang mana saya crop untuk mendapat view yang diatas tu ....
Kemudian adjust sikit 'Sharpness' dan 'Clarity' supaya nampak klasik.


Time: 11.36 am
Picture Sytle : Portrait,
ISO : 100,
Aperture: 1.8,
Shutter Speed: 1/1600,
White Balance: AWB,
Metering: Evaluative
Point of Interest: Daun
Flash : NO
Lense : 50 mm

* FHA Selemak Santan

Wednesday, 22 February 2017

NASI GORENG MACKEREL ... Brunch for today


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Hari ini sarapan pagi lewat sikit
Sepagi sibuk mengemas bilik tamu yang ke 2 yang digunakan untuk menyimpan barang
Letih memang letih tapi hasil nya memang puas hati bila selesai semua nya.

Sebenar nya semalam dah buat NASI GORENG MACKEREL sebagai makan malam.
Sebab sedap sangat jadi hari ini saya masak lagi sebagai sarapan pagi.

Jom...


Bahan A
1 mangkuk nasi putih
1/2 camca besar ButterCup
4 ulas bawang putih (dicincang halus)
2 biji batang besar (dibelah 2 dan dihiris sederhana tebal)
4 biji cili padi merah (dihiris nipis)
1 mangkuk kecil hirisan daun sup
1/2 camca teh serbuk lada hitam
1/2 camca teh serbuk lada putih
1 ekor ikan Mackerel Tin (hancurkan) * Kalau ikan nya kecil masukkan 2 ekor
1 camca besar Sos Tomato dari Ikan Mackerel Tin
sedikit garam

Bahan B
Hirisan daun sup
Bawang Goreng

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Cairkan butter dalam kuali dan tumis bawang putih sehingga kekuningan.
2. Masukkan bawang besar dan goreng sehingga layu.
3. Masukkan cili padi, daun sup, lada hitam dan lada putih. Goreng sehingga daun sup kecut dan terbit aroma.
4. Masukkan Ikan Mackerel,  Sos nya dan ratakan.
5. Masukkan nasi dan perasakan dengan garam.  Ratakan dan goreng selama 5-6 minit sebelum diangkat untuk dihidangkan.

* Jika terlalu kering boleh ditambah 2-3 camca besar air masak pada step 4


* FHA Selemak Santan

Tuesday, 21 February 2017

TERUBUK BAKAR & SAMBAL KICAP ... Sedap nya !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Semalam perasan ikan Terubuk banyak dijual dipasar berbanding ikan kembong.
Beli lah seekor ...

Rasa hati nak masak kari....Teringin kan
Sama juga teringin sangat nak bakar & cicah dengan air asam atau sambal kicap
Akhir nya..
Hari ini berlaukkan TERUBUK BAKAR & SAMBAL KICAP dulu

Tak apa kita bakar dulu..
Nanti beli lagi masak kari pulak
Resepi kali ini saya rujuk dari RESEPI BONDA
Marvelous !!!!

Saya sesuaikan kuantiti bahan sepadan dengan saiz ikan dan olahkan sedikit cara penyediaan nya.

IKAN TERUBUK


Bahan A
1 ekor ikan Terubuk yang bersaiz sederhana
(Sebelum disiang, pegang bahagian kepala dan juga bahagian ekor nya dan tarik 2-3 kali sehingga tiada kedengaran bunyi tulang. Tujuan nya adalah supaya apabila dimakan tulang nya mudah diceraikan dari isi. Disiang dan dibersihkan)

Bahan B (Kisar sehingga halus)
10-12 biji cili kering (* saya guna yang Super Hot 7 biji sahaja)
1 biji bawang besar / 8 ulas bawang merah
4 ulas  bawang putih
1/2 inci belacan
1 biji tomato

Bahan C
Minyak untuk menumis
Sedikit serbuk kunyit
Sedikit garam
Daun pisang secukup nya

Bahan D
1 biji limau nipis
Daun ketumbar ( diracik kasar ) * Saya tak masukkan

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan B, masukkan sedikit garam dan serbuk kunyit.
2. Masak dengan api perlahan sehingga ia menjadi pekat dah terbit minyak.
3. Angkat dan biarkan sejuk seketika sebelum dilumur pada ikan. Perap selama 10-15 minit.


4. Letakkan sekeping daun pisang diatas kuali leper dan letakkan ikan. Tutup bahagian atas ikan dengan sekeping daun pisang lagi. Tujuan nya adalah untuk memastikan yang wap panas akan terperangkap antara daun pisang dan bahagian dalam masak dengan sempurna.
5. Bakar dengan api yang perlahan sehingga bahagian bawah ikan sedikit garing dan balikkan ia.
6. Teruskan membakar sehingga masak.


SAMBAL KICAP



Bahan E
sedikit minyak untuk menggoreng
8 biji cili padi merah
8 biji cili padi hijau
4 ulas bawang putih

2 camca besar gula putih
1/3 keping gula melaka
Kicap Manis Kipas Udang
Kicap Masin Kipas Udang
1 biji limau lipis (Di ambil jus)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Goreng terlebih dahulu cili padi bersama bawang putih sehingga kulit cili padi nampak agak masak sedikit dan bawang putih nampak kekuningan.

2. Satukan cili padi dan bawang putih yang telah digoreng tadi bersama gula pasir, gula melaka, kicap masin dan kicap manis didalam blender dan kisar sehingga halus.
* Pastikan kicap masin sedikit sahaja berbanding dengan kicap manis.

3. Perah jus limau dan boleh ditambah sedikit air panas jika didapati sambal terlalu pekat.

* FHA Selemak Santan

Monday, 20 February 2017

AIR DALAM BOTOL ... Sudut Photography


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Time: 1.41 pm
Picture Sytle : Portrait,
ISO : 1600,
Aperture: 2.5,
Shutter Speed: 1/320,
White Balance: Day,
Metering: Evaluative
Point of Interest: Perkataan yang tertera pada botol
Flash : NO
Lense : 50 mm


"Air Zam-Zam air yang bermanfaat untuk apa saja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh dari penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau minum dengan maksud supaya merasa kenyang, maka Allah mengenyangkan engkau. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman dari Allah untuk Ismail”. (HR Daruqutni, Ahmad, Ibnu Majah, dari Ibnu Abbas).

* FHA Selemak Santan

Sunday, 19 February 2017

TEPAK SIRIH ... Sudut Photography


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Tema untuk hari ini .... BEBAS
Oleh itu saya memilih untuk cuba memotretkan Tepak Sirih dengan cahaya yang suram menggunakan barang-barang perak yang sedia ada dalam simpanan saya.
Kita sulamkan dengan puisi cetusan  ... TINTA HATI MENITIP KATA.

Time: 3.43 pm
Picture Sytle : Portrait,
ISO : 1600,
Aperture: 5.6,
Shutter Speed: 1/30,
White Balance: Day,
Metering: Evaluative
Point of Interest: Sireh dalam Dulang
Flash : NO
Lense : 50 mm


PANTUN BUDI

Sekapur sirih seulas pinang
jadi santapan putera raja
jasa baikmu pasti dikenang
menjadi tauladan sesiapa sahaja.

Sirih dijunjung si dara sunti
untuk digubah sebagai hiasan
budi ditabur sepenuh hati
pasti akan mendapat balasan.

Raja sehari cantik didandan
manis wajahnya penuh bercahaya
adab dijaga kata di sempadan
barulah hidup bersendi budaya.

Sirih junjung buat hantaran
turunan budaya juga adat
budi bahasa jadi sandaran
dikenang sehingga ke akhir hayat.

Serinya malam kerana bulan
duduk berehat melepaskan penat
kuatkan tekad penuhi amalan
hidup sentiasa di dalam rahmat.

* FHA Selemak Santan

Saturday, 18 February 2017

KEDERA MASAK KICAP PEDAS ... Makan tengahhari yang menyelerakan


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Lauk hari ini masih dengan Ikan Kedera
Ikan kesukaan saya dan keluarga ni ...

Saya buat KEDERA MASAK KICAP PEDAS
Memag sedap !
Sekali sekala berlauk kan lauk yang sedikit manis boleh juga.
Bertambah-tambah nasi hari ini.

Resepi yang saya rujuk dari blog Azlita Masam Manis  IKAN KERISI MASAK KICAP PEDAS
Resepi asal dari Pak Engku (Santapan Lauk-Pauk Tradisi)
Terima Kasih atas perkongsian resepi yang amat menyelerakan ini !

Saya adjust kuantiti bahan yang digunakan memandangkan Kedera bersaiz kecil berbanding Ikan Kerisi


Bahan A (digaul rata dan diperap 1/2 jam)
6 ekor ikan Kedera (disiang dan cuci bersih)
Sedikit garam
Sedikit kunyit

Bahan B (Rempah tumis)
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 helai daun pandan (koyak 2 & simpul)

Bahan C (kisar halus)
1 biji bawang besar atau  6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
10 tangkai cili kering (cili yang digunakan adalah yang super hot, jadi saya gunakan sedikit sahaja)
Cili padi (* saya tak masukkan)
1 sudu teh ketumbar
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
sedikit air untuk mengisar

Bahan D
150 ml air asam jawa
1/2 ketul gula Melaka
2 camca besar kicap manis
5 camca besar kicap masin (* saya tambah)
gula secukup rasa (* tak masukkan sebab dah dimasukkan gula melaka dan kicap manis)

Bahan E
1 biji tomato (dibelah 4)
1 biji lada hijau (dihiris kasar)
1 labu bawang besar  (dibelah 8) 
1 tangkai daun sup (dimayang halus) 

Bahan F
Minyak untuk menggoreng ikan /menumis
sedikit garam

Cara-Cara Menyediakan nya
1.Gaulkan ikan bersama kunyit dan garam, kemudian goreng hingga kuning keemasan. Angkat dan ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan B sehingga terbit aroma.
3. Masukkan bahan C dan masak hingga pecah minyak.
4. Masukkan bahan D, kacau rata dan biarkan merenih. Jika kuah pekat tambah air sedikit.
5. Masukkan ikan yang telah digoreng tadi.
6. Akhir sekali masukkan bahan E dan perasakan dengan garam.
7. Biarkan seketika ~ 2 minit. Angkat dan boleh di hidangkan.


* FHA Selemak Santan

Friday, 17 February 2017

SAMBAL BUDU ... Menambah selera makan


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

2 hari berturut turut makan nasi bersama SAMBAL BUDU
Sambal orang pantai timur
Makan pula dengan lauk ikan keli yang digoreng ranggup
Dan sedikit kari ikan yang telah diperangat kering
Memang menyelerakan...

Memang dah lama mencari budu jenama lain dari yang sebelum nya kerana ia tak menepati selera saperti yang pernah beli di Kelantan ketika saya berkunjung disana dulu.

Budu yang saya beli kali ini kurang kemasinan nya, warna nya sedikit kemerah-merahan
Mungkin terdapat sedikit pewarna dimasukkan
Tetapi rasa nya OK lah sedap !
Dah 2 hari berturut -turut tu ....habis sebotol kecil !


Bahan A
50 ml budu (1/2 botol kecil)
4-5 ulas bawang merah/bawang kecil (dihiris nipis)
5 biji cili padi merah (dihiris nipis)
5 biji cili padi hijau (dihiris nipis)
1 biji limau nipis (dihiris nipis) * Saya tak perah jus nya, cuma sekadar hiris nipis-nipis untuk memudahkan kita menikmati jus bersama kulit nya

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan kesemua bahan A dalam mangkuk dan sebatikan.
2. Siap untuk dihidangkan.

* FHA Selemak Santan

Wednesday, 15 February 2017

LEEK, ONION AND POTATO SOUP ... Yummy !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Sayur LEEK..
Sedap ni !!!! Macam-macam resepi dah tergambar dalam kepala.
Pening juga nak memilih resepi yang mana satu nak dicuba dulu.

OK...
Kita mulakan dengan resepi yang saya rujuk dari DELIA ONLINE ya ...
LEEK, ONION AND POTATO SOUP.

Cara penyediaan nya amat mudah dan yang pasti memang amat menyelerakan !

Jom ...

Bahan A
1 biji ubi kentang Russet * berisi gebu/cepat empuk  (Dipotong kiub kecil)
1 biji bawang besar (dibelah 4 dan dihiris sederhana tebal)
3-4 sayur leek (dibuang lapisan keras dan dipotong sepanjang 1/2 inci)
1/2 camca besar butter
1 camca teh lada hitam (dikisar halus)
3 cawan susu cair
1/2 kiub pati ayam
sedikit garam

Bahan B
Sedikit daun parsley
Hirisan daun bawang


Cara-Cara Menyediakan nya
1. Cairkan butter didalam periuk.
2. Tumis bawang besar sehingga layu.
3. Masukkan ubi kentang disusuli dengan sayu leek dan kacau rata.


4. Perasakan dengan lada hitam, garam dan kiub ayam. Sebatikan semuanya dengan mentega cair tadi.
5.Tutup tudung periuk dan perlahankan api. Biar campuran sayuran masak dengan wap yang terperangkap selama 15 minit.


6. Masukkan susu cair dan besarkan api dapur supaya ia mengelegak seketika.
7. Kembali tutup tudung periuk dan perlahankan api. Masak selama lebih kurang 20 minit lagi atau sehingga semua sayuran lembut.
8. Padamkan api dan biarkan ia sejuk seketika. Masukkan kedalam pengisar dan kisar sehingga menjadi 'puri'.
9. Masukkan kembali kedalam periuk dan panaskan kembali dengan api perlahan sehingga hampir mendidih.

10. Siap dan sebelum dihidangkan tabur dengan bahan B.

* FHA Selemak Santan

Sunday, 12 February 2017

PETAI & TEMPE RANGGUP BEREMPAH ... Selera Jawa yang sedap


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Menyediakan lauk tempe ini bukan lah susah sangat.
Makanan jawa ini dah macam serasi dengan selera saya pulak.
Maklum saya olah-sana sini utuk menepati selera sendiri.
Tapi amat berbaloi-baloi sedap !!!

Kali ini saya menyediakan PETAI & TEMPE RANGGUP BEREMPAH
Tempe yang digaul dengan rempah ratus dan sedikit tepung sagu ini memang sangat-sangat ranggup.

Kebetulan pula ada sedikit petai dalam simpanan, jadi saya campurkan bersama.
Habis lah juga berpinggan nasi


Jom kita ke dapur ...


Bahan A (digaul rata dan diperap 1/2 jam)
2 keping tempe (dipotong kiub)
2/3 paket kecil serbuk kari ikan
1 camca besar tepung sagu/tepung beras 1 (cap 1 gajah)

Bahan B
3 jemput ikan bilis (di kopek)
3 papan petai (dihiris sederhana tebal)

Bahan C
Minyak untuk menggoreng
2 tangkai daun kari
1 biji bawang besar
1/2 camca teh lada hitam (ditumbuk halus)
1/2 camca teh lada putih (ditumbuk halus)
3 biji cili padi merah
sedikit garam

Cara-Cara Menyediakan nya 

1. Satukan kesemua bahan A sehingga rata dan diperap 1/2 jam.


2. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng ikan bilis sehingga garing, angkat dan toskan minyak.
3. Goreng pula petai. Pastikan digoreng sekejap sahaja untuk mengelakkan kulit nya menjadi keras dan liat.  Angkat dan toskan minyak.
4. Masukkan tempe pula dan goreng sehingga 1/2 garing.
5. Masukkan daun kari dan terus mengoreng sehingga  tempe dan rempah benar-benar garing.
Aroma rempah akan terbit sangat harum.


5. Masukkan lada hitam dan sedikit garam.
6. Kacau sehingga rata dan terus masukkan bawang besar.  Goreng sehingga bawang benar-benar layu dan boleh di padamkan api.
7. Apabila gorengan tadi telah benar-benar sejuk baru dicampurkan dengan ikan bilis dan petai yang telah digoreng awal tadi.
8. Gaul rata dan boleh dihidangkan.
9. Untuk lebih pedas boleh lah dihiris cili padi dan ditaburkan diatas nya

~ FHA Selemak Santan