Friday, 23 October 2015

Nasi Lemak UTARA


Assalamualaikum semua...
Salam Jumaat ....

Sarapan pagi dengan nasi lemak cukup mengenyangkan kan !
tapi kalau nak masak untuk tengahhari atau petang pon OK juga

Sambal Udang Kering  dah pon siap
cuma goreng ikan bilis dan telur mata saja
sedap kan
tak ada kacang goreng pon OK

nasi lemak Utara memang memang ngam dengan selera saya
sedikit halba biji..
sedikit lada hitam.. tapi kali ni saya gantikan dengan lada putih, jadi kurang pedas
dengan belahan bawang besar
cukup wangi dan enak sangat

kebetulan halia tak ada dalam simpanan, tapi itu tak menjadi halangan kan
kita cuba pula masak tanpa halia
satu kelainan kerana tiada aroma halia
tapi aduhai sedap sungguh

Kak Non yang jual nasi lemak di Cheras pernah beritahu kat saya yang nasi lemak beliau memang tak ada halia,
tapi jualan nasi lemak Kak Non ni memang laku betul

Jom...

Bahan A
2 cawan beras
1 cawan kelapa parut - tak perlu padat (santan nya menjadi 4 cawan / santan cair sahaja)
1/2 sudu teh halba biji
1/2 sudu teh lada putih (putih kurang pedas tapi wangi /hitam sedikit pedas)
1 biji bawang besar (dibelah 4)
2 helai daun pandan (disirat dan dikerat 3)
sedikit garam

Bahan B
telur mata
timun
ikan bilis goreng

Cara-Cara Memasak Nasi
1. Basuh beras dan masukkan kesemua bahan A diatas kedalam 'Rice Cooker' dan masak saperti nasi biasa.
2. Gembur nasi sebaik saja nasi masak. Tutup semula periuk dan biarkan nasi masak sepenuhnya.

* Selamat menjamu selera ...



Thursday, 22 October 2015

Sambal Tumis Udang Kering


Assalamualaikum...

dah lama saya 'mengidam' nak makan Sambal Tumis Udang Kering
semalam baru berkesempatan menyediakan nya

nak buat sambal tumis ni simple saja
tapi pastikan jangan terlalu cair
mesti pekat tau !
baru mengancam

Sambal ni...
kita boleh makan dengan apa saja
nasi biasa boleh
nasi lemak boleh
cecah lempeng pon boleh
apa-apa saja lah yang kita nak
semua boleh kan !

tapi udang kering ni kita kena pastikan yang elok sikit
pilih-pilih lah dulu sebelum memasak
tambah sikit kerajinan kat situ
sebab kadang tu ada macam macam bersama udang yang dibeli
batu lah dan macam-macam yang tak sepatut nya ada
pilih-pilih dulu sebelum menumbuk OK....
kalau tidak nanti bila makan tu krup-krak-krup-krak..... hilang selera

JOM....

Bahan A
sedikit minyak untuk menumis
2 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah

Bahan B (dimesin halus)
30 biji cili kering (di rebus 7-10 minit sehingga lembut, toskan air nya, dan disirim sedikit air )
sedikit belacan

Bahan C
3 sudu besar penuh Udang Kering (Ditumbuk 3/4 hancur)
2 biji bawang besar (dibelah 8)
1/2 kuib pati Ikan bilis
2 keping asam gelugor (boleh juga diganti dengan air asam jawa)
sedikit garam
* Boleh ditambahkan sedikit gula jika mahu (tapi saya tak masukkan)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak didalam periuk dan tumis bahan A sehingga garing.
2. Masukkan bahan B dan bahan C semua sekali.
3. Masak sehingga mendidih kemudian dikecilkan api sehingga kuah menjadi pekat dan terbit minyak.

* Selamat menjamu selera..

Tuesday, 20 October 2015

HATI AYAM GORENG SOS TIRAM.... kepada yang suka


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

sesetengah orang tak suka bahagian dalaman ayam atau lembu saperti hati, pedal, leher, limpa, dan usus...
tapi saya suka !
sekali sekali boleh lah...

kalau ada yang suka boleh cuba resepi yang simple ini
selalu nya yang simple tu lah yang sedap kan !

Bahan A (diperap 10 minit)
8 ketul hati ayam (di biarkan seketul-seketul)
sedikit leher ayam (boleh dimasukkan jika ada/di potong kepada bahagian)
1 sudu teh lada hitam (ditumbuk halus)
sedikit kunyit serbuk
sedikit garam

Bahan B
sedikit minyak

Bahan C
1 biji bawang besar (dihiris tebal)
2 biji cili merah (dihiris menyerong)
6 kacang buncis (dikerat 5)
3 camca besar sos tiram
1/2 cawan air untuk memastikan ia sedikit berkuah

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan bahan  A dan perap seketika.
2. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan perapan kita. Untuk memastikan masakan kita cepat masak di bahagian dalam, kuali perlu lah ditutup.
3. Sebelum angkat, masukkan bahan C.

* Selamat Menjamu Selera ...

Monday, 19 October 2015

NASI DAGING Sambal Air Asam


Assalamualaikum semua..
Semalam saya sediakan nasi daging yang begitu simple tapi alhamdulillah, sangat sedap

kenapa simple ya ?
kerana ...
tanpa halia
tanpa kulit kayu manis
tanpa bunga lawang
tanpa bunga cengkih
tanpa buah pelaga
.....sebab saya nak rasa keaslian dan kewangian nasi daging yang sebenar

sebenarnya resepi yang sedap tak semestinya perlu banyak bahan ramuan nya
kadang...
bahan yang sedikit pon dah cukup menjadikan masakan kita menyelerakan
cuma perlu tahu teknik penyediaan nya sahaja

contoh nya...
a. jika menggunakan bawang putih, elakkan dari diblend. Lebih sedap jika ditumbuk atau dihiris
b. begitu juga bawang merah dan bawang besar, enak kalau ditumbuk
c. jika menumis pula, pastikan minyak betul betul panas sebelum bahan-bahan tumisan dimasukkan kerana ini adalah untuk menghindarkan rasa 'perat' minyak
d. bahan tumisan pastikan hampir-hampir garing baru dimasukkan bahan yang lain
e. Jika memasak kari pula, pastikan rempah betul betul masak ia itu terbit minyak yang banyak dan bergeledangan dalam periuk.
...... itu lah sedikit sebanyak tips yang saya peraktikkan

OK Jom kita terjah resepi simple ni....

NASI DAGING

Bahan A (Direbus sehingga daging lembut)
500 gram daging lembu
Air secukup nya

Bahan B
1 camca besar minyak sapi 'Ghee Blend'
sedikit lemak daging (sedikit sahaja)
4 ulas bawang putih (dihiris halus)
1 biji bawang besar (dibelah 2 dan dihiris nipis)
1 batang serai (diketuk)
1/2 sudu teh halba sahaja
1 sudu teh jintan manis
2 helai daun pandan (dkerat sepanjang 3 inci)
secubit kunyit (sikittt saja kerana saya tak nak terlalu kuning pula)

Bahan C
4 cawan beras (saya guna beras cap rambutan biasa saja)
garam secukup nya
1/2 kiub pati Daging 'KNOR'

Bahan D
bawang goreng
daun Sup

Cara-Cara Menyediakan  nya
1. Rebus Daging sehingga lembut dan air berkurang menjadi 7 cawan.
2. Panaskan periuk 'Rice Cooker' dan masukkan minyak sapi dan lemak daging.
3. Apabila minyak dah panas, masukkan kesemua bahan B dan goreng sehingga betul betul garing.
4. Masukkan beras yang terlebih dahulu di basuh dan disejatkan air nya. Goreng seketika untuk mengelakkan nasi hancur selepas dimasak.
5. Masukkan daging bersama air rebusan (pastikan air nya 7 cawan (4 beras x 2   -1))
6. Perasakan dengan garam dan kiub daging.
7. Tutup periuk dan biarkan nasi masak saperti biasa.



SAMBAL AIR ASAM

Bahan E
3 biji cili merah
4 biji cili padi merah
sedikit belacan
sedikit garam
1 camca besar gula putih
sedikit air asam jawa
2 biji tomato biji (dibelah 8)
2 biji bawang besar (dihiris sederhana tebal)
3 biji limau kasturi

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Blend cili merah, cili padi, belacan dan sedikit air sehingga 3/4 hancur.
2. Keluarkan dan campurkan bahan E yang lain dan digaul rata.

* Selamat menjamu selera ...

Thursday, 15 October 2015

LAKSA UTARA dengan aroma kuah laksa yang emmmm...


Assalamualaikum semua..

laksa oh laksa !
memang saya suka makan laksa
lagi-lagi laksa Utara... dah memang orang Utara pon
hehehe....

kalau yang dok area Kuala Lumpur/Selangor tu
kalau yang rajin beli belah di Shopping Complex Ampang Park
tentu anda tahu ada 1 kedai dibahagian ground floor yang menjual laksa Utara
ohhh !!!
semerbak bau aroma kuah laksa nya
sungguh sungguh semerbak !!!!
kalau waktu tengah hari atau hari jumaat.. penuh orang
laku sungguh

tapi sayang...taukeh nya bukan orang kita,
walau pon halal dan  ramai pula orang kita yang menjamu kat situ, bagi saya tahan ja la selera tu...
buat sendiri puas hati
tapi memang klass aroma kuah laksa nya
emmmmmmmmmm.........

Ok lah jom kita semak RESEPI ...

Bahan A (Campur semua, Rebus, Mesin dan Tapis tulang nya)
1.5 Kilo Ikan Sardin (boleh juga guna Ikan Kembong, Ikan Tamban atau ikan Parang. Kalau dapat ikan parang lagi sedap kan kerana kuah nya nanti akan rasa lebih manis)
1 ekor Ikan gelama Masam (Ikan kering yang lembut dan gebu isi nya)

Bahan B (Campur semua sekali dan mesin halus)
15 biji cili kering (jika mahukan lebih pedas boleh dilebihkan)
20 ulas bawang merah kecil atau 1 biji bawang besar
sedikit belacan .. sebesar 2 ibu jari tangan

Bahan C
2 inci lengkuas (di ketuk lebam)
5 batang serai (di ketuk lebam)
2 kuntum bunga kantan (dibelah 2)
6-8 keping asam keping / gelugur. (Boleh ditambah jika rasa kuah kurang rasa masam)
secekak daun kesom
sedikit garam
1 kiub pati Ikan Bilis 'Maggie'

Bahan D
1 kilo Laksa beras (direndam 1.5 -2 jam dan direbus sehingga masak, kemudian ditapis dan dibasuh dibawah air mengalir untuk mengeluarkan kanji lebihan)

Bahan E
Daun Salat
Nenas
Telur rebus
Cili merah/Cili Padi
Bawang besar
Limau Kasturi/Limau Nipis
Daun Pudina
Timun

Cara-Cara Memasak Kuah :-
1. Satukan Bahan A,B dan C dalam periuk dan rebus sehingga masak.

* Selamat menjamu selera ....

Tuesday, 13 October 2015

TALAM KELADI BERLAUK DAGING... nyum nyum nyumm sedap


Assalamualaikum semua...

masuk ini dah kali ke 3 masak kuih talam berlauk
emm
kalau dah masuk ke 3 kali tentu sedap kan !

Kali ke 2 hari tu saya terpaksa gantikan keladi dengan keledek di sini talam-keledek-berlauk-sambal-totok-jawa
kerana kedai yang saya pergi semua tak ada jual keladi
nak kepasar BM terasa malas pulak
rasa kempunan adalah juga tu

lebih kurang 2 minggu lepas baruuuuu lah dapat beli Keladi !
dah ada keladi, timbul rasa malas pula !
alahaiiiii ........
macam macam ......
dok 'tagak-tagak' bila lah nak mai vitamin kerajinan
nasib baik keladi ni tahan lama disimpan dalam peti sejuk

OK...malas nak ngomel panjang panjang
jom kita terjah resepi
rasa berbaloi sangat-sangat buat talam keladi ni
alhamdulillah !
sedap sungguh dengan lauk daging

masih ada balance keladi,
nanti In sya ALLAH nak buat lagi dengan lauk Udang pula,
pasti lagi sedap kan

TALAM
Bahan A
175g tepung beras
40g tepung jagung
20g tepung gandum
1 liter santan dari 1 biji kelapa
sedikit garam

Bahan B
200g Ubi Keladi (berat selepas dibuang kulit)

INTI
Bahan C
sedikit minyak untuk menumis
3 ulas bawang merah  (dihiris)
3 ulas bawang putih  (dihiris)
300 g daging (dihiris kecil)
1 sudu besar udang kering (ditumbuk hancur)
5 biji cili padi -- boleh digantikan dengan cili merah jika kurang gemar pedas (dihiris)
5 urat daun sup  (dihiris)
1/2 kiub pati ayam 'KNOR'
1 biji bawang besar (yang bersaiz besar /dihiris tebal)
sedikit garam
sedikit kunyit

Bahan D
Daun Bawang
Daun Sup
Cili Merah

Cara-Cara Mentediakan nya
1. Keladi di buang kulit, di potong kiub dan direbus sehingga empok. Setelah masak toskan air nya dan di lenyek sehingga hancur

Inti
1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang merah dan bawang putih sehingga garing.
2. Masukkan daging, sedikit air dan serbuk kunyit. Masak sehingga daging empok dan tiada lebihan air dalam gorengan.
3. Masukkan udang kering, pati ayam,bawang besar dan garam dan teruskan menggoreng sehingga naik bau.
4. Masukkan daun bawang, daun sup dan cili. Gaulkan sehingga rata dan boleh lah di angkat.

Badan Talam
5. Satukan bahan A dalam periuk dan dikacau diatas api yang perlahan sehingga 'naik wap'.
* Tidak perlu sehingga tepung mengeras, jika tepung dah mula mengeras/berketul boleh lah terus diangkat.
6. Angkat dan masukkan 1 sudu besar Inti dan keladi yang telah dihancurkan
7. Tuang kedalam bekas/loyang bersaiz 25 cm yang telah dilenser sedikit minyak.Tutup kan dengan aluminium foil supaya wap air tidak jatuh kembali kedalam kuih semasa proses mengukus. (Tidak perlu kemaskan bahagian tepi. Cuma sekadar alas bahagian atas saja)
8. Kukus sehingga 3/4 masak dan masukkan balance inti/lauk. Teruskan proses mengukus sehingga betul betul masak.
9. Sejukkan sebelum dipotong.

* Selamat Menjamu Selera ...


Monday, 12 October 2015

MEE GORENG BASAH ....


Assalamualaikum semua

Jom kita sarapan dengan Mee Goreng Basah
sedap makan panas-panas dengan teh O

Terima Kasih Che Mat Gebu kongsikan resepi yang sedap ni
saya olah kan sedikit cara penyediaan nya yee Che Mat !

nyum nyum nyum !!!

Bahan A
600 gram mi kuning ( cuci dan toskan)
1/2 cawan isi udang
2 keping tauhu (didadu dan goreng)
2 genggam taugeh, atau secukupnya
1 kiub pati ayam ( * saya masukkan kiub bilis)
2 biji telur (dipukul sedikit)
1 camca besar sos tiram
2 camca besar cili kisar (* saya guna 5 biji cili padi)
2 camca besar kicap pekat JALEN (* saya guna kicap masin 'Kipas Udang')
3 camca besar kicap lemak manis JALEN  (* saya guna kicap manis 'Kipas Udang')
Kicap cair secukupnya - jika perlu (* saya tak masukkan)
4 biji bawang merah (di hiris nipis)
3 ulas bawang putih, (dicincang halus)
1 cawan air
1/2 sudu makan gula (* saya tambah)

Bahan B
Hirisan daun sup
Hirisan daun bawang
Bawang goreng

Cara-cara menyediakan nya
1. Panaskan 3 camca besar minyak dalam kuali, tumis bawang merah dan putih hingga harum.
2. Masukkan cili kisar,sos tiram, kicap cair, kicap pekat, gula dan kiub bilis. Masak sehingga kuah pekat.
3. Masukkan udang, kacau dan masak sekejap.
4. Tuang air dan biar mendidih. Masukkan mi kuning dan gaul rata.
5. Tolak ke tepi kuali, masukkan telur. Bila kelihatan kental, kacau hingga hancur.
6. Masukkan taugeh dan gaul rata sekali lagi.  Masak sekejap dan boleh matikan api.
7. Tabur hirisan daun sup, cili merah dan bawang goreng. Hidangkan panas..

* Selamat menjamu selera ...

Friday, 9 October 2015

LEMAK KUNING UDANG... BIJI CEMPEDAK


Assalamualaikum dan Salam Jumaat semua..

kalau pagi kita bersarapan dengan cempedak goreng, apakata tengahhari pula kita makan nasi berlaukkan biji nya bersama udang
sedapkan ...
terasa lemak lemak biji cempedak memang menyelerakan

Jom kita tengok resepi...

Bahan A
sedikit minyak untuk menumis
1 sudu teh biji sawi
1/2 sudu teh halba (bukan halba campur ya)
4 ulas bawang putih (ditumbuk)
6 ulas bawang merah (ditumbuk)
1 inci halia(dihiris memanjang)

Bahan B
6 biji cili padi (ditumbuk)
3 batang serai (diketuk lebam)
2 inci lengkuas (diketuk lebam)
1/2 sudu teh kunyit serbuk

Bahan C
12-15 ekor Udang bersaiz sederhana /besar (dipotong sedikit dibahagian kepala yang berhujung tajam untuk mengeluarkan pasir yang terhimpun di dalam nya, juga di tarik keluar tahi udang yang terletak di belakang udang)
20-30 Biji cempedak (di kikis kulit luar, di belah 2 dan di rebus sehingga masak)
2 cawan santan Pekat
2 keping asam gelugor
1 kiub pati Ikan Bilis
sedikit garam

Bahan D
1 helai daun kunyit

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan A sehingga betul betul garing.
2. Masukkan bahan B dan teruskan masak sehingga naik bau yang wangi
3. Masukkan bahan C dan kecilkan api supaya santan tidak pecah minyak. Masak sehingga kuah hampir hampir mendidih
4. Sebelum angkat masukkan bahan D.

* Selamat menjamu selera ...

Wednesday, 7 October 2015

DAGING GORENG KAPRAU.... ala-ala Thai


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ....

Hari ni jalan-jalan lagi
Singgah ke rumah KakGee pulak.

Cari balik resepi Daging-goreng-ala-kaprau
saya dah buat dah beberapa kali sebelum sebelum ini
ala-ala masakan Thai
sedap sangat !!!
Terima Kasih Kak Gee kerana kongsi kan resepi yang best ni

kalau ada bahan yang cukup lengkap lagi sedap kan
terutama daun selasih....
kerana daun ini lah yang akan menjadikan masakan kita sedikit kelainan
rasa nya umphh !
Daun Selasih

setiap kali ke pasar saya jenguk jenguk juga
kot kot ada
payah pula nak dapat daun ni
hari tu pernah tanam, membiak juga
lepas tu.....
la ni dah habis mati

nak jadi cerita
semalam semasa kepasar
ada pulak dijuaa 1 ikat ... RM 1
emm nak pakai sikit ja,
nak beli separuh tak di jual pulak

OK lah 1 ikat
balik.. cuba semai balik
kot kot ada rezeki hidup ...siap 5 pasu
Insya ALLAH hidup lah pokok ni

OK Jom kita terjah resepi ala-ala Thai ni

Bahan A
250 gms daging batang pinang dihiris nipis (atau ayam)
2 sudu besar paste tomyam (saya guna 1 kiub)
15 biji cili padi(diketuk lebam-lebam/ditumbuk kasar)
2 ulas bawang putih...saya tambah (dimayang nipis)
2 ulas bawang merah...saya tambah (dimayang nipis)
2 labu bawang besar...saya guna hanya 1 labu sahaja (dibelah lapan dan dicerai2kan)
1 sudu besar kicap manis
1 sudu besar sos cili Thai
anggaran 15-25 helai daun selasih

Cara-cara menyediakan nya
1. Perap daging yang telah dihiris bersama pes tomyam selama ½ jam.
2. Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau.
3. Kemudian masukkan cili api.
4. Setelah agak garing, masukkan hirisan daging yang telah diperap dan goreng hingga daging kecut.
5. Kemudian masukkan kicap manis dan sos cili dan terus goreng.
6. Masukkan daun selasih yang telah dipetik2, dicuci dan ditoskan.
7. Kemudian masukkan bawang besar. Setelah bawang besar layu, padamkan api dan boleh lah dihidang.

Tuesday, 6 October 2015

KARI AYAM REBUNG MADU ... sedap tau !!!



Assalamualaikum...
Biasa makan rebung madu ?
sedap tau...
manis rasa rebung tu

Di bawah ni rupa rebung madu yang siap di tuai ..gambar ehsan dari Mr Google


Ha..yang bawah ni pulak pokok rebung yang ditanam
tanam dalam pasu ja ...
dapat juga merasa hasil nya kan
gambar ni diambil ketika ia masih dalam proses pertumbuhan
boleh lah setakat untuk digukan dengan se ekor ayam...

Jom kita terjah resepi rebung madu ni yang dimasak dengan ayam
sedap ...nyum nyum nyum nyum  !!!

Bahan A
Minyak untuk menumis (anggaran 1/2 cawan)
1 kuntum Bunga Lawang
2 kuntum Bunga Cengkih
2 biji Buah Pelaga
1 batang Kulit Kayu Manis
2 tangkai Daun Kari
3 ulas Bawang Putih (dimayang)
3 ulas bawang merah (dimayang)
1 inci Halia (di hiris nipis memanjang)

Bahan B (Campur semua sekali)
3 sudu besar penuh Serbuk Kari Ayam
1 cawan air
2 keping Asam gelugor
Garam

Bahan C
Santan Cair dari 1/2 biji kelapa

Bahan D
1/2 ekor Ayam (dipotong mengikut saiz kesukaan)
Rebung madu (yang telah di kupas kulit nya dan di potong anggaran 1/2 inci tebal)

Bahan E
2 biji cili hijau (di belah 2 dan dibuangkan biji nya)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak didalam periuk.
2. Tumis bahan A, goreng sehingga bawang bertukar hampir keperangan dan berbau harum.
3. Masukkan Bahan B dan masak sehingga rempah mendidih, terus dikecilkan api .
4. Teruskan memasak sehingga terbit minyak yang banyak. Pastikan rempah sentiasa di kacau selalu untuk menggelakkan ia berkerak.
5. Masukkan bahan C seterusnya dikacau supaya santan bercampur sempurna dengan rempah.
6. Terus masukkan bahan D dan kecilkan. Biar ayam masak secara perlahan-lahan dengan sempurna.
7. Sebelum angkat, masukkan Bahan E.Biarkan 5 minit dan boleh di hidangkan.

* Selamat menjamu selera ...

Monday, 5 October 2015

BIHUN GORENG NYONYA


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera..

sudah bersarapan pagi ini ?
apa kata kita masak bihun goreng Nyonya
dengan aroma bayang putih tumbuk dan minyak bijan
memang menambahkan selera diwaktu pagi

perbezaan antara bihun goreng Nyonya ini adalah penggunaan bawang putih yang agak banyak dan renjisan minyak bijan berbanding dengan bihun biasa

Jomm..

Bahan A
1/2 bihun (direndam 1/2 jam dan di toskan air nya)
1 mangkuk taugeh segar

Bahan B
sedikit minyak untuk menumis
15 ulas bawang putih (pastikan ditumbuk)
3 ulas bawang merah (ditumbuk/dihiris)
1/2 sudu teh lada hitam (ditumbuk)
1/2 kiub pati lembu 'KNOR'
1 keping daging lembu Kisar 'Ramly'
sedikit garam

Bahan C
sedikit jagung atau sayur sawi
sedikit minyak bijan
cili potong
bawang goreng

Cara-Cara Memasak
1. Panaskan minyak didalam kuali dan tumis bawang putih sehingga betul betul garing. Pastikan garing ya atau hampir keperangan.
2. Masukkan bawang merah dan biarkan sehingga ia sedikit layu
3. Masukkan bahan-bahan B yang lain dan sedikit air dan biarkan sehingga daging masak.
4. Masukkan sedikit lagi air sekira nya kuah sedikit kering.
5. Masukkan bihun,jagung atau pon sawi, gaulkan ia rata, tutup tudung kuali dan kecilkan api. Biarkan bihun akan masak secara perlahan.
6. Renjiskan sedikit minyak bijan dan ratakan pada bihun. Tutup kembali kuali supaya aroma bijan meresap kedalam bihun
7. Sebelum angkat masukkan taugeh.

* Selamat menjamu selera ...

Friday, 2 October 2015

BIHUN GORENG BAWANG BESAR.....lagi. Hasil tangan anak penakan !


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua...

hari tu saya goreng 'bihun-goreng-bawang-besar-supper-sedap'
biasa lah hantar sepinggan untuk kakak rumah kanan, sepinggan lagi untuk kakak rumah kiri... rumah saya kan tengah tengah
sama-sama rasa bihun goreng yang sedap ni

dok beberapa hari lepas tu
sepinggan bihun goreng dipulangkan balik dengan bunga-air-celup-tepung.
emm sedap nya

tanya macam mana resepi ni ...
'macam resepi Mak Ndak dalam blog tu ...
hari tu kami makan sedap ....'

eh ya ka..
patut rasa sedap !!!

Jom kita semak resepi ni

Bahan A
Minyak untuk menumis
1/2 bungkus bihun (direndam hingga lembut & ditos air nya)

Bahan B
1 biji bawang besar (dihiris)

Bahan C (ditumbuk)
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
sejemput atau anggaran 20-25 ekor ikan bilis

Bahan D
10 biji cili kering (diblend)

Bahan E
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap lemak manis 'Kipas Udang'
1 sudu besar gula putih
1/3 kiub 'Pati Bilis'
Garam

Bahan F
4 ekor sotong (yang bersaiz besar)

Bahan G (Hiasan)
Bawang goreng
Daun Bawang
Telur dadar

Cara-Cara Memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis Bahan B (hirisan bawang besar) sehingga naik bau. Bawang ini lah yang menjadikan sambal kita 'lebih sedap dan lebih wangi'.
2. Masukkan Bahan C (bahan tumbuk) dan kacau rata sehingga naik bau.
3. Masukkan pula Bahan D (cili tumbuk) dan kacau rata. Kecilkan api dan masak sehingga cili benar benar masak dan garing.
4. Setelah cili garing, masukkan sedikit air diikuti Bahan E dan F(Sotong). Masak seketika kerana tidak mahu sotong terlalu masak.
5. Kemudian masukkan Bihun. Kacau rata, tutup kuali dan kecilkan api. Biar selama 5-7 minit supaya bihun masak secara perlahan.
6. Masukkan taugeh dan ratakan untuk kali ke 2. Siap
7. Tabur dengan bahan hiasan sebelum dihidangkan.

* Selamat menjamu selera

Thursday, 1 October 2015

GELAMA MASAM GORENG 'BAWANG PUTIH'


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua..

dalam banyak banyak lauk
ikan masin yang menjadi pilihan ramai
orang Utara kata 'pecah lioq'
makan pula dengan sambai belacan
ulam dengan timun
dah cukup menyelerakan kan !

resepi bawang putih ini saya pelajari dari sepupu saya
ketika tu tinggal ramai-ramai di rumah sewa
ya lah ...ketika tu baru belajar menjadi seorang perantau
mencari rezeki di Kuala Lumpur
tapi pupu tu masak dengan ikan bilis
tak sangka resepi yang amat simple, amat menyelerakan
rasa nya sedikit kelainan

caya lah ...
kena Cuba !
memang sedap ! 
masam, masin, manis, pedas di gabung dengan aroma bawang putih memang sedap !

Jom...

Bahan A
sedikit minyak
2 ekor ikan gelama Masam
2 biji bawang besar (dihiris tebal)
6 ulas bawang putih (ditumbuk hancur/dicincang)
5 cili kering (dipotong pendek)
kicap Manis 'Kipas Udang'

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng ikan gelama masam sehingga masak dan diangkat
2. Dengan menggunakan minyak yang sama, masukkan bawang putih dan goreng sehingga bawang menjadi hampir garing.
3. Masukkan bawang besar dan cili kering. Teruskan menggoreng sehingga bawang layu,
4. Masukkan ikan gelama yang telah digoreng tadi dan kicap manis kipas Udang. Gaul rata dan boleh lah diangkat.

* Selamat menjamu selera ...