Friday, 29 September 2017

KARI IKAN MASIN ... eh ! eh ! eh !!!!! Awat sedap sangat niiiiii. Jom tonton YOUTUBE !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Rasa lama bebeno saya tak post entry dalam blog ni
Last entry pada 18 september hari tu
Hari ini dah 29 jadi 11 hari lah ya.

Asyik mengintai-intai je dapur jiran sebelah .......
Tercium-cium ja masakan ditiup angin

Saya saperti biasa lah, masak tetap masak.
Maklum nak makan kan...

Tambah-tambah semangat bila teringat nak buat video. hehehe !
Walaupon ia teramat-amat memenatkan.
Maklum,  semua buat seorang...
Kecuali part posing last sekali tu, terpaksa panggil model  !!!!

Dari setkan peralatan perakam, sedia semua bahan masakan hingga lah mula shooting video,  kemudian shooting foto pula, seterusnya proses mengemas
Dah siap baru boleh makan ..

Nak edit video pula kena tunggu masa betul-betul tenang
Selalu nya saya buat sehingga lewat malam.
Dah siap edit video, sambung pula ke foto, nak masukkan watermark
aleh-aleh software tak boleh di access kerana telah di upgrade
Kalau nak pakai juga kena bayo lah pulak !  amboiii..

Buat blog ni sekadar suka-suka saja
Kalau nak kena bayar, susah lah juga . Heh !

Beberapa hari asyik google-google cari software lain.
Dapat software yang setara dengan yang sebelum atau kalau boleh lagi canggih lagi bagus !!!

Ambik masa lah juga..
Dah lah YOUTUBE pon belajar tak habis lagi..
Ingat nak khatam dulu .

Ini nak kena luang masa cari software baru,
Dah tu kena belajar dan biasakan diri dulu, baru boleh guna  ...
Adusssss !

Dah kenalpasti software, macam-macam pancaroba pula kena hadapi masa  nak install.
Maklum masa kerja dulu, part -part install, setup-setup  ni orang lain yang buat, kita cuma guna sahaja.
huhuhu !!!!
Sekarang semua kena buat sendiri. maklum dirumah kan...

Tapi hasil nya teramat-amat berpuas hati...

OK Jom tengok resepi yang saya nak share untuk hari ini KARI IKAN MASIN yang awaresome
Kebetulan masih ada separuh lagi baki kepala ikan talang yang saya masak hari tu
Jadi kali ini saya masak Kari
Nenas pon saya menggunakan baki nenas yang tersimpan elok dalam peti sejuk.

Hasil nya tara...KARI IKAN MASIN tumis darat
Pada saya,  ikan Talang adalah ikan kering yang paling sedap berbanding ikan kering lain jika dimasak kari atau masak lemak.
Dengan aroma dan rasa nya boleh menyebabkan kita berulang-ulang kedapur menambah nasi.

Saya sertakan disini youtube untuk memudahkan adik-adik, kakak-kanak dan anak-anak semua paham cara saya menyediakan kari ikan kering ..

TAPI ....
Jangan lupa SUBSCRIBE YOUTUBE  dan SHARE disini FHA Selemak Santan ........ supaya anda semua tidak ketinggalan  dengan video-video masakan yang lain !



Bahan A 
Tulang Ikan Talang (dalam 10-12 potongan)
* direndam dalam air biasa selama 5 minit sebelum dibasuh. Tujuan adalah untuk memudahkan proses menanggalkan kekotoran yang terlekat.

Bahan B
Minyak untuk menumis
8 ulas bawang merah (ditumbuk)
5 ulas bawang putih (ditumbuk)
1/2 inci halia (ditumbuk)

Bahan C (bancuh jadikan pes)
1 bungkus kecil rempah kari ikan
1/2 camca kecil jintan manis biji (ditumbuk)
1/2 camca kecil jintan putih biji  (ditumbuk)
1 camca kecil lada hitam biji (ditumbuk)
1 camca kecil serbuk kunyit
Sedikit air

Bahan D
1 batang serai (diketuk)
1/2 kotak santan pekat + 1 mangkuk air (atau santan yang diperah dari  1/2 biji kelapa)
1/3 biji nenas muda (tak perlu direbus)
2 keping asam gelugor (optional...jika nenas yang digunakan kurang masam)

Bahan F
sedikit minyak untuk menumis
6 ulas bawang merah (dihiris nipis)
4 ulas bawang putih (dihiris nipis)
2 pelepah daun kari
1 inci halia (dihiris memanjang 'batang mancis')
3 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang

* Tidak menggunakan garam ya... kerana ikan dah masin


Cara-CaraMenyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan B sehingga garing dan wangi.
2. Masukkan bahan C (pes rempah) dan serai. Masak dengan api sederhana sehingga rempah menjadi pekat dan pecah minyak. Pastikan dikacau selalu untuk mengelakkan ia berkerak.
3. Masukkan santan dan sebatikan dengan rempah.
4. Masukkan ikan, nenas dan juga asam keping.  (Pastikan santan disebatikan dahulu sebelum masuk ikan untuk mengelakkan ikan hancur).
5. Masak dengan api perlahan sehingga kuah mendidih semula dan diangkat.

6. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan F sehingga bawang bertukar keemasan.
7. Tuang kedalam kari yang telah sip dimasak tadi.
8. Siap untuk dhidangkan ...

* FHA Selemak Santan

Monday, 18 September 2017

MEE HOON GORENG KAMPONG .... Mee Hoon Orang dulu tanpa perasa tambahan. Jom tonton YOUTUBE !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

MEE HOON GORENG KAMPONG atau lebih dikenali sebagai 'Mee Hoon Orang Dulu-dulu ' ini amat menyelerakan !!!
Pernah makan  ?

Tanpa sebarang perasa tambahan, maklum dulu kan mana nak ada kiub-kiub, serbuk perasa dan sos tiram bagai....
Tapi masakan mereka tetap 'tumbs Up'
Terasa keaslian nya...

Sos Tomato atau Sos Cili pon tak ada kan..
Semua nya bergantung kepada bahan asas yang digunakan saperti bawang merah, bawang putih, daun Sup/daun saleri dan udang kering.

Juga cara atau teknik menyediakan nya sedikit sebanyak nenyumbang kepada keenakan mee ini untuk menambahkan aroma.
Dimana daun sup yang akan digoreng sehingga benar-benar kecut baru dimasukkan bahan-bahan lain.

Jom tonton Youtube !
Jangan lupa SUBSCRIBE YOUTUBE  saya ya disini FHA Selemak Santan ........ supaya anda tidak ketinggalan  dengan video-video masakan yang lain !




Bahan A
1/4 bungkus mee hoon (direndam 1/2 jam dan ditoskan air nya)
Sayur (kubis, sawi,kailan, karet)
Taugeh

Bahan B
sedikit minyak untuk menumis
2 biji bawang besar (dihiris kasar)
5 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 camca besar udang kering (direndam 10 minit dan ditumbuk)
3/4  mangkuk kecil hirisan daun sup ( 1 mangkuk pon boleh... lebih sedap)
Daging (Boleh digantikan dengan isi ayam, udang atau pon sotong. Jika menggunakan daging, ia harus dipotong kecil untuk mempercepatkan proses memasak)
1 camca teh lada hitam biji (ditumbuk halus)
3 camca besar jus asam jawa
2 camca besar gula putih
Kicap Lemak Manis
Kicap Lemak Masin

Bahan C (dikisar halus)
7 biji cili kering (ikut kepedasan yang disukai)
sedikit air

Bahan D
Daun bawang
Bawang Goreng

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang besar sehingga layu.
2. Masukkan bawang putih dan terus digoreng.
3. Masukkan udang kering dan daun sup. Goreng sehingga daun sup 'benar-benar kecut' dan bawang bertukar sedikit keemasan. Ketika ini aroma memang terasa sangat....
4. Masukkan daging dan terus goreng.
5. Masukkan cili kisar, lada hitam, jus asam jawa dan gula. Masak sehingga terbit sedikit minyak dan air berkurangan (sesuaikan dengan kuantiti mee hoon)
6. Masukkan kicap manis dan kicap masin. Ratakan.
7. Masukkan mee hoon dan ratakan 'ala kadar' dengan menggunakan garfu untuk mengelakkan ia terputus.
8, Masukkan sayur dan ratakan sekali lagi.
9. Tutup tudung kuali dan perlahankan api. Masak selama 8-10 minit atau sehingga meehoon masak.
Dengan mentup tudung kuali ketika ini akan mempercepatkan proses memasak dan meehoon akan masak sempurna dan lembut.
10. Masukkan taugeh, ratakan dan padamkan api.  Masak terlalu lama menyebabkan taugeh kurang keranggupan nya,
11, Tabur dengan daun bawang dan bawang goreng. Siap untuk dihidangkan.

* FHA Selemak Santan

Saturday, 16 September 2017

SAMBAL KERISIK 'RESEPI WARISAN'.... Sedap Giler !!! Banyak mana pon kerapkali tak cukup. Jom tonton YOUTUBE !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Saperti yang saya maklumkan dalam entry sebelum ini di sini NASI DAGING 'KENDURI' saya nak kongsi resepi SAMBAL KERISIK yang KAW-KAW sedap.........
Nah !!! Ini lah dia sambal kerisik tu.

Resepi warisan dari orang dulu-dulu.
Tiada sebarang perasa tambahan dicampurkan untuk mengekalkan rasa asli sambal.
Memang sedap resepi orang dulu  !

Dengan pedas, manis, masam, masin, aroma limau kasturi dan rasa lemak kerisik dan harum beras yang disangai keperangan menjadikan sambal ini kerapkali tidak cukup apabila dihidangkan.
Manakan tidak, ia bukan sahaja dimakan sebagai colekkan daging malahan ramai yang suka meratah begitu saja.
Saya ingatkan saya sorang yang suka menghirup air asam dari sambal ini rupanya ada yang mempunyai peel yang sama.

Walau pon beberapa biji cili padi dimasukkan tetapi apabila di blend dengan bahan-bahan lain kepedasan cili dah tak terasa lagi.
Tambahan pula beras sangai yang dimasukkan menjadikan air asam ini menjadi pekat dan berpalut cantik pada bahan-bahan yang lain.

Yang tak suka pedas pon boleh menghabiskan sampai ketitisan akhir.

Buatlah banyak mana sekali pon kerap kali nya tidak mencukupi .....

Jom tonton Youtube !
Jangan lupa subscribe YOUTUBE  saya ya disini FHA Selemak Santan ........ supaya anda tidak ketinggalan  dengan video-video yang lain !



Bahan A (dikisar sehingga halus)
4 biji cili merah
10 biji cili padi merah
sedikit belacan
sedikit air

Bahan B
2 biji bawang besar (dibelah 4 dan dihiris tebal)
2 biji tomato segar (dibelah 4 dan dihiris tebal)
1 camca besar kerisik
1 camca teh lada hitam biji (ditumbuk halus)
3 camca besar gula putih
500 ml jus asam jawa (3/4 pekat)
sedikit garam

Bahan C
1 genggam beras  (agak-agak 1/3 mangkuk sup yang bersaiz kecil)

Bahan D
4-5 biji limau kasturi (dibelah 2)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan kuali (Jangan dimasukkan minyak ya...).
Dalam masa yang sama alirkan air pada beras untuk mengeluarkan kekotoran jika ada. Toskan dan terus masukkan ia kedalam kuali dan digoreng dengan api yang 'sedang'.  Pabila warna beras sudah kelihatan bertukar warna, terus diperlahankan api yang kecil. Terus menggoreng sehingga semua beras kelihatan betul betul keperangan.  * Beras yang garing adalah lebih beraroma. 

Pastikan beras selepas dibasuh terus digoreng untuk mengelakkan  air meresap dalam butiran beras.
Pastikan beras dikacau selalu untuk mengelakkan ia hangus.

2. Alihkan beras kedalam mesin 'pengisar kering' dan kisar sehingga halus. Tetapi jika masih ada biji-biji sedikit tak apa dah di kira OK lah tu. Apabila dikisar serbuk beras kelihatan keputihan ya....

3. Satukan kesemua bahan A dan beras sangai di dalam mangkuk dan digaul sehingga rata.
4. Akhir sekali masukkan limau kasturi dan ratakan sekali lagi.
5. Sedia untuk dihidangkan.


* FHA Selemak Santan

Wednesday, 13 September 2017

HATI SAMBAL LENGKUAS ... Sedap nya !. Tips supaya hati tidak liat/keras ... Jom tonton YOUTUBE !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Rasa macam lama sangat tak update blog kan ...
Bukan apa nya.
Entry dah ada tapi perlu tunggu untuk siapkan video dulu ....
Baru syiiiok sikit !!

Posting hari ini saya sediakan HATI SAMBAL LENGKUAS.
Hati lembu korban pemberian kakak sebelah rumah.

Bila dapat ja hati, daging, tulang dan sebagai nya, macam-macam resepi dah terbayang dalam kepala.
Salah satu nya SAMBAL LENGKUAS
Resepi arwah emak ni, memang sedap sangat !
Tetamu yang datang bila dihidangkan dengan lauk ini akan memuji akan keenakan nya.

Sebenar nya SAMBAL LENGKUAS ini boleh di masak dengan apa sahaja,
Ayam, daging, hati, limpa mahu pon kelempong.
Untuk ayam, seelok nya digoreng terlebih dahulu supaya aoma ayam akan lebih terasa.
Untuk kelempong atau juga dikenali sebagai paru boleh direbus terlebih dahulu baru dimasukkan kedalam sambal atau boleh juga terus dimasak bersama sambal dimana dimasukkan bersama cili kisar,
Tetapi jika daging harus dimasukkan bersama cili kisar supaya daging lembut bila saja sambal hampir kering.
Kalau dapat daging tetel lagi lah sedap youuu.... bertambah tambah saya makan !

Untuk memasak hati lembu pula, kena ada cara nya.
Kerana salah teknik, ia akan menjadi keras.
Ini memang saya praktikkan dari dulu lagi.
Pertama hirisan hati biar lah tebal. Kerana tempoh memasak akan menjadikan hati yang nipis terlebih masak.
Kedua masak dengan api perlahan.
Ketiga jangan masak terlalu lama.

Jadi bagaimana kalau api dah perlahan, tempoh memasak pula singkat ?
Masak ka hati tu nanti ?????
Jangan risau........
Cara nya..... Tutup tudung kuali !
Wap kepanasan akan terperangkap dalam tudung menjadikan isi didalam masak cepat dan sempurna.

Sama juga jika kita menggoreng ayam,
Tutup tudung kuali semasa meggoreng dan hasil nya ayam garing diluar tetapi moist didalam.

Jom kita tonton YOUTUBE

Saya kini sedang buat kajiselidik
Nak tengok berapa ramai SUKA dan SUBSCRIBE video yang saya sediakan
Kalau tak ramai mungkin setakat ini saja lah....
Nak sediakan video bukan nya mudah, tambah lagi newbie macam saya ni...
Tak nak jadi syok sendiri ....
Kalau sedikit sebanyak dapat membantu sahabat-sahabat disana, best juga kannnnnnnn !

Cara nak SUBSCRIBE mudah saja... click di sini FHA Selemak Santan 






Bahan A
1/2 kilo hati lembu (dipotong kepada ketulan besar)
1 biji cili hijau (dibelah 2)

Bahan B
6 ulas bawang merah atau 1 biji bawang besar (dimayang nipis)
5 ulas bawang putih (dimayang nipis)
2 tangkai daun kari
1/2 inci halia (dihiris memanjang)
2 inci kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang

Bahan C (dikisar sehingga halus)
15 biji cili kering (sesuaikan mengikut kepedasan yang disukai)
sedikit air

Bahan D
2 batang serai (diketuk)
3 inci lengkuas (diketuk)
2 keping asam gelugor (kalau kecil masukkan 3)

Bahan E
Kicap Lemak Manis 'Kipas Udang'
Kicap Lemak Masin 'Kipas Udang'
2 helai daun limau purut (dicarik)
1 helai daun kunyit (disimpul)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan B sehingga terbit aroma dan bawang betul betul layu.
2. Masukkan bahan C dan D.
3. Biar sehingga mendidih kemudian di sederhanakan api supaya cili masak dengan perlahan dan ia menjadi pekat. Pastikan sentiasa dikacau selalu supaya cili masak engan sekata dan tidak hangit.
4. Masukkan hati dan bahan E. Ratakan, perlahankan api dan tutup tudung kuali supaya wap terperangkap didalam menjadikan hati masak sempurna.
5. Agak-agak dah masak, masukkan cili hijau dan boleh terus diangkat untuk dihidangkan.

* FHA Selemak Santan

Thursday, 7 September 2017

NASI DAGING KENDURI ... campuran 2 jenis beras menjadikan nasi nya amat seroi. Jom tonton YOUTUBE !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Hari ini saya nak belanja resepi NASI DAGING ala KENDURI.

Saya dimaklumkan oleh anak saudara yang tinggal di sebelah rumah, yang nasi yang sedang saya tanak ini amat harum saperi nasi kenduri
Terbau-bau apabila ditiup angin ke rumah.
Itu belum makan lagi tu !
huhuhuh !!!

Ya lah kan..
Selalu nya  orang yang sedang masak mana lah nak terbau.
Sama juga kalau nak tahu sedap atau tak masakan kita, kena beri orang lain rasa. Kita yang sedap masak selalu nya deria rasa masakan sendiri kurang sikit.

Untuk kali ini saya tidak menggunakan beras brasmathi, maklum dah kehabisan stok.
Kebetulan pula masih ada lagi baki 'Beras Rebus' yang saya beli tak berapa lama dulu, jadi saya campurkan beras ini sedikit bersama beras biasa.
Hasil nya nasi saya seroi sebiji-sebiji.

Untuk makluman,  'Beras Rebus' yang saya maksudkan ini bukan beras yang direbus sendiri ya...
Ia adalah sejenis beras saperti berasmathi, tetapi yang ini tidak berkanji langsung.
Saya beli beras ini dah lama yang mana keinginan ketika itu nak mencuba dan merasai beras ini, maklum apabila makan nasi beriani yang disediakan oleh caterer ternama,  nasi nya amat lembut dan lerai sebutir-sebutir.
Jadi saperti biasa saya akan buat beberapa andaian dan percubaan sendiri.
Kepada yang nak berdiet dicadangkan elok makan beras ini.

Tetapi jika yang suka makan nasi berkanji seelok nya sukatan campuran nya hanya lah 1/4 sahaja dah mencukupi.

OK... Entry seterus nya nanti saya akan kongsikan resepi SAMBAL KERISIK SUNGGUH SUNGGUH SEDAP ...yang tak pernah cukup !!!!
yang dimakan dengan nasi daging ini.

Jom tonton dan jangan lupa subscribe Youtube saya ya........ supaya anda tidak ketinggalan !

Banyak yang boleh diperbaiki dalam penyediaan video supaya ia lebih menarik,...



Bahan A
3 cawan beras biasa
1 cawan 'Beras Rebus'

Bahan B
1 kilo tulang atau 1/2 kilo daging
Air secukup nya untuk merebus
* Air rebusan daging yang akan digunakan nanti adalah 6 1/2 cawan yang mana 1/2 cawan akan berkurang apabila kuah mendidih ketika memasak nasi.

Bahan C
1 1/2 camca besar minyak sapi 'GheeBlend'
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1/2 inci halia
2 kuntum bunga lawang
2 inci kulit kayu manis
4 kuntum buah pelaga
4 kuntum bunga cengkih

Bahan D
2 helai daun pandan (disiat dan disimpul)
2 helai daun salam
1 batang serai (diketuk)
1 camca kecil rempah sup
1/2 camca teh kunyit serbuk

Bahan E
Sedikit garam
1/3 kiub Perasa daging/ayam
1 camca kecil lada hitam (biarkan sebiji sebiji)
sedikit kismis hitam

Bahan F
Daun Sup
Bawang Goreng

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Tulang direbus sehingga daging pada tulang lembut. Kita akan menggunakan air nya sahaja.
Daging nya kita akan cecah dengan 'SAMBAL KERISIK SUNGGUH SUNGGUH SEDAP ...yang tak pernah cukup !!'saya akan kongsi nanti.

2. Panaskan minyak sapi dalam periuk 'Rice Cooker'.
3.Tumis bahan C sehingga wangi.
4. Kemudian masukkan bahan D dan terus mengacau sehingga bawang betul-betul layu dan rempah yang dimasukkan sedikit garing.
5. Masukkan air rebusan daging, dan bahan E (kecuali kismis). Tutup tudung rice cooker dan masak hingga mendidih.
* Pastikan jangan dibiarkan mendidih terlalu lama kerana air rebusan akan berkurang dan menjadikan nasi sedikit keras kerana kekurangan air.
6. Masukkan beras (Saya tidak merendam beras kerana saya menggunakan beras biasa. Tetap jika menggunakan berasmathi seelokknya direndam 1/2 jam terlebih dahulu) dan kismis. Kacau untuk sebatikan.
7. Tutup kembali tudung rice cooker dan biar hingga nasi masak. Apabila suis bertukar ke warm mode. Biarkan 5 minit sebelum digembur 'ala-kadar sahaja'.
8. Tutup semula  tudung rice cooker dan biar selama 10-15 minit supaya nasi masak dengan sempurna.

9. Sebelum makan tabur dengan bahan F.

* Selamat Menjamu Selera ...

* FHA Selemak Santan

Monday, 4 September 2017

CREAMY CHICKEN MUSHROOM SOUP ... Menu berbuka puasa hari Arafah . Jom tonton YOUTUBE !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua ...

Rasa nya masih belum terlambat mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada umat Islam semua dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan.

Kepada yang bekerja tentu bestkan dapat cuti 5 hari sederet.
Boleh bayangkan betapa gembira nya saya dulu kalau dapat bercuti panjang begini.

Tapi....
Walau pon bercuti, kebiasaan nya hati masih dipejabat, teringat kan projek yang dipertanggung jawap dan diamanahkan, harus disiapkan dalam waktu yang ditetapkan.

Lagi-lagi bila kes cuti mengejut saperti hari isnin ni, Cuti yang tidak terdapat dalam kalender Malaysia.

Teringat, dulu siap bersilat bagai.
Macam-macam silat semua saya keluarkan.
Maklum nak 'cater' kes sebegini dalam system, cuti yang tak dirancang, yang tak diduga.

Ada juga user yang tak mahu menambah kerja memikirkan kes yang jarang berlaku.
Tapi saya dengan cara saya, walau dibawa kepihak atasan ketika itu saya hadapi dan sama-sama berbincang.
Jangan diambil mudah.

Alhamdulillah...
System yang dibangunkan 'Inhouse' telah sedia menghadapi kemungkinan berlaku.

OK.....
Hari ini saya nak berkongsi menu berbuka saya dan keluarga
Biasa nya saya akan masak simple-simple sahaja.

Cukup dengan CREAMY CHICKEN MUSHROOM SOUP yang dimakan bersama bun kentang yang dibeli di tesco.
Bun kentang ini biasa nya saya akan potong kepada 3 bahagian dan disapu dengan sedikit butter dan dibakar hingga keperangan dan ranggup.

Memang berselera saya berbuka ...



Jomm kita tengok resepi

Bahan A
1 camca besar ButterCup
1 biji bawang besar Holland (dipotong kecil)
3 camca besar tepung gandum
1 liter air
250 ml susu segar
1 camca kecil lada putih biji (ditumbuk)
1 ketul dada ayam (dipotong kecil)
10 kuntum cendawan segar (dicarik)
1 camca kecil Chicken Gravy Mix 'Knorr'
1/2 kiub pati ayam
Sedikit Garam
1 camca kecil 'Mix Herbs'

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Cairkan butter didalam kuali.
2. Masukkan bawang besar dan dikacau sehingga layu.
3. Masukkan tepung gandum. Terus mengacau hingga warna tepung sedikit bertukar menanda kan ia telah masak.
4. Masukkan air dan aduk sehingga tepung tiada lagi tepung yang berketul.
5. Masukkan lada putih, isi ayam, susu segar, Chicken Gravy Mix, pati ayam dan ratakan. Tutup kuali dan masak dengan api perlahan hingga sup mula mendidih.
6. Masukkan cendawan dan mix herba. Sebatikan dan masak hingga kuah kembali mendidih.
7. Siap untuk dihidangkan.

* FHA Selemak Santan