Friday, 30 November 2018

SIAKAP MASAM MANIS... akak style, akak favourite

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ...

Salam Jumaat sahabat-sahabat akak sekalian

Hari ini akak nak share resepi SIAKAP MASAM MANIS versi akak !

Nak kata lama tak makan lauk masam manis ni, tak jugak.
Rasa-rasa dalam bulan ni, termasuk yang ini, kali kedua.

Selera akak sebenar nya tak berapa suka sangat akan lauk yang manis-manis, kecuali sambal nasi lemak dan pajeri. begitu juga sambal tertentu.
Tapi bila makan lauk masam manis beberapa hari lalu, rasa sedap pulak.

Masa tu akak masak main campak-campak saja dalam kuali sebab dah hampir petang kalau tak silap.
Selesai makan nasi, sambung pulak dengan aktiviti meratah.. aduhai !

Keenakan lauk tempoh hari itu yang membuat akak rancang nak masak lagi... dan lagi.

Maka ini lah hasil nya..... tadaaaaaaaaaaa !
Cepat-cepat shooooot,
Dah taksabar nak makan.
Dah terliur sangat dah ni,
ahaks !!!!!


SIAKAP MASAM MANIS...
Ada macam-macam versi kalau kita search di internet, kerana ia bergantung kepada si-tukang masak.

Resepi akak simple saja tapi yang penting... penggunaan bawang yang agak banyak semasa menumis untuk menjadikan ia manis bawang selain manis sos.
Juga bawang tersebut akan menjadikan kuah masakan sedikit pekat dan 'berisi'.

Akak suka guna Sos Cili berbanding Sos Thai jenama 'Life' untuk masak memasak walaupon untuk goreng mee dan juga meehoon.
Bagi akak Sos Thai sedap hanya  untuk cicah mencicah saja... Ikut selera memasing kan !!!

Jangan lupa masukkan sedikit pes asam jawa 'ADABI' memang mengancam rasa nya. Maaf ini bukan iklan berbayar ya... serius !!!

Jomm.... memang layan dengan ikan sekor ni

 Posing 'maut' a.k.a menonggek' !!!  maklum baru lepas mandi dan dah siap berbedak. Sexy Tak ???


Bahan A
1 ekor ikan Siakap yang bersaiz besar (disiang dan dibersihkan)
1 camca kecil Kunyit Serbuk
Sedikit Garam

2 1/2 camca besar Tepung Jagung

Bahan B
Minyak untuk menggoreng ikan
4 ulas Bawang Putih (dicincang)
8 ulas Bawang Merah (dihiris)
1 inci halia (dihiris)

Bahan C
1/2 camca teh Lada Putih serbuk (Homemade)
1 camca teh Lada Hitam serbuk (Homemade)
2 camca besar Sos Cili 'Life'
1 camca besar Sos Tiram
3/4 camca besar Gula Kabung / Gula Merah * optional
1 camca besar Sos Plum * optional
1 camca teh pes Asam Jawa 'ADABI'
Sedikit Air
Sedikit Garam

Bahan D
2 biji bawang besar (dihiris baji)
5 biji Cili Padi Hijau (dihiris menyerong)
5 biji Cili Padi Merah (dihiris menyerong)
Sedikit Kubis Bunga


Cara-Cara Menyediakan nya
1. Ikan diperap dengan kunyit dan garam selama 1/2 jam.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Apabila telah panas baru lumur tepung jagung pada ikan dan terus goreng sehingga garing. Angkat dan ketepikan.

3. Menggunakan minyak yang sama tetapi kurang kan sedikit. Tumis bahan B sehingga betul-betul layu.
4. Masukkan bahan C dan masak sehingga kuah pekat dan terbit minyak.
5. Masukkan bahan D kacau-kacau sebentar terus angkat dan curah atas ikan yang telah siap digoreng tadi.
6. Siap untuk dihidangkan.

Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Wednesday, 28 November 2018

YONG TAU FOO ... Sesedap yang dijual di Pasar Malam Ceras Perdana


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ...

YONG TAU FOO; makanan kaum Cina yang terdiri dari pelbagai sayur, bebola, sotong dan apa sahaja yang disukai boleh ditambah; dimakan dengan Sos Manis bewarna Coklat yang sedikit kehitaman disamping Sos pedas. Ditabur dengan kacang goreng dan sedikit bijan.... Fuhhhh !!!

Keenakan makanan ini memang bergantung 100% kepada SOS a.k.a Kuah nya.
Sedap kuah, maka sedap lah YONG TAU FOO tersebut, sebab bahan-bahan yang lain biasa-biasa sahaja dan kadang tu tak ada rasa pon pada selera akak.

Setakat ini yang  TERSEDAP pernah akak makan adalah yang dijual di pasar malam di Ceras Perdana, Selangor.
Masih ingat lagi; Kak Lina anak beranak (lawa dan comel-comel belaka anak anak nya)  gigih dan tak menang tangan merebus dan memotong sayur dan bebola pilihan pelanggan yang beratur panjang.
Memang famous betul YONG TAU FOO Kak Lina disekitar kawasan Ceras ini !
Sekejap sahaja habis walaupon stok banyak pilihan jualan nya.

Oleh kerana kuah nya amat sedap, pernah beberapa kali akak order sebotol besar khas dibawa pulang ke kampong di Penang untuk jamuan keluarga.
Memang puas hati sangat dan tahan beberapa hari disimpan dalam peti sejuk. Maklum sedap !, Jadi makan berjimat lah...

Pernah akak minta resepi untuk dimakan sendiri, walau pon akak tahu kebarangkalian nak dapat tu  5 %. Biasa lah resepi orang berniaga tak sewenang-wenang boleh diberikan kepada orang luar alasan nya resepi cari makan kaum keluarga / anak beranak nya..... OK akak faham.

Akak pernah juga google di internet, hasil nya bermacam variasi resepi Sos Colat gelap tu. Tapi akak tak pernah lah rasa nak mencuba nya lagi..
Sehingga lah satu hari tu anak saudara hantarkan semangkuk Sos ini.
Alhamdulillah ini lah Sos yang akak cari-cari selama ini..



Dan baru-baru ini keinginan nak makan YONG TAU FOO melonjak-lonjak sejak-menjak 'dah pandai' masak Laksam aka kwetiau gulung tuuuu !

Apalagi pakat lah dengan jiran a.k.a anak saudara.
Akak sediakan kwetiau, Chef kita ni sediakan kuah dan rebus segala ball-ball tu .......

Hasil nya memang layan betul kami 3 keluarga jiran sebelah menyebelah.
Sos Coklat Hitam yang umphhh ! memang mengancam habis. Macam tak percaya bahan dan cara memasak nya amat ringkas sekali, tak padan dengan rasa nya yang mengancam......

Sos Cili yang ini begitu kelainan. Sangat sedap !
Sedap dari yang dijual di pasar malam tu, kerana yang disana hanya pedas dan kurang manis.
Tapi yang ini memang ada rasa berbeza.


Kwetiau akak kali ini menjadi lagi cantik dari yang sebelum yang akak masak di sini LAKSAM YANG TERSEDAP.
Beza nya kali ini akak guna Tepung Beras 'Campuran' berbanding dulu Tepung Beras.
Walaubagaimana pon akak dah update kepada Tepung Beras 'Campuran' dalam posting terdahulu tu..
Selain itu.. kejadian nya juga disebabkan akak dah ada pengalaman dari yang pertama tu....

Jomm ... kena cuba resepi ini memang sedap.
Dengar kata 'kakak' akak menambah berpinggan-pinggan juga YONG TAU FOO ini.


KWETIAU GULUNG / LAKSAM 


Untuk yang ini akak guna resepi LAKSAM kerana permintaan keluarga yang gemar akan texture nya yang lembut saperti yang akak buat sebelum ini di sini LAKSAM YANG TERSEDAP.

Kepada yang nak resepi CHEE  CHEONG FUN, perbezaan nya sedikit sahaja, cuma 
...gantikan tepung gandum dengan tepung Ubi Kayu... 
...atau bahagian tepung gandum dibahagi 2,  separuh tepung gandum dan separuh tepung ubi kayu.

Lain -lain termasuk kaedah penyediaan adalah sama saperti LAKSAM. 
Cuma rasa nya akan menjadi sedikit kenyal kerana adanya Tepung Ubi ini ....... OK !

Bahan A
3 cawan tepung beras 'Campuran' (Cap 1 gajah)
4  1/2 cawan air suam (2 1/2 air panas + 2 cawan air biasa) * Air akak guna 4 1/2 cawan sahaja kerana sukatan akak betul-betul penuh paras cawan. 
1/2 sudu kecil garam

1/2 cawan tepung gandum     ... texture LAKSAM
ATAU 1/2 cawan Tepung Ubi Kayu  ... texture LEBIH KENYAL
ATAU 1/4 cawan tepung Gandum dan  1/4 cawan tepung Ubi Kayu   ... texture SEPARUH KENYAL

Bahan B
Sedikit minyak untuk meleser

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan semua bahan A dan kacau sehingga tak bergentel.
2. Panaskan kukusan.
3. Letakkan tudung periuk atau dulang kecil dan leser kan sedikit minyak.
4. Masukan 1 1/2 senduk bancuhan dan kukus sehingga masak lebih kurang 3 ke 4 minit .  Akak kukus tak lama dalam anggaran 1-2 minit sahaja kerana tudung periuk akak kecil  dan penggunaan api yang sederhana besar.
5. Angkat, biarkan sejuk sebelum digulung *Pastikan gulung dengan 'tangan' untuk mendapatkan permukaan yang licin.


SAYUR DAN BEBOLA

Bahan A
Pelbagai Sayur (Sayur Kangkung / Kubis Bunga atau apa saja)
Pelbagai Bebola (Ikan / Sayur / Ketam atau apa saja)
Pelbagai Kek Ikan / Sayur / Ketam atau apa saja
Sotong Kembang
Fucuk
Tauhu
Laksam atau Chee Cheong Fun * ikut selera memasing
dan apa saja yang disukai... * akak memang pemilih walau pon ada tanda halal, kalau kurang yakin akak tak akan beli 


Cara-Cara Menyedikan nya
1. Didihkan air dan celur setiap satu bahan A (kecuali Kwetiau Gulung) secara berasingan. Tidak perlu lama kecuali sotong.
2. Angkat dan potong kepada saiz yang disukai.
3. Siap.

4. Air rebusan disimpan untuk memasak sup.


SOS MANIS (COKLAT HITAM) 


Bahan A
2 camca besar Tauco * Taucu biasa yang masin tu dan TAK perlu dicuci
5 camca besar (~150g) Gula Merah
1 camca besar Sos Tiram
4 camca besar Kicap Manis ABC
~ 1 liter air sebagai kuah
* Tak perlu garam

Bahan B (satukan)
1 -2 camca besar Tepung Jagung *bergantung kepada brand
Sedikit air

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Kisarkan tauco bersama sedikit air (* dari 1 liter diatas) sehingga hancur dan ketepikan.
2. Masak gula merah dengan sedikit air  (* dari 1 liter diatas) sehingga larut dan tapis untuk mengasingkan bendasing jika ada. Ketepikan.
3.  Satukan tauco, air gula merah, sos tiram, kicap ABC dan  baki air ke dalam periuk. Masak dengan api sederhana sehingga mendidih.
4. Masukkan air tepung jagung, kacau-kacau sehingga pekat.
5. Siap.


SOS PEDAS (KEMERAHAN) 


Bahan A (ditumbuk)
1 ulas Bawang Merah
2 ulas Bawang Putih

Bahan B
Sedikit minyak untuk menumis
1 camca besar Cili kisar
1 camca besar Cili Serbuk
1 Camca besar Gula Merah * ikut kemanisan yang disukai
1  camca besar Kacang Tanah (ditumbuk kasar)
Sedikit Garam

Bahan C
1 camca teh tepung jagung
Sedikit air

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Masak gula merah dengan sedikit air sehingga larut dan tapis untuk mengasingkan bendasing jika ada. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan A sehingga naik bau.
3. Masukkan cili kisar, cili serbuk dan masak sehingga terbit minyak.
4. Pastikan cili betul-betul masak baru masukkan air gula, garam dan kacang tanah.
5. Masukkan air tepung jagung, kacau-kacau sehingga pekat.
6. Siap.


SUP YANG MENGANCAM


Bahan A
Sedikit Minyak untuk menumis
3 ulas Bawang Merah (dihiris)
3 ulas Bawang Putih (diketuk/cincang)
1 inci Kulit Kayu Manis
1 kuntum Bunga Lawang
2 biji Buah Pelaga
4 kuntum Bunga Lawang

Bahan B
Air rebusan sayur, bebola, fish cake ....
Kaki dan tulang ayam
1 camca teh Lada Putih Serbuk
1 biji bawang besar (dibelah 4)
1/2 kiub pati Ayam
Sedikit Garam

Bahan C
Bawang Goreng
Hirisan Daun Sup

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dan tumis bahan A sehingga wangi.
2. Masukan bahan B dan masak sehingga mendidih.
3. Siap.

4. Tabur dengan bahan C sebelum makan.

CARA-CARA MENGHIDANG


1. Masukkan sayur, bebola ikan, kek ikan, sayur. sotong dan pilihan selera anda... kedalam mangkuk.
2. Curahkan Sos Manis secukup nya. Lebih kuah ini lagi sedap.
3. Tambahkan sedikit Sos pedas jika suka.
4. Tabur sedikit kacang tanah dan bijan.
5. Siap untuk dimakan...

Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Monday, 26 November 2018

SAMBAL BILIS 'GELAMA MASAM' YANG SEDAP ... bila sudah larut malam !

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ...

Ini lah SAMBAL BILIS 'GELAMA MASAM' YANG SEDAP. Memang dimasak sedikit berkuah,
Bahan-bahan yang digunakan pulak tidak digoreng saperti selalu sebab akak masak dah tengah malam. Maklum dipagi hari berkursus, lepas tu terus lunch Kep-C. Dah tu beli lagi Kep-C untuk petang. Malam baru lapar ....

Ni akak masak simple-simple saja, tapi sebab  nak cari sedikit kelainan, maka digoreng ikan gelama masam sebelum ditumis bawang dan bahan-bahan yang lain.
Hasil nya sambal ini teramat sedap sehinggakan akak tambah berpinggan-pinggan walaupon dah hampir larut malam...

sorry akak tak diet.
makan bila rasa nak makan.
tambah bila selera rasa sedap.
makan pulak dengan petai jeruk dan baki ikan masin....
. .. ahaks !!

Sebagai perkongsian ...penyumbang rasa Sambal Bilis yang sedap sebenarnya adalah juga bergantung kepada jenis ikan bilis yang digunakan.
Pastikan ikan jenis yang jenis 'sedikit rasa berlemak'.

Suatu ketika dulu akak pernah sediakan sambal bilis guna resepi biasa-biasa saja.
Kuah tak lah sepekat sambal nasi lemak walaupon akak masak untuk dimakan dengan nasi lemak ketika itu, yakni sambal yang sedikit berkuah.
Tetapi rasa nya aduhai tersangat-sangat-sangat sedap ! Serius !!! Memang serius sedap !!
Teringat-ingat sampai sekarang !

Bermacam-macam andaian bermain dikepala....mungkin ikan bilis
Jadi setiap kali beli, akak akan pastikan bilis yang siap dikopek dan ranggup apabila digoreng. Warna nya sedikit cerah dan isi nya tak lah tebal sangat.
Tapi bila dah masak rasa nya masih tak menjadi.

Tapi apabila mencuba sedikit kelainan menggunakan ikan bilis yang sedikit tebal isi nya, ( # harga ikan bilis ini tak lah semahal ikan bilis yang ranggup tu), dan biasa nya bilis ini rasa nya sedikit berlemak dari ikan bilis ranggup, alhamdulillah dah dapat rasa sebagaimana yang dikehendaki .

Kesimpulan ..Tak semesti nya ikan bilis yang mahal maka sambal nya akan menjadi sedap.
Dan kebiasaan nya bilis yang mahal adalah jenis yang ranggup apabila digoreng.

Nanti akak akan share kan jenis ikan bilis yang akak beli tu ya di lain siaran ...

Jomm.. kita cuba kelainan dengan SAMBAL BILIS 'GELAMA MASAM' serius sedap !!!!
Sambal yang dimasak sedikit berkuah dan tiada rasa manis gula. Cuma manis ikan bilis dan bawang sahja kerana ia dimakan dengan nasi biasa.
Kebiasaan nya kalau untuk nasi lemak baru ia dimasak sedikit manis . 

Bahan A
1 ekor ikan gelama asam bersaiz sederhana
2  mangkuk kecil ikan bilis

Bahan B
Minyak untuk menumis
4 ulas bawang putih (dicincang)
1 biji bawang besar / 8 ulas bawang merah (di hiris)
Belacan sebesar ibu jari

1 mangkuk kecil cili kisar (homemade)
3/4 mangkuk kecil air
1 camca kecil pes asam jawa 'ADABI'

Bahan C
6 biji tomato ceri merah
6 biji tomato ceri kuning
8 biji cili padi merah (dihiris kasar) * optional untuk lebih pedas sebab cili kisar kurang menyengat
1 camca teh gula putih * optional/ akak tak masukkan
Sedikit garam

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam periuk dan goreng ikan gelama masam sehingga hampir garing. Tinggalkan 1/2 bahagian isi dalam periuk , dan baki dikaup keluar.
2. Masukkan bawang putih dan bawang merah, kacau-kacau sebentar terus masukkan belacan yang telah dihancurkan (tanpa air).  Masak sehingga beraroma.
3. Masukkan  cili kisar, asam jawa dan sedikit air. Apabila kuah mula mendidih masukkan ikan bilis dan perlahankan api. Masak sehingga terbit minyak dan kuah menjadi pekat.
4. Seterusnya masukkan bahan C dan  masak dengan api perlahan sehingga terbit kembali minyak yang banyak dipermukaan sambal.
5. Siap untuk diangkat dan dihidangkan.


Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Saturday, 24 November 2018

DAGING KICAP UTARA ...Yang Terlebih sedap !

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ...

Daging Goreng Kicap cara orang Utara ini memang menjadi kegemaran akak dan keluarga.
Bahan-bahan yang digunakan adalah bahan asas yang kebiasaan nya terdapat didapur-dapur kita semua.

Sesuai sangat untuk anak-anak kecil kerana rasa nya manis, lemak, masin dan beraroma.
Untuk orang dewasa lagi lah suka kan nya..
Jika yang minat rasa pedas boleh lah ditambah dengan beberapa biji cili padi.

Keenakan lauk yang satu ini, usah dipertikaikan lagi.. kerana sekali rasa dah cukup untuk membuatkan kita menambah nasi berpinggan -pinggan !

Jomm...

Bahan A 
400 g daging
1 camca kecil kunyit serbuk
1/2 inci halia (dihiris tebal)
Air secukup nya

Bahan B
Sedikit Minyak
3 tangkai Daun Kari
2 ulas bawang putih (dihiris)
1/2 inci halia (dihiris batang mancis)

Bahan C
1 camca besar Sos Tiram
1 camca teh gula perang / Gula Kabung
1/2 camca teh Jintan Putih Serbuk (homemade)
1/2 camca teh Lada Hitam Serbuk (homemade)
1/2 camca teh Lada Putih Serbuk (homemade)

Bahan D
1 biji bawang Holland (dipotong baji)
10 biji Cili Padi Merah (dibelah 2 menyerong) * optional
1 biji Cili Merah (dihiris menyerong)
Kicap Lemak Manis 'Kipas Udang'
Kicap Lemak Masin 'Kipas Udang'

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan bahan A dalam periuk dan rebus sehingga daging empuk. Angkat dan ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan B sehingga terbit aroma.
3. Masukkan daging yang telah direbus empuk bersama baki air rebusan daging, juga bahan C. Masak sehingga air betul betul susut.
4. Apabila air telah kering, baru dimasukkan bahan D, ratakan sebentar dan boleh diangkat untuk dihidangkan.

Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Thursday, 22 November 2018

KENTANG PANGGANG TERLAJAK RANGGUP ...The best cispy roast Potatoes Ever

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ...

Kentang Panggang yang akak masak semalam memang sedap sangat dimakan panas-panas dengan rasa bawang putih, Daun Rosemary dan Parsley,  ranggup sekali dibahagian luar dan lembut di dalam tambahan pula akak menggunakan kentang Russet.
Ini adalah kerana ia direbus dalam campuran air yang ber PH alkali.




Ketika memanggang aroma nya memang amat wangi sekali saperti memanggang ayam.
Aduhaiii...
Bila-bila nanti boleh panggang ayam cara ini pulak !

Resepi asal boleh rujuk disini The Best Crispy Roast Potatoes Ever


Bahan A
2 kg kentang Russet *kentang yang berisi lembut dan cepat empuk (dikupas kulit dan dipotong kepada ketulan besar)
1/2 sudu teh (~4g) Soda Bikarbonat
Sedikit Garam
Sedikit Air untuk merebus Ubi

Bahan B
Sedikit Lada Hitam Serbuk * homemade lebih sedap
Sedikit Garam

Bahan C
5 sudu besar (~75ml) minyak zaitun / minyak jagung
3 labu Bawang Putih (dicincang halus)
10 g Daun Rosemary (dicincang halus)

Bahan D
10 g Daun Parsli segar (dicincang halus)


Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan oven pada suhu 200 C api atas-bawah tanpa kipas.



2. Panaskan minyak dan tumis Bawang Putih dan Daun Rosemary  (bahan C) sehingga keperangan.
3. Angkat dan tapis untuk mengasingkan bahan goreng dan minyak. Ketepikan kedua-dua nya.


4. Didihkan air, kemudian masukkan garam dan soda bikarbonat (bahan A). Kacau sehingga larut.
5. Masukkan kentang dan rebus selama ~ 10 minit sehingga 3/4 empuk.
6. Angkat dan toskan air rebusan.




7. Masukkan kentang kedalam minyak goreng bawang putih, kemudian tambahkan bahan B dan kocak-kocak sehingga ubi sebati.


8. Letakkan ubi kedalam dulang pembakar dalam jarak terpisah antara satu sama lain supaya ubi kelak masak dengan mudah dan sekata.
9. Bakar / panggang selama 20 minit pertama.


10. Keluarkan dulang dari oven dan alih-alihkan ubi, kemudian bakar lagi selama 30-45 minit sehingga keperangan. Untuk dapatkan warna dan garing yag sekata, seelok nya dibalik-balikkan beberapa kali.

ps... kentang akak memang di lebihkan keperangan nya kerana akak suka yg terlebih garing ... 

10. Keluarkan dari oven dan pindahkan ubi kedalam mangkuk besar.
11. Masukkan bawang putih yang telah digoreng bersama daun Rosemary sebelum ini.
12. Tambahkan hirisan dan Daun Parsli (bahan D) dan rata kata.
13. Siap untuk dihidangkan.

Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Wednesday, 21 November 2018

KARI KEPALA IKAN NYOK-NYOK ... yang sangat-sangat sedap

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ...

Kari Kepala Ikan kali ini disediakan oleh siapa lagi kalau bukan Chef Siti Nurul Jannah.
Akak kalau jumpa kepala ikan memang suka sangat, tapi dek kekangan masa akak serahkan kepada anak saudara untuk memasaknya.
1 1/2 ketul kepala ikan bila dah dimasak jadi penuh satu periuk besar.

Cara penyediaan nya masih sama yang akak perturunkan dari resepi arwah emak yang memang amat sedap sekali.

Saperti biasa, dan dah menjadi kelaziman... hasil masakan pelajar akan menjadi lebih sedap dari yang mengajar nya aka 'guru' saperti kari ini....
Ini juga saperti yang orang tua-tua katakan ... 'hasil air tangan'  berbeza walaupon resepi yang sama !

Tambahan lagi santan yang digunakan adalah santan yang diperah sendiri dari kelapa parut dan hasil nya kari ini lebih pekat dan amat-mat menyelerakan sangat.

Boleh rujuk di sini KARI PENANG IKAN JENAHAK ...tips memasak kari yang sedap untuk mendapatkan tips-tip memasak kari yang meletupssss !


Bahan A
Sedikit minyak untuk menumis
3 tangkai daun kari
5 ulas bawang merah (dihiris)
5 ulas bawang putih (dihiris)
3/4 camca besar halba campur

Bahan B (jadikan pes)
2 paket rempah kari ikan
8 ulas bawang merah (ditumbuk)
8 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 1/2 camca teh jintan putih (ditumbuk)
1 camca teh jintan manis (ditumbuk)
1 camca teh lada hitam (ditumbuk)
1 camca teh lada putih  (ditumbuk)
2 camca teh pes asam jawa 'ADABI'
sedikit air
sedikit garam

Bahan C
1 1/2 ketul kepala Nyok-Nyok Hitam
3 cawan santan sederhana pekat (diperah sendiri)

Bahan D
1 biji bawang Besar (dibelah 8) * optional
2 biji tomato segar (dibelah 2)
2 biji cili hijau (dibelah 2 jangan sampai putus dan dibuang biji nya atau di patah kan 2)
8 helai daun bawang (dikerat sepanjang ~ 2 inci)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak di dalam periuk dan tumis bahan A sehingga bawang layu, terbit aroma dan bertukar hampir keperangan.
2. Masukkan bahan B, besar kan api dan biar sehingga rempah mendidih.
3. Kecilkan api dan teruskan memasak dengan api yang perlahan sehingga rempah menjadi pekat dan terbit minyak yang banyak.  Pastikan ia kerap di kacau supaya rempah tidak hangit dan berkerak.
4. Masukkan santan dan sebatikan dengan rempah.
5. Apabila nampak kuah 'mula' nak mendidih, terus masukkan ikan dan kecilkan api supaya ikan masak secara perlahan.
6. Agak-agak ikan separuh masak, masukkan semua bahan D. Biar hingga kuah mula mendidih semula sebelum diangkat untuk dihidangkan.

Elak dari membiarkan kari mendidih terlalu lama.

Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Monday, 19 November 2018

NASI LEMAK KUKUS SERAI 'SAMBAL BILIS SOTONG KERING, IKAN MASIN & TELUR REBUS ....set lengkap yang terlajak sedap

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ...

Kalau dah selera nak makan, walau penat sekali pon masih sanggup lagi berkampong didapur untuk sediakan NASI LEMAK KUKUS SERAI yang berlaukkan SAMBAL BILIS SOTONG KERING, ikan masin goreng, dan telur rebus  !

Tak sabar nak tunggu nasi masak dek aroma nasi yang menusuk selera.
Tunggu nasi saja, sambil sambil tu goreng ikan masin....

Sambal sotong akak dah masak beberapa hari lalu dalam kuantiti yang banyak, cara nya masih sama saperti SAMBAL NASI LEMAK SOTONG KERING ... serius gila...amat sedap ! tempoh hari.

Jom jom jom...........

NASI LEMAK KUKUS SERAI

Bahan A
3 1/2 cawan Beras
5 cawan Air
1/2 cawan Santan Cair
1 camca teh Lada Hitam biji
1 camca teh Halba sahaja
1 camca besar minyak masak *optional... untuk memudahkan nasi dibungkus / toidak berderai
1 biji Bawang Besar (dipotong baji)
2 helai Daun Pandan (disiat dan disimpul)
1/2 camca teh Kunyit Serbuk
1/2 inci Halia
Sedikit garam

* Rahsia nasi yang sedap
1 camca kecil Gula Batu
1 keping Asam Gelugor yang bersaiz sederhana
secubit Aji (sedikitttt sahaja)

Bahan B
1/2 pelepah Daun Pisang
2 helai Daun Pandan (disiat dan disimpul)
Air secukup nya untuk mengukus

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan kesemua bahan A dalam periuk 'rice cooker' dan masak saperti biasa.

 

2. Isi periuk pengukus dengan air secukupnya dan masukkan daun pandan dan didihkan air.


3. Berbalik kepada nasi kita, apabila suis lampu periuk bertukar ke warm, terus angkat dan pindahkan nasi kedalam bekas kukusan yang telah dilapik dengan daun pisang.

 

4. Kukus selama 10 minit atau sehingga nasi masak sempurna.
5. Siap untuk dihidangkan.


SAMBAL BILIS SOTONG KERING

Bahan A
3 ekor sotong kering yang bersaiz besar
3 camca besar air abu
Air seckup nya untuk proses merendam

Bahan B
Minyak untuk menggoreng
100 g cili kering
30 g udang kering
1 labu bawang putih
4 biji bawang besar (belah 4)
Belacan sebesar 4 ibu jari
* Semua bahan diatas digoreng secara berasingan selama 1-2 minit. Untuk cili kering tu lebih kan sedikit kerana ia banyak. Tapi jangan sampai hanggus, Tak perlu tunggu sehingga cili bertukar warna

Sedikit air untuk proses mengisar (tak perlu banyak)

Bahan C
1 cawan minyak masak
3 camca kecil 'penuh' pes asam Jawa 'ADABI'
3 helai daun pandan (disiat dan disimpul)

Bahan D
100 g ikan bilis (digoreng sekejap dan ditumbuk 'manja-manja'/ lebam saja)
1 camca besar Gula kabung
6 camca besar gula putih
Sedikit garam

3 helai daun pandan... tambahan (disiat dan disimpul)
Tiada perasa tambahan

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan bahan A dalam bekas dan rendam semalaman, kemudian nya diotong mengikit saiz yang dikehendaki dan dibasuh bersih. Kemudian rebus sekejap untuk menanggalkan sisa air abu jika ada, juga untuk menghilangkan bau sotong kering. Toskan air dan ketepikan.

2. Panaskan minyak dalam kuali dengan api yang sederhana dan goreng setiap bahan B secara berasingan untuk menerbitkan rasa yang lebih sedap dan sambal yang beraroma.
* Pastikan jangan terlalu lama terutama cili kering kerana ia cepat hangus.
3. Kemudian kisar bahan B dengan sedikit air sehingga halus.

4. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar dan masukkan bahan C.
5. Masak dengan api yang perlahan sehingga sambal menjadi 3/4 pekat dan pecah minyak.
6. Masukkan sotong yang telah direbus dan bahan D kecuali daun pandan(tambahan)
7. Teruskan memasak sehingga sambal kembali pecah minyak dan menjadi betul-betul pekat,
 baru masukkan tambahan daun pandan, dan masak lagi selama 20-30 minit dengan api perlahan.
8. Siap untuk dihidangkan


HIDANGAN SAMPINGAN


Bahan A
Kacang Goreng
Telur Rebus
Ikan Masin
Timun

Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Saturday, 17 November 2018

MEEHOON SUP AYAM & SAMBAL BILIS SOTONG KERING ...juadah istimewa yang sedap

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ...

Akak masak MEEHOON SUP AYAM  semalam untuk keluarga pbila terigin sangat nak makan makanan yang berkuah,
Rasa meehoon kali ini amat sedap bagi selera kami keluarga, manakan tidak, takkan habis seperiuk kuah dan bihun.

Kali ini ia dimakan bersama SAMBAL BILIS SOTONG KERING untuk yang nak sedikit pedas dan rasa sipi-sipi manis.
Memang satu gabungan yang menjadi dan rasa nya amat marbeless gileee..
Semua pakat dok menghirup kuah !

Masih tak berganjak dengan resepi Sambal SAMBAL NASI LEMAK SOTONG KERING ... serius gila...amat sedap !.
Dah jadi kebiasaan bila dah sedap akak akan ulang masak berkali-kali ....
Tapi kali ini akak lebihkan Sotong dan juga ikan bilis.. untuk rasa yang lebih-lebih kaw dan meletup'sss.

Kali ini akak masak 'lebih banyak' dari biasa sebab dah plan nak sediakan NASI LEMAK KUKUS SERAI pula nanti yang akan dimakan dengan sambal ini !!!!

Jom .... hari ini kita tinjau resepi MEEHOON SUP AYAM & SAMBAL BILIS SOTONG KERING yang semua sedap menghirup rasa kuah nya !!!!


KUAH SUP


Bahan A
1/2 ekor ayam (dipotong ikut suka)

Bahan B
2 kuntum Bunga Lawang
2 inci kulit Kayu Manis
4 biji Buah Pelaga
6 kuntum Bunga Cengkih
1 inci Halia (dihiris kasar)
4 ulas Bawang Putih (dihiris nipis)
1 biji Bawang Besar / 6 ulas bawang Merah (dihiris nipis)

2 batang Serai (diketuk)

Bahan C (dikisar halus)
1 inci Halia
2 biji Bawang Besar
6 ulas Bawang Putih
1 camca besar Ketumbar Biji
1 camca kecil Lada Hitam
1 camca kecil Lada Putih
Sedikit Air

Bahan D
1 peket kecil Rempah Sup 'Faiza'
Sedikit air

Bahan E
Air secukup nya sebagai kuah
2 batang Lobak Merah (dipotong kasar)
1/2 camca besar Stok Ayam 'Maggie'
Sedikit Garam

Bahan F
Hirisan Daun Sup
Hirisan Daun Bawang
Bawang Goreng

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan B (kecuali serai) sehingga bawang bertukar keperangan baru dimasukkan serai dan kacau-kacau sebentar Untuk elakkan rasa serai hilang apabila digoreng terlalu lama.
2.Masukkan bahan C, D dan perlahankan api. Pastikan dikacau selalu untuk mengelakkan ia rempah hangit. Masak sehingga rempah terbit minyak.
3. Masukkan sedikit air lagi(sedikit sahaja), sebatikan dengan rempah baru dimasukkan ayam. Sebatikan dan biar selama 5 minit supaya rempah mesra dalam isi ayam.
4. Baru dimasukkan bahan E. Masak sehingga kuah mendidih.
5. Sebelum angkat, tabur dengan  bahan F.
6. Siap.

BIHUN


Bahan A (direndam 1 jam)
1 paket bihun Jasmin
Air biasa secukup nya
1 camca teh kunyit serbuk atau setitis pewarna kuning

Cara-Cara Mencelur
1. Bihun ditoskan air rendaman. Kemudian alirkan sedikit air. Ketepikan.
2. Didihkan air dalam periuk sehingga betul-betul mendidih.
3. Masukkan bihun dan biarkan selama lebih kurang 1 minit sahaja untuk mengelakkan bihun terlebih masak, aduk-aduk sedikit, terus angkat dah tuang kedalam penapis.   
4. Siap.



SAMBAL SOTONG


Masih tak beranjak dengan resepi Sambal SAMBAL NASI LEMAK SOTONG KERING ... serius gila...amat sedap !.
Dah jadi kebiasaan bila dah sedap akak akan ulang masak berkali-kali ....
Tapi kali ini akak lebihkan Stong dan juga ikan bilis.. memag marvelesss.
Akak masak banyak dari biasa sebab plan nak masak NASI LEMAK KUKUS SERAI nanti

BAHAN TABUR

Bahan A
Kek Ikan (digoreng)
Kacang Goreng (digoreng)

Sayur Sawi  (dicelur)
Taugeh (dicelur)

Hirisan Daun Sup
Hirisan Daun Bawang
Bawang Goreng
Limau Nipis


Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my