TEPUNG BUNGKUS ... Tips mendapatkan texture yang cantik





Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua..

TEPUNG BUNGKUS.......
Kuih yang saya sediakan semalam sebagai minum petang.
Memang dah lama teringin sangat-sangat nak makan kuih ini.

Teringat ...
Suatu ketika dulu arwah emak pernah berniaga Kuih ini secara kecil-kecilan.
Berniaga sekadar mengisi masa terluang disamping ingin merasai dunia perniagaan.
Tugas saya ketika itu tentu nya mengentel dan membalut inti kelapa...tugas yang senang senang saja...

Masa itu tak terfikir nak belajar ilmu memasak kuih ini secara terperinci dari emak.
Cara-cara nak menyediakan nya alhamdulillah saya tahu kerana kerapkali berada bersama semasa menyediakan nya.

Seminggu sekali emak akan sediakan kuih ini untuk jualan di pasar malam.
Kadang tu kuih belum sampai, dah ada yang menunggu.
Sekejap sahaja kuih ini habis... walau pon belum malam lagi, di pasar malam...

Teringat kata-kata emak... pastikan kuih kita sedap, cukup lemak dan rasa manis
Sekali rasa ... In Sya ALLAH mereka akan datang lagi.

Satu rahsia yang ingin saya kongsi disini untuk mendapatkan kuih cantik....
Letakkan sedikit tepung ubi kayu.
Sedikit sahaja ya....
Tujuan nya untuk menjadikan kuih ini 'mbat.. mbat..'
'mbat.. mbat..'... istilah sendiri yang bermaksud bila kuih ini di pegang dan digoyangkan sedikit, kita akan lihat kuih itu seakan 'ber..alun'.

INTI


Bahan A
1/2 biji kelapa parut (pastikan bukan kelapa yang terlalu tua kerana isi nya sedikit kering dan kurang sesuai dijadikan inti)
1 sudu besar tepung gandum


Bahan B
150 gram gula kabung (boleh digantikan dengan gula merah)
70 gram gula putih
3 helai daun pandan (disiat-siat dan disimpul)
5 camca besar air (jika gula merah lebihkan sedikit air kerana kita akan tapis kemudian)

Bahan C
1 cawan tepung pulut
sedikit air

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan bahan B dalam kuali dan masak sehingga gula larut.
2. Jika menggunakan gula merah tapis kan air gula dan masukkan kembali ke dalam kuali dan teruskan masak sehingga air gula menjadi pekat dan berbuih.
3. Masukkan kelapa parut, ratakan selalu dan perlahankan api.
4. Akhir sekali taburkan tepung gandum. Teruskan memasak lagi selama 5-8 minit dengan api yang perlahan.
5. Angkat dan biarkan ia berada pada suhu bilik sebelum 'jemput' dan bulat-bulatkan... anggaran 8 g.
6. Simpan dalam peti sejuk selama 1/2 -1 jam untuk mengeraskan ia sedikit. 
Tujuan nya adalah untuk megelakkan ia melekat ditangan semasa proses membalut dengan tepung

7. Masukkan tepung pulut kedalam mangkuk dan tuang air sedikit-sedikit sambil menggaul sehingga menjadi doh dan tiada tepung. Pastikan doh jangan lembik kerana akan melekat ditangan semasa proses membalut.
8. Ambil sedikit tepung, leperkan dan masukkan inti . Pastikan balutan tepung pada inti ini nipis sahaja.


ADUNAN TEPUNG



Bahan A
1 cawan tepung beras (cap 3 gajah)
1/2 sudu besar tepung ubi kayu
2  1/4 cawan santan
sedikit garam

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan kesemua bahan A dalam periuk sehingga semua bersatu rata dan perasakan dengan garam
2. Hidupkan api dan masak dengan api yang perlahan sambil 'sentiasa' mengacau selalu sehingga naik wap dan angkat.
Pastikan jangan terlalu membeku sekadar beku sikit-sikit dah mencukupi.


MEMBALUT


Bahan A
2 pelepah daun pisang

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Daun pisang di layur sekejap atas api sekadar melayukan ia sahaja.
2. Masukkan 2 biji inti ke dalam tepung yang telah dimasak, golek-golekan ia dengan sudu dan letakkan atas/dibahagian tengah daun pisang.
3. Cantumkan kedua-dua tepi daun pisang dan lipat 2 kali dibahagian atas dan kelepekkan di kedua tepi nya.
4. Buat sehingga habis

5. Panaskan periuk pengukus dan kukus selama 30 minit atau sehingga masak.
6. Angkat dan sejukkan dahulu sebelum makan.
* Tepung bungkus yang masih panas jika dibuka daun terlalu awal, kejadian rupa nya kurang menarik. Oleh itu biarkan ia sejuk dahulu ya....

4 comments:

  1. Sedap ni! PH dah lama tak makan tepung bungkus. Kat sini tak ada pulak orang jual. Nak buat sendiri, malas pulak hee..hee...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sedap kuih warisan ini PH. Memang nak buat sedikit cerewet. Tetapi berbaloi ....

      Delete
  2. selalu mkn bila emak yg buat..emak pun dah berumur..so kena belajar membuatnya..

    ReplyDelete
  3. Apa beza tepung beras cap 3 gajah dan 1 gajah?

    ReplyDelete

Powered by Blogger.