Thursday, 27 October 2016

SAMBAL SOTONG PETAI BERJINTAN ... Sambal yang pedas

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua...

Menu saya hari ini SAMBAL SOTONG PETAI BERJINTAN.
Rasa macam lama tak makan Sambal Tumis sotong.

Dulu masa zaman kanak kanak pantang jumpa Sambal Tumis.
Tak kisah lah...
  Sambal Tumis Ikan bilis ka..
  Sambal Tumis Sotong ka..
  Sambal Tumis Ayam ka..
  atau pon daging...
memang favourite

Jom kita rasa sambal tumis  yang dicampur dengan petai jeruk.
sedapppp !


Bahan A
1 kilo sotong
3 ulas bawang putih (di hiris/ketuk)
1/2 inci halia (dihiris nipis)
1/2 camca teh jintan manis serbuk
1/2 camca teh jintan putih serbuk
1 camca teh lada hitam (ditumbuk halus)
1 camca teh lada putih (ditumbuk halus)

Bahan B (dikisar halus)
1 biji bawang besar
2 biji cili merah
15 biji cili padi merah
sedikit belacan

Bahan C
Minyak untuk menumis
2 camca besar cuka 
sedikit kicap manis
sedikit kicap masin
sedikit garam
petai secukup nya.

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan kesemua bahan A dalam kuali dan nyalakan api. Masak sehingga air sotong susut. 
2. Panaskan minyak dalam kuali yang lain dan tumis bahan kisar (bahan B). Masak dengan api perlahan sehingga sambal menjadi pekat. 
3. Masukkan cuka dan kicap manis/masin.
4. Masukkan sotong yang telah direbus tadi bersama dengan jintan-jintan.
5. Masukkan petai dan perasakan dengan garam.
6. Agak-agak petai telah sebati dengan sambal boleh lah diangkat untuk dihidangkan.

* Selamat Menjamu Selera ...

Wednesday, 26 October 2016

SET NASI & AYAM ala KENNY ROGERS ... Menu lengkap untuk tengahhari

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua...

Hari ini saya nak kongsi NASI AYAM ala KENNY ROGERS pulak !
Ada ka Nasi Ayam di  KENNY ROGERS tu ?
heh heh heh ...

Tak pasti sebab seingat saya, tak pernah pon makan di Kenny Rogers tu.
Tapi ayam yang saya sediakan hari tu memang sedap habisssss.
Tambah lagi saya perap lama.
Di setiap gigitan-gigitan pada isi ayam terasa rempah ratus nya.

Untuk melengkapkan menu tengahhari, saya sediakan juga nasi.
Baki baki perapan ayam saya gunakan sebagai bahan penumis.

Saya cuma perlu tambahkan rempah 4 sekawan, sebiji bawang besar, serai sebatang, sedikit karet yang dipotong kiub dan tambahan stok ayam.
Memang sedap dan beraroma nasi ini.

Untuk Sup pula saya sediakan menu yang cukup ringkas dan sihat tetapi menyelerakan tekak.

Jom kita tengok resepi yang lengkap.
Jom Jom Jom............


AYAM PANGGANG ~ ala KENNY ROGERS


Boleh rujuk disini ya AYAM PANGGANG ala ~ KENNY ROGERS untuk resepi ayam


NASI ~ ala KENNY ROGERS

Bahan A
2 cawan beras brasmathi (dibasuh bersih, direndam 1/2 jam dan ditoskan air nya)

Bahan B
1 camca besar butter
1 biji bawang besar (dihiris)
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 batang serai (diketuk lebam)
2 helai daun pandan (disiat-siat dan di simpul)
Baki perapan ayam KENNY ROGERS

Bahan C
3 cawan air biasa
1/2 camca besar stok Ayam 'Maggie'
1/2 batang karet (di potong kiub)
sedikit garam

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan butter dalam periuk 'rice cooker' dan tumis bawang besar sehingga layu.
2. Masukkan rempah 4 sekawan, baki perapan ayam dan daun pandan. Dikacau selalu sehingga terbit aroma dan bawang bertukar keperangan.
3. Masukkan kesemua bahan C dan perasakan dengan garam.
4. Bila air telah mendidih terus masukkan beras yang telah direndam/ditoskan tadi.
5. Ratakan beras, tutup periuk dan masak saperti nasi biasa.
6. Apabila suis periuk telah bertukar ke 'Warm', gembur nasi dengan batang copstick untuk memastikan beras tidak patah.
7. Tutup kembali tudung periuk san biarkan nasi masak dengan sempurna selama 10 minit sebelum dihidangkan.


SUP BEBOLA


Bahan A
Air secukup nya sebagai kuah
1/2 batang karet (dipotong kiub)
15-20 bebola ayam/ikan
1/2 inci halia (dihiris nipis)
5 ulas bawang putih (dihiris nipis)
1/2 camca besar stok Ayam 'Maggie'
sedikit garam

Bahan B
Hirisan Daun Sup
Hirisan Daun bawang
Bawang Goreng

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan kesemua bahan A dalam periuk dan rebus sehingga kuah mendidih.
2. Sebelum angkat masukkan bahan B.
3. Siap untuk dihidangkan.

* Selamat Menjamu Selera ...

Tuesday, 25 October 2016

AYAM PANGGANG ala ~ KENNY ROGERS .. Sedap dan berselera sekali

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.

Lepas makan AYAM PANGGANG MADU tempoh hari, tekak ini  terasa nak dan nak lagi.......
Google Google akhir nya nak cuba pulak AYAM PANGGANG ALA~ KENNY ROGERS
Saya sediakan lengkap dengan nasi dan sup sebagai menu tengahhari
Aduhai sedap nya..................

Tapi hari ini saya kongsi resepi ayam dulu ya
Esok kita tengok nasi dan sup pula OK !
Cuba lah memang berbaloiiii sangat-sangat
Makan puas sampai kenyang. Dan yang pasti jimat RM bila masak sendiri ni.

Resepi dari Kongsi Resepi disini ya Sharm1969.
Terima Kasih kerana berkongsi resepi yang sedap ini .

Saya olah sedikit mengikut cara saya ya ........

Bahan A
2 ketul paha ayam atau 1/2 ekor ayam (di bersihkan dan di potong 2. )

Bahan B (ditumbuk/mesin halus)
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 1/2 camca besar lada hitam biji

Bahan C
2 sudu besar madu
1/2 ketul kiub ayam Knorr
1/2 keping gula kabung (boleh guna gula pasir)
1/2 camca besar herba campuran ('mixed herbs')
1 camca teh garam halus
1 camca besar mentega

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Bahan B diblend tanpa air sehingga halus. Tetapi jika sukar nak mengisar bolehlah diletakkan sedikit air sekadar membolehkan ia dikisar.
2. Campur kesemua kisar B dan bahan C sehingga rata.
3. Lumurkan campuran rempah diatas pada ayam dan perap selama 1 1/2 jam.
Saya perap semalaman. Tetapi jika perap lebih lama lagi sedap tetapi pastikan ia disimpan dalam peti sejuk.
4. Sapu sedikit mentega keseluruhan ayam sebelum dibakar/panggang.
5. Oleh kerana saya menggunakan oven untuk membakar jadi saya cucuk ayam dengan 2 batang lidi-satay setiap satu dan letakkan dalam dulang yang dilapik aluminium foil supaya wap panas boleh beredar dibawah ayam seolah ia dipanggang. Juga untuk memastikan ayam tidak melekat pada foil.
6. Bakar dengan suhu 180 C api atas/bawah tanpa kipas dan pintu oven yang bertutup. selama 1 1/2 jam atau sehingga ayam masak.
7. Selepas 1/2 jam pertama, sapu permukaan ayam dengan minyak dan campuran rempah yang menitis untuk memastikan yang ia tidak terlalu kering dan alihkan.
8. Selepas 1/2 jam yang kedua, alihkan kembali ayam untuk menggaringkan bahagian atas semula

* Selamat Menjamu Selera ...

Sunday, 23 October 2016

JUS MANGGA ... yang manis dan segar

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.

Hujung-hujung minggu ini tentu  ada yang mengambil kesempatan berehat bersama keluarga ditempat-tempat percutian menarik kan.
Banyak tempat-tempat menarik yang boleh dilawati dalam Malaysia.
Kalau di Pulau Pinang ini masih banyak lagi tempat-empat peraginan yang belum sempat saya lawati.
Tengok lah bila timbul mood nak berjalan boleh lah rehat-rehat.

OK....
Hari ini saya nak jamu Jus Mangga ya..
Maklum semasa berkunjung ke Kuala Lumpur tempoh hari terperasan 'cik abang' yang jual pisang goreng cheese, samosa, keropok lekor dan beberapa lagi kuih goreng juga ada menjual Jus mangga fresh.

Biasa nya  kalau jus mangga ini selalu nya  penjual lebih suka menggunakan jus mangga yang siap dibotolkaan saja.
Tapi yang ini memang mangga betul..
Sedap sangat.
Satu cup plastik tu RM 2.
OK lah janji sedap
Dah minum tu macam nak beli lagi...
Tapi malas pula nak patah balik

Tapi hari ni kita minum puas-puas.
Sebab 1 biji mangga boleh dapat 1 jug atau lebih jus nya

Jomm.....



Bahan A
1 biji mangga (mangga yang masak dan manis isi nya saperti harum manis)
1 jug air putih (air masak)
ketulan ais secukup nya

Bahan B
Gula putih secukup nya
2 helai daun pandan
sedikit air

Cara-Cara Menyediakan nya
Air Gula
1.  Satukan bahan B dalam periuk dan masak sehingga gula larut dan tapis.

2. Mangga dikupas kulitnya dan hiris kepada kepingan-kepingan.
3. Masukkan mangga, air kedalam blender dan blend sehingga halus.
4. Tuang kedalam jug dan masukkan air gula secukup nya.
5. Masukkan ketulan ais sebelum dihidangkan

* Selamat Menjamu Selera ...


Saturday, 22 October 2016

NASI GORENG NENEK 'NOR SHILA' ... yang cukup enak dan sedap !

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.

Memang rancang nak masak nasi goreng hari ini pon.
Terpandang post  NASI GORENG NENEK 'NUR SHILA'
Memang terliur habis !
Jadi sebelum tidur semalam, saya masak nasi lebih sikit .......

Nur Shila, jiran sekampung juga merangkap sahabat karib kepada anak saudara, Siti Nurul Jannah.
Seorang yang cukup rajin..
Tapi kerap juga kena buli diwaktu kecil dulu.
Maklum zaman kanak-kanak.
Zaman-zaman hingusan.
.. heheheh

Tapi itu dulu...
Kini beliau telah menjadi seorang usahawan yang berjaya dalam bidang jualan makanan

Beberapa hari lalu terpandang menu jualan Nasi Goreng ini dalam wall FB beliau
Resepi yang cukup ringkas dan cukup-cukup enak ini katanya adalah dari nenek telah diperturunkan kepada beliau.

Tak tahan tengok jadi hari ini terus buat ..
Sedap.....

Jom.....

Bahan A
2 mangkuk nasi putih 
1 tangkai daun kari
Kacang panjang atau sawi
Minyak untuk menggoreng / menumis
sedikit garam
* Tidak perlu sebarang perasa tambahan

Bahan B (diperap 1/2 jam)
2 ekor ikan kembong / sardin
sedikit serbuk kunyit
sedikit garam

Bahan C (ditumbuk lumat)
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 biji cili merah
4 biji cili padi

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Goreng ikan sehingga garing, angkat dan toskan minyak nya. Ikan kemudian dibuangkan tulang nya dan ditumbuk sehingga hancur.
2. Panaskan minyak gorengan ikan (kurangkan jika berlebihan) dan tumis bahan C, masukkan daun kari dan goreng sehingga 3/4 garing.
4. Masukkan ikan yang telah ditumbuk tadi dan teruskan menggoreng. Lebih garing ikan yang digoreng pada ketika ini akan menjadikan lebih sedap nasi kita nanti.
5. Jika nak masukkan sayur, boleh dimasukkan pada ketika ini.
6. Masukkan nasi, perasakan dengan sedikit garam dan ratakan keseluruhan nya.
7. Siap untuk dihidangkan. Boleh juga dimakan bersama telur mata.

* Selamat Menjamu Selera ...



Friday, 21 October 2016

AYAM MASAK LADA HITAM ... Ala-Ala Restauren Tabung Haji

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Jumaat semua...

AYAM MASAK LADA HITAM....
Salah satu menu yang di sajikan di Restauren Tabung Haji satu ketika dahulu.
Tapi kini lauk kegemaran ini jarang-jarang disediakan di restaurent yang terletak di Jalan Ampang ini kerana chef - chef nya ber silih berganti.

Lauk yang menjadi kegemaran kerana saya memang gemar makanan pedas-pedas.
Menu ini amat sedap ditambah lagi ia dicampurkan dengan sedikit cendawan memang cukup menggamit selera makan saya.

Dah lama sangat mengidam nak makan...

Kali ini saya menggunakan beberapa ketul kepak ayam. Tetapi boleh digantikan dengan bahagian lain juga suka.

Jomm ..


Bahan A (diperap 1/2 jam)
5-6 bahagian kepak ayam (dipotong kepada bahagian kecil)
1 camca teh lada hitam (ditumbuk halus)
sedikit garam
sedikit serbuk kunyit

Bahan B
2-3 biji ubi kentang (dibuang kulit dan dipotong kiub)
4 keping Cendawan 'Telinga Kera' (direndam 1 jam sehingga kembang dan dihiris sederhana besar)
1 camca teh tepung jagung + 1/2 cawan air

Bahan C
Minyak untuk menggoreng 
2 biji bawang besar (dipotong besar)
1 inci halia (dihiris nipis)
1 batang kulit katu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Bahan D
1/2 camca besar lada hitam (ditumbuk halus)
1/2 camca besar lada putih (ditumbuk halus) 
2 camca besar Sos Tiram
1 camca besar Kicap Sotong
1 camca besar cuka
sedikit air

Cara-Cara Menyediakannya
1. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng kepak ayam sehingga kekuningan, angkat dan toskan.
2. Terus menggoreng ubi kentang sehingga masak, angkat dan toskan.
3. Dengan menggunakan minyak yang sama tumis bawang besar sebentar sehingga layu.
4. Kemudian masukkan bahan C yang lain dan masak sehingga terbit aroma yang harum.
5. Masukkan bahan D dan masak sehingga kuah sedikit pekat.
6. Masukkan cendawan dan biarkan selama ~ 5 minit, masukkan bancuhan tepung jagung.
7. Apabila kuah mendidih semula baru dimasukkan ayam dan kentang.
8. Ratakan sebentar dan boleh dihidangkan.

* Selamat Menjamu Selera ...

Thursday, 20 October 2016

HATI AYAM GORENG PEDAS ....Selera Kampung yang sedap !

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.

HATI AYAM GORENG PEDAS
Kebetulan masa 'godek-godek' peti sejuk beku terperasan ada hati dan pedal ayam yang tersimpan kemas dalam plastik.
Selalu nya bila beli ayam sekor sekor adalah isi dalam ayam ini, dikumpulkan sikit-sikit menjadi banyak pula..
Kalau disimpan lama tentu jadi kurang manis kan ...
Ada pula kacang panjang, memang kena dan padan sangat digoreng dengan hati ayam ini.

Resepi Kampung ini  memang amat kena sangat dengan selera saya,
Lauk yang pedas dah tiada manis gula
Cuma manis-manis  bawang sahaja.
Dulu-dulu kalau kenduri kendara kebiasaan nya masakan macam ini lah yang paling sedap dan laku ...
Jomm...

Bahan A (diperap 1/2 jam)
8-10 ketul hati ayam/Pedal
sedikit garam
sedikit serbuk kunyit

Bahan B (diblend halus tanpa air/ditumbuk)
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
4 biji cili merah
10-12 biji cili padi
1 camca teh lada putih

Bahan C
sedikit minyak
8-10 urat Kacang Panjang (di patah-patahkan)
2 camca besar Sos Tiram
2 camca besar Kicap Sotong atau boleh diganti dengan kicap cair
sedikit garam * jika perlu

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng hati sehingga masak. Angkat dan toskan.
2. Dengan menggunakan minyak yang sama tumis bahan B. Masukkan sos tiram dan kicap sotong.
3. Goreng dengan api yang perlahan sehingga terbit minyak dan sambal hampir-hampir garing.
4. Masukkan hati ayam dan kacang panjang. Perasakan dengan sedikit garam.
5. Gaul gaul sebentar dan boleh diangkat. Untuk mengekalkan kerapuhan kacang panjang, tidak perlu digoreng terlalu lama.

* Selamat Menjamu Selera ...

Wednesday, 19 October 2016

AYAM PANGGANG MADU SIMPLE .. Yang Pasti Sedap !

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.

Menu untuk hari ini.. AYAM PANGGANG MADU yang simple.
Ratah ayam sahaja untuk makan tengahari hari ini.
Menu malam nanti kita fikir kemudian ya.....
Hehehe..

Memang simple sangat  AYAM PANGGANG MADU ini sebab saya hanya perap dengan rempah ratus, garam, kunyit dan madu untuk semalaman supaya ia betul-betul mesra.
Sebelum panggang saya campurkan dengan sedikit sayur capsicum, tomato segar dan perah sedikit jus lemon.
Sengaja tak nak masukkan bawang mahu pon halia.

Sedap hingga menjilat jari....

Jomm..

Bahan A
1/2 ekor ayam (dipotong 2)
1/2 camca teh basil
1/2 camca teh Oregano
1 camca teh lada hitam (ditumbuk halus)
1/2 kiub pati ayam
4 sudu besar madu
4 sudu besar minyak masak/zaiton
sedikit garam
sedikit kunyit

Bahan B
1 biji capsicum (dibelah 8)
2 biji tomato segar (dibelah 4)
* Boleh dimasukkan pelbagai jenis sayur saperti carrot, kubis bunga, kentang dll

1/2 biji lemon (diambil jus nya sahaja)
3 camca besar madu

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Ayam dibersihkan dan gaulkan dengan bahan A sehingga rata. Perap semalaman.
2. Masukkan ayam kedalam aluminium foil dan masukkan sayuran yang ada.
3. Perah jus lemon diatas nya dan tutup aluminium foil dengan kemas supaya ayam masak dengan wap yang terperangkap didalam.
4. Panaskan oven pada suhu 180 C api atas/bawah (tanpa kipas). Bakar selama 45 minit atau sehingga ayam masak. Tak perlu dialihkan ayam.

Kali ini kita akan menggaringkan bahagian atas ayam. 
5. Keluarkan dulang yang berisi ayam dan buka bahagian atas aluminium foil.
6. Letak/Sapu bahagian atas ayam dengan sedikit madu lagi. (2-3 camca besar)
7. Tukar control oven api atas sahaja (tanpa kipas) dan panggang lagi selama 8-15 minit atau sehingga bahagian atas sedikit garing.

* Siap untuk dihidangkan. Boleh dimakan dengan Sos Cili jika mahu..

Tuesday, 18 October 2016

DAGING GORENG BAWANG 'TUMIS' ... yang sedap. Versi lain Daging Goreng Kunyit !

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.

Post tertunggak beberapa hari lepas DAGING GORENG BAWANG 'TUMIS'

Ya ampunnn !!
Memang sedap sangat
Lain kali kalau nak buat lagi kena lebih-lebihkan lagi penggunaan bawang besar

Bahan yang digunakan sama saperi daging goreng kunyit.
Daging, kunyit, garam, halia, cili padi dan bawang besar. Lada hitam jika suka...
Cuma teknik memasak nya sedikit berbeza.
Ia -itu bawang besar digoreng secara berasingan sehingga terbit aroma yang harum baru dimasukkan daging yang telah digoreng terlebih dahulu.

Memang rasa nya lebih lebih sedap lagi.
Lebih beraroma sekali dengan gorengan bawang ....
Berebut-rebut pakat 'colek' bawang.

Jom....

Bahan A
350 gm daging
1 camca teh serbuk kunyit
1 camca serbuk teh lada hitam
sedikit garam
Air secukup nya untuk merebus daging

Bahan B
Minyak secukupnya
5-6 biji bawang besar (dibelah 2 dan dihiris tebal)
10-15 biji cili padi merah (dihris menyerong)
10-15 biji cili padi hijau (dihris menyerong)

Cara-Cara Menyediakan nya 
1. Daging dihiris nipis kemudian digaul dengan serbuk kunyit dan garam secukupnya.
2. Kemudian masukkan perapan daging, lada hitam dan halia ke dalam kuali dan masukkan sedikit air sehingga paras daging. Rebus sehingga daging lembut sepenuhnya. Bila daging dah lembut biar sehingga air kering.
3. Tuang sedikit sahaja  minyak dalam kedalam kuali sekadar nak menggoreng daging seketika sehingga 1/3 garing. Angkat.

4. Tambahkan minyak kedalam kuali secukup nya kerana  kali ini kita akan mengoreng bawang besar.
Agak-agak jangan terlalu sedikit dan jangan terlalu banyak. Kerana minyak ini akan menjadikan daging kita lebih berselera.
5. Masukkan bawang besar dan goreng sehingga ia layu. Ketika ini aroma bawang besar akan terbit.
6. Masukkan cili padi. Apabila cili hampir layu baru dimasukkan daging yang telah digoreng terdahulu.
7. Rata-ratakan sebentar dan boleh diangkat untuk dihidangkan.
8. Minyak gorenggan lebihan jangan dibuang teapi dimasukkan bersama.

* Selamat Menjamu Selera ...


Monday, 17 October 2016

BENDI GORENG RANGGUP ...Sungguh Ranggup di luar tetapi Lembut di dalam !

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.

'BENDI GORENG RANGGUP'....
Idea tercetus selepas terpandang posting yang lalu lalang dalam Wall FB dari group 'Masak Apa Hari ni MAHN'.

Cuba scroll kembali untuk mencari yang empunya resepi/ posting tersebut tetapi tak berjaya dikesan....
maklum group ini memang aktif, banyak entry selepas-selepas posting tersebut.
Walau bagaimanapon Terima Kasih kepada pencetus idea ini.

Kepada yang suka makan kacang bendi boleh cuba ....

Saya memang peminat tegar Kacang bendi.
Kebiasaan nya saya masak bendi bersama 'kari Ikan', 'Goreng Belacan', 'Sayur Ikan' atau pon 'Asam pedas'.
Tetapi resepi ini sedikit kelainan..
Hasilnya amat ranggup diluar dan begitu lembut didalam !
Sedap dimakan panas-panas !

Jomm ......

Bahan A
3 Camca besar 'penuh' Tepung Sagu
3 camca besar 'penuh' Tepung Beras Campuran (cap 1 gajah)
1 camca besar air kapur
1 biji kuning telur
1/4 camca teh Baking Powder
1/2 camca teh 'Secukup Rasa'
1/2 camca teh serbuk Jintan Manis
1/2 camca teh serbuk Jintan Putih
1/2 camca teh serbuk lada hitam 
sedikit garam
sedikit air

Bahan B
Kacang Bendi secukup nya

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan semua bahan A kecuali air sehingga rata.
2. Masukan air sedikit sedikit sehingga mendapat kepekatan saperti 'pisang goreng'. Jangan terlalu cair dan jangan terlalu pekat.
3. Masukkan bendi dan ratakan sekali lagi
4. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng sehingga kremesan kekuningan sebelum di alihkan.
5. Angkat dan toskan minyak nya atas 'tisu serap minyak'.

* Selamat Menjamu Selera ...

Sunday, 16 October 2016

CEMPEDAK GORENG...RAHSIA menjadikan Cucur Terlajak-Lajak Ranggup !

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua..

Minum petang untuk hari ini CEMPEDAK GORENG yang 'Terlajak Lajak Ranggup'
Nak tahu macam mana nak menjadikan ia lebih-lebih-lebih ranggup lagi ???

RAHSIA nya .....
Pertama Tepung yang digunakan mestilah campuran Tepung Sagu kan.
Sejak Dua Menjak dah pandai menggunakan tepung sagu ni.. bila goreng saja tak kira lah ayam ka, cucur ka, sayur ka semua saya akan masukkan tepung sagu bersama Tepung beras.
Semasa ke KL hari tu sempat beli lagi 1 kilo untuk saya dan 1 kilo lagi untuk kakak.

Tapi sekarang asyik makanan goreng saja, stok dah tinggal sedikit dah..
Semalam WSAP anak saudara pesan 3 kilo lagi untuk saya dan 2 kilo untuk kakak.
Maklum anak saudara lepas ni dah nak pindah tinggal Perlis pulak,
Jadi simpan siap-siap. Tak tahu bertahan berapa lama 3 kilo ni ....

Kedua selepas diadun campuran tepung tepung, saya masukkan pula isi cempedak. Ratakan sebentar kemudian  simpan dalam peti ais selama 1 hingga 1 1/2 jam.
Bila keluarkan dari peti, tepung akan menjadi sedikit pekat. Jangan dimasukkan air lagi. Cuma balik-balikkan isi cempedak saja supaya bersalut tepung dengan cantik..

Panaskan api dah terus digoreng. Walaupon tepung sedikit tebal jadi nya tetapi yang nyata ia lebih ranggup.
Tips ini pon kebetulan semasa saya meggoreng, masih  ada baki jadi saya simpan dalam peti sejuk.
Alih-alih bila goreng ranggup sangat..
Cubaan untuk kali kedua untuk ayam
Dah kali ketiga untuk cempedak...
Ranggupppppp !!!

Tapi kalau nak goreng terus tanpa disimpan dalam peti sejuk pon ranggup juga sebab kita menggunakan tepung sagu kan...


Bahan A
3 Camca besar 'penuh' tepung sagu
3 camca besar 'penuh' tepung beras campuran ( cap 1 gajah)
1 camca besar air kapur
1/4 camca teh baking powder
sedikit garam
sedikit air

Bahan B
Cempedak secukup nya

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan semua bahan A kecuali air sehingga rata.
2. Masukan air sedikit sedikit sehingga mendapat kepekatan yang dikehendaki. Jangan terlalu cair dan jangan terlalu pekat.
3. Masukkan cempedak dan ratakan.
4. Simpan dalam peti sejuk selama 1 hingga 1 1/2 jam.
5. Keluarkan dari peti, kita akan dapati tepung menjadi sedikit pekat. Rata kan sedikit. dengan mem balik-balikkan isi cempedak saja supaya bersalut tepung dengan cantik.. Jangan ditambah air lagi.
6. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng sehingga kekuningan.
7. Angkat dan toskan minyak nya.

* Selamat Menjamu Selera  ...

Friday, 14 October 2016

MASAK LEMAK UDANG BUNCIS ... Yang Terlajak Sedap

Bismillahirrohmanirrohim saya mulakan bicara kata
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua..

Haiiiii
Rindu sangat dengan blog kesayangan ni !
Maklum dalam seminggu lepas tak usik langsung kerana terpaksa berkunjung ke Kuala Lumpur untuk menguruskan rumah disana.
Setakat jengok-jengok blog rakan-rakan saja yang termampu untuk mengubat rasa rindu. Itu pon cuba selit-selit masa terutama diwaktu malam.

Perancangan awal ke KL hanya untuk 2 hari saja.
Bertolak hari Khamis malam dan Ahad bertolak balik Penang.
Alih-alih dari 2 dah jadi 5 hari.........

Bila fikir-fikir balik, tak apa lah lajak 2 hari tambahan hingga isnin untuk memastikan semua kerja baik pulih oleh kontractor dibuat dengan sempurna dan elok.
Maklum...
Bukan senang nak datang KL lagi.... 360 ++ km perjalanan jauh tu....
Ini dah masuk kali ke 3 datang KL dalam sebulan 2 ini untuk menguruskan rumah.

~ 5 jam perjalanan drive dari Penang ke KL
Biasa lah saya memang tak suka drive laju.
80 km/jam tu biasa.. drive sambil relaxxxx...
Habis-habis max 110, ikut had yang ditetapkan JPJ.
Tapi kadang tu terlajak juga... Bila sedar saya akan perlahankan balik.

Dah lah pandu perlahan,
Asyik berhenti makan, tidur dan solat semestinya
Memang layan diri habis .....

Bertolak lebih kurang pukul 9.30 malam selepas solat isyak dirumah.
Sampai rumah KL lebih kurang pukul 4 pagi.
Mata pula dah tak boleh nak tidur, apa lagi terus mulakan operasi mengecat bilik bawah dikala orang lain tengah nyenyak tidur.

Tung Tang Tung Tang .. 'ada aku kisah ?'
Janji semua kerja siap. hehehe
Hari Sabtu...
Selangor terputus bekalan air dibanyak kawasan penempatan,  jadi 'aktiviti pencegahan' anai-anai yang telah dirancang awal terpaksa di batalkan pada saat-saat akhir.

Bila fikir-fikir balik, tak kan nak datang KL lagi sekali untuk 'aktiviti pencegahan' ini
Atau buat tahun depan saja sebab warranty masih ada setahun lagi dari mencegahan sebelum.
Tahun depan ??
Sekejap saja nanti masa berlalu dan pencegahan kalau dibuat ketika itu rumah sudah pon berpenghuni. Jadi tentu amat menganggu mereka.

Kata hati memang kuat mahukan disegerakan juga.
Kebetulan ada beberapa pembaikan lain yang masih belum siap, jadi saya tunda kepulangan ke Penang ke hari Isnin sebaik semuanya selesai.

Memandangkan 'aktiviti pencegahan' dibuat oleh hanya seorang pekerja, masa yang sepatutnya diambil untuk siapkan dari 4 jam berlarutan hingga lewat petang.

Dah siap, rumah nak dibersihkan pula.
Ketung Ketang Ketung Ketang mengelap 2, 3 kali kerana berhabuk, berpasir hasil korekkan simen, waktu dah hampir magrib.

Plan nak bertolak balik ke Penang pada hari isnin sekali lagi terpaksa ditunda ke Selasa.

Alhamdulillah walau pon ada aral melintang yang tak dijangka, masa tersebut diisi dengan aktiviti lain.

Secara seluruhan saya amat bersyukur kepada ALLAH kerana permudahkan segala nya.

OK ...
Panjang pulak celoteh saya !

Jom hari ini saya nak share resepi MASAK LEMAK UDANG BUNCIS ... Yang Terlajak Sedap
Memang sangat sedap kerana bila udang di goreng terlebih dahulu yang akan menaikkan aroma masakan kita !

Jomm..



Bahan A
Sedikit minyak untuk menggoreng
10-15 ekor Udang Hidup yang bersaiz besar
- Dipotong runding tajam dibahagian tengah kepala untuk mengeluarkan pasir. 
-Tahi udang dibelakang saya keluarkan dengan mencungkil sedikit belakang udang sambil menarik keluar saluran tahi. Jadi badan udang tak perlu dibelah ...
.
Bahan B (ditumbuk/diblend tanpa air)
1 biji bawang besar atau 5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
20-25 biji cili padi
1/2 inci kunyit hidup

Bahan C
2 batang serai (diketuk lebam)
1 inci Halia (diketuk lebam)
1 inci lengkuas (diketuk lebam)
sedikit air

Bahan D
1 kotak kecil santan pekat
Air sebagai kuah
1 keping asam gelugor
10-15 kacang buncis (dipotong serong)
1 helai daun kunyit (dipotong lebar)
2 helai daun limau purut
1/2 kiub pati ayam
sedikit garam

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak didalam kuali dan masukkan udang. Goreng sehingga masak dan sedikit keperangan untuk menerbitkan aroma sebelum angkat dan toskan.
2. Masukkan minyak gorengan udang kedalam periuk atau boleh terus masak dalam kuali jika mahu. Panaskan kembali minyak.
3. Tumis bahan B dan Cdan goreng sehingga bawang betul-betul layu dan cili padi masak dengan sempurna.  Api boleh diperlahankan sedikit untuk memastikan bawang tidak hangit. Jika bahan tumis  kering, masukkan sedikit air. Teruskan menggoreng sehingga terbit aroma yang  harum.
4. Masukkan bahan D dan masak dengan api yang perlahan sehingga kuah hampir mendidih kembali.
5. Apabila kuah hampir mendidih, terus masukkan udang. Sebatikan seketika sebelum diangkat.

* Selamat Menjamu Selera ...

Wednesday, 5 October 2016

BIHUN GORENG SUP KOSONG ala NASI AYAM HAINAN ...srulpp ! srulpp ! laju masuk mulut....

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada tetamu yang berkunjung kedapur maya yang tak seberapa ini...

Hari ini saja nak share menu BIHUN GORENG dengan SUP KOSONG yang saya sediakan beberapa hari lalu sebagai sarapan pagi.
Bihun yang di goreng asing dimakan dengan sedikit sup atau boleh juga dicampurkan sekali supaya ia sedikit berkuah memang amat sedap.

Teringat kata-kata kakak pupu saya beberapa lama dahulu... kalau sediakan bihun yang berkuah untuk kenduri kendara memang cepat saja habis...
Maklum orang orang 'lama' suka makan makanan berkuah berbanding bihun goreng yang kering..'tak lekat ditekak'

Memang betul pun..
Saya pon suka...

Jomm... bihun kali ini saya masak simple saja tapi disebabkan adanya sup kosong yang beraroma saperti yang biasa saya sediakan untuk 'Nasi Ayam Hainan' memang laju saja makan.

Tapi kali ini saya masukkan kaki-kaki ayam saja.

Jomm..

Bahan A
1/3 paket bihun (direndam 1/2 jam, ditoskan air nya dan dibilas bersih)
3 mangkuk hirisan kubis

Bahan B
sedikit minyak untuk menumis
1 biji bawang besar (dihiris nipis)
5 ulas bawang putih (dicincang halus)
1 mangkuk isi ayam
1 camca teh lada hitam (ditumbuk halus)
2 sudu makan sos tiram
1/2 kiub pati ayam
2 biji tomato segar (dibelah 4)
sedikit air
sedikit kicap manis 
sedikit kicap masin
sedikit garam 
sedikit serbuk kunyit (supaya sedikit bewarna)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang besar sehingga layu.
2. Masukkan bawang putih dan goreng lagi sehingga bertukar hampir keperangan.
3. Terus masukkan isi ayam, kacau-kacau separuh masak masukkan bahan B yang lain. Masak sehingga kuah mendidih. 
4. Masukkan bihun, ratakan dan tutup tudung kuali dan perlahankan api sekecil yang boleh. Biar bihun masak dengan perlahan dan sempurna selama ~ 5 minit
5. Masukkan hirisan kubis, ratakan dan tutup tudung kuali sekali lagi. Masak lagi selama 5-7 minit.
6. Siap dan boleh dihidangkan dengan sup kosong...



SUP KOSONG ala NASI AYAM HAINAN
Bahan A
Tulang/Kaki/Leher Ayam
Air secukup nya
1 inci halia (dihiris nipis)
3 ulas bawang putih (dihiris nipis)
1 kiub 'pati ayam'
sedikit garam

Bahan B
Daun sup
Bawang Goreng

Cara Cara Menyediakan Nya 
1. Panaskan air dalam periuk sehingga mendidih.
2. Terus perlahankan api sekecil boleh dan masukkan Tulang/Kaki/Leher Ayam dan tutup periuk dengan tudung.
3. Biarkan ia masak secara perlahan sehingga kuah hampir mendidih semula.
4. Terus masukkan halia, bawang putih, kiub ayam dan garam. Biarkan selama 5 minit boleh lah diangkat.
5. Tabur dengan bahan B sebelum dihidangkan.

Monday, 3 October 2016

NASI ULAM YANG SEDAP....Terasa saperti berada di bulan Ramadan

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Awal Muharam

Menu semalam 1 Muharam 1438 H.
Perancangan awal nak masak Daging Goreng Cuka,
Dah rebus daging pon, tup-tup jiran sebelah datang hantar NASI ULAM.
Aduhai ......Sedappppp nya.
Terasa saperti di bulan Ramadan pula bila makan.
Maklumlah Nasi Ulam memang kerap disediakan di bulan tersebut.

Rasa nasi ulam kali ni memang sedap.
Macam-macam ulam dicampurkan.
Semua ulam-ulam tersebut pula fresh-fresh dari hasil cucuk tanam anak saudara yang sorang lagi tu.



Rajin betul Siti Nurul Jannah ini hiris daun daun sehalus-halus nya


Jom  !
Boleh awet muda kalau makan selalu.........


Kuantiti bahan yang digunakan agak-agak sahaja

Bahan A
Nasi Putih (Pastikan tidak panas)
Ikan Kering (Boleh gunakan ikan gelama, tenggiri atau talang. Digoreng sehingga garing dan ditumbuk hancur)
2 camca besar beras (dibersihkan dan disangai kemudian nya ditumbuk halus)
Lada hitam/putih (ditumbuk halus)
Sedikit garam

Bahan B (dihiris halus)
Halia Muda
Bawang merah
Serai
Daun Kunyit
Bunga Kunyit
Kunyit muda
Daun Putat
Daun Gajus
Daun Pudina
Pucuk ulam raja
Daun cekoq
Bunga kantan
Daun kesom
Daun limau purut
Kacang Kelisa
* Boleh dimasukkan macam-macam daun ulam lagi

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan kesemua bahan A dan B diatas sehingga rata.
2. Perasakan dengan garam jika perlu

* Selamat Menjamu Selera ...