Friday, 30 June 2017

RENDANG DAGING MEKAH ... Juadah Di AidilFitri



Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum, Selamat Sejahtera dan Selamat Berhari Raya semua !

Hari ini baru sempat nak share resepi Rendang yang saya sediakan pada hari Raya Pertama tempoh hari.

Masih menggunakan rempah yang saya beli di Mekah semasa mengerjakan umrah 2 tahun lepas.
Rempah ini saya simpan elok berbungkus dalam peti sejuk supaya tahan lebih lama.
Susah nak dapat ni !
In Sya ALLAH kalau kesana lagi .......

Tapi ...
Kalau tak ada rempah ini, boleh juga digantikan dengan rempah Kari Daging dan Rempah Kurma.
Atau kalau yang tinggal area 'Kepala Batas' boleh cari 'Rempah Rendang Daging' disalah sebuah kedai Mamak yang femes di sana.
Boleh tanya orang sekitar. Insya ALLAH semua tahu...

Rendang ini memang dibuat supaya kuah nya lebih dari daging kerana kepekatan kuah nya memang menjadi rebutan semasa menyicah ketupat.
Boleh juga dimakan dengan nasi kerana rendang tak terasa manis sangat... cuma dihujung lidah sahaja.
Maklum orang utara jarang makan lauk yang manis-manis.

Keenakan rendang ini ditambahlagi dengan ada nya buah keras yang melemakkan kuah nya.
Juga dengan aroma Minyak Sapi.
Aduhaiiii memang sedap giler !!!!

Hari pertama dah habis
Nasib saya simpan sedikit untuk buat sahur ......


Bahan A
700 gram daging (dipotong kepada ketulan sederhana besar)
4 camca besar rempah mekah (Boleh digantikan dengan 2 camca besar Rempah Kari Daging dan 2 camca besar Rempah Kurma)
1 1/2 kotak santan 'Kara'
2 camca besar kerisik
4 keping asam gelugor
4 helai daun Bay/Salam

Bahan B (dikisar halus)
20 biji cili kering 'superhot' (Rempah yang saya gunakan tidak pedas, jadi saya tambahkan cili kering)
4 biji bawang besar
20 ulas bawang putih
2 batang serai
3 inci lengkuas
6 biji buah keras
4 helai daun limau purut
2 inci halia
1 camca besar lada putih
Sedikit minyak masak (untuk memudahkan proses mengisar)

Bahan C
4 camca besar minyak sapi  'Ghee Blend'(Jika menggunakan santan segar, boleh kurangkan minyak sapi kepada 3 camca besar sahaja)
1/3 ketul gula kabung (atau 1 ketul gula melaka)
1 kiub pati daging
garam

Bahan D
Sedikit hirisan daun limau purut

* tiada penggunaan daun kunyit

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan kesemua bahan A dan B yang diatas didalam kuali dan masak dengan api yang sederhana sehingga daging 3/4 empuk. Pastikan kerap dikacau untuk mengelakkan rendang berkerak.
2. Masukkan bahan C dan teruskan memasak sehingga kuah rendang menjadi pekat.
* Rendang ini sedap jika terdapat kuah sedikit berair.
3. Tabur dengan hirisan daun limau purut sebelum dihidangkan.


* FHA Selemak Santan

Monday, 26 June 2017

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2017/1438 HIJRAH .. Maaf Zahir & Batin


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua !

Salam Aidil Fitri kepada semua adik-adik, kakak-kakak, anak-anak serta sahabat tersayang yang mengujungi blog kesayangan saya ini.

Saya ingin mengambil kesempatan memohon kemaafan sekiranya ada kesilapan dan kata-kata yang mengguris hati  !!!

Bergembira lah bersama keluarga tersayang !
Semoga sinar Aidilfitri membawa kemeriahan dan kebahagiaan disamping orang-orang tersayang
Salam Aidil Fitri  .................

Friday, 16 June 2017

SAMBAL KACANG SEDAP .. Iftar hari ke-19 Ramadhan 2017



Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua !

Juadah berbuka Ramadhan hari ke 19...SAMBAL KACANG SEDAP
Bukan 'Sambal Kacang' ya
Tapi 'Sambal Kacang SEDAP'

Memang sedap sebagaimana nama resepi diberi !!!!!!!!

Saya dari tak suka makan kacang, bila mengadap sambal ini boleh habis sepiring 'besar' a.k.a sepinggan la tu .
Dengan Pedas, Manis, sipi sipi masam, aroma daun salam dan lemak nya kacang sangai  !
Aduhhhh !

Betull !!!
Saya memang tak suka kacang, tak kisah apa-apa kacang sekali pon,
Memang tak suka, tapi kalau dah ada dalam pinggan saya tak akan buang sebab itu rezeki ALLAH

Dulu kalau beli nasi lemak dikedai, saya akan minta supaya tidak dimasukkan kacang goreng kedalam nasi

Tapi bila mengadap Sambal ini dah jadi 'terbalik kot' pulak

Jom kita tengok resepi yang disediakan oleh anak saudara saya ini yang dah semakin pandai memasak semenjak merantau ke negeri orang mengikut suami nya bekerja.

Walhal dulu saya yang selalu menjadi rujukan beliau bila didapur...
Sekarang saya pula belajar dari nya ....... OK lah kita kongsi kongsi ilmu dan resepi



Bahan A
1/2 kilo Kacang Tanah
Ikan bilis bersaiz 'kecil' secukup nya
Sedikit minyak
4 tangkai daun kari
3 senduk cili kisar (elakkan dari menggunakan cili boh. seelokknya kisar cili kering)
4 helai daun salam (Kalau dapat yang segar lagi elok. Fungsi daun salam ini ia akan menggantikan Ajinomoto)
Secubit belacan
1 camca kecil asam jawa 'ADABI'
3 camca besar gula
sedikit garam

Bahan B (dikisar halus tanpa air)
5 biji bawang merah kecil
1 labu bawang putih

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Kacang tanah disangai  (goreng tanpa minyak)  sehingga betul betul masak dan diangkat.
2. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng ikan bilis sehingga garing, angkat dan toskan minyak nya.
3. Dengan menggunakan minyak yang gorengan ikan bilis, umis daun kari sehingga wangi.
4. Masukkan bahan kisar (bahan B) dan masak sehingga mendidih.
5. Masukkan asam jawa dan daun salam.
6. Perasakan dengan gula dan garam.
7. Masak sehingga sambal kering dan pecah minyak baru dimasukkan kacang tanah yang terlebih dahulu disangai dan ikan bilis.
8. Gaul rata dan bolehlah diangkat untuk dihidangkan.


Thursday, 15 June 2017

SHEPHERD'S PIE .. Iftar hari ke-16 Ramadhan 2017


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua !

Juadah berbuka Ramadhan hari ke 16...SHEPHERD'S PIE
Makan ala-ala Mat Salleh gitu !

Masih menggunakan resepi yang sama yang saya pernah share dulu pada tahun 2014 disini ...SHEPHERD PIE yang amat menyelerakan


Bahan A (Gaulkan semua. Pastikan ubi masih berkeadaan panas)
5 biji Ubi kentang yang bersaiz besar(dipotong kepada 4 ketulan supaya cepat empuk dan direbus, kemudian dibuangkan kulit nya dan dilenyek hancur)
*  Ubi pilihan saya ini bersaiz besar dan berkulit cerah berbanding dengan ubi yang lain. Amat mudah empuk dan amat gebu bila direbus. Kebiasaan nya boleh didapati di pasaraya Tesco.
2 sudu besar Buttercup
1 cawan susu Full Cream Dutchlady
1 sudu teh serbuk lada putih (Aji Shio)

Bahan B (Inti)
minyak untuk menumis
2 ulas bawang putih (dihiris nipis)
1 biji bawang besar Holland
Jagung 1/2 tongkol (jika suka boleh dilebihkan)

1 batang karet (dipotong kiub)
1/2 biji lada benggala  hijau (dipotong kiub)
Daun sup (~ 5 tangkai)
1 camca teh lada hitam biji (ditumbuk halus)
2 ketul dada ayam (dipotong kecil)
1 kiub ayam KNOR
sedikit kubis
garam
kunyit

Cara-Cara memasak Inti
1. Panaskan minyak dalam kuali
2. Tumis bawang putih dan bawang besar.
3. Masukkan isi ayam, kunyit, kiub ayam, lada hitam dan garam.
4. Goreng sehingga ayam masak.
5. Masukkan jagung, karet, ubi benggala, kubis
6. Akhir sekali sebelum angkat masukkan daun sup, ratakan dan terus angkat.

7. Panaskan oven pada suhu 180 C selama 20 minit. Api atas dan bawah
8. Masukkan inti kedalam acuan pie anggaran 1/2 penuh.
9. Masukkan ubi kentang yang telah dilenyek tadi.
10. Ratakan paras acuan Pie.
11. Dengan menggunakan garfu halus, tores sedikit pada permukaan pie
12. Masukkan kedalam oven, tukar suhu ke 230 C api atas saja. (Pastikan pintu oven direngangkan/dibuka  sedikit.
13. Bakar selama ~ 25- 30 minit atau sehingga bahagian atas keperangan

(Jangan dibakar terlalu lama. Walaupon dengan api perlahan kerana texture dan rasa inti akan menjadi kurang sedap)

* Selamat menjamu selera ...

Tuesday, 13 June 2017

MASIH DENGAN JUADAH LAUK KAMPUNG .. Iftar hari ke-13 Ramadhan 2017


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua !

Masih dengan Lauk Kampung yang simple.

Sambal Belacan Buah Kuinin... kebetulan masih ada separuh lagi buah Kuini.
Kari Ayam Meletop...sedap yang amat. Boleh guna resepi ini untuk penyediaan kuah roti jala... best !
Telur Mata...Sebagai pelengkap.
Jus Asam Boi ... Aduiii ! Tak tahan teringat akan minuman kesukaan saya ini.


SAMBAL BELACAN BUAH KUININ 



Bahan A
4 biji Cili Merah
10-15 biji cili padi kampung
Belacan sebesar ibu jari
Sedikit garam

Bahan B
2 biji Limau Kasturi
1 camca teh gula putih (untuk balance kan kepedasan cili padi
1/2 biji buah Kuini (di ricik/potong kecil)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan bahan A dalam lesung tumbuk dan tumbuk sehingga 3/4 para lumat. Boleh juga diblend jika mahu, tapi pastikan jangan terlalu lama sekadar 3 saat stop,  3 saat stop,  3 saat stop hingga mendapat kelumatan sambal yang dikehendaki.
2. Perah jus limau kasturi, masukkan gula dan buah kuini.
3. Gaul rata dan sedia untuk dihidangkan.


KARI AYAM MELETOP



Bahan A
1 ekor ayam dipotong mengikut saiz yang sederhana besar
2 keping asam gelugor
2-3 biji ubi kentang
Santan sederhana pekat secukupnya sbagai kuah

Bahan B
3 camca besar minyak sapi Ghee Blend
4 ulas bawang merah (ditumbuk)
4 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1/2 inci halia (dihiris kasar)
5 kuntum bunga cengkih
4 biji buah pelaga
3 tangkai daun kari
3 helai Daun Salam

Bahan C (satukan untuk dijadikan pes)
3  camca besar 'penuh' rempah kari daging/ayam
1 camca besar lada hitam (ditumbuk halus)
1 camca besar kerisik
1 cawan air

Bahan D
6 ulas bawang merah kecil  (ditumbuk atau dihiris)
4 ulas bawang putih  (ditumbuk atau dihiris)
3 biji Buah keras (ditumbuk halus) 
garam

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan B sehingga bawang bertukar keemasan.
2. Masukkan bahan C dan perlahankan api. Masak sehingga pecah minyak yang banyak.
3. Masukkan bahan A dan masak dengan api perlahan. Boleh juga ditutup tudung periuk untuk memastikan ayam masak sempurna dibahagian dalam, tetapi pastikan dipantau selalu supaya selalu supaya kuah tak meruap.
4.Apabila ayam separa masak, masukkan bahan D dan biarkan hingga kuah mendidih semula sebelum diangkat untuk dihidangkan.


TELUR MATA


Bahan A
Telur
Buttercup

* Telur yang di goreng menggunakan buttercup rasanya lebih sedap


SIRAP ASAM BOI

Bahan A
Asam Boi secukupnya
Gula Putih
Air Panas mendidih

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan kesemua bahan diatas dalam jug.
2. Kacau sehingga  gula larut dan biarkan selama sekurang-kurangnya 2 jam sebelum dihidangkan.
Sirap boleh juga dimasak jika ingin menyediakannya segera

MEE UDANG 'MELETOP'... Iftar hari ke-12 Ramadhan 2017



Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua !

Juadah Iftar hari ke-12 Ramadhan 2017 saya sediakan MEE UDANG 'MELETOP'.
Dah lama teringin nak makan Mee Udang.
Beberapa tahun dulu pernah ke restoren Sungai Dua yang terletak beberapa KM dari rumah saya untuk merasai Mee Udang yang digembar-gembor keenakkan nya.

Dan pada penghujung tahun lalu sekali lagi saya kesana, sambil makan sambil cuba mengenalpasti bahan yang digunakanya.... maklum plan nak buat sendiri la ni !!!!

Pada saya ke 'glamoran' MEE UDANG SUNGAI DUA' ini adalah terletak pada Udang nya yang bersaiz besar dan harga nya mengikut jenis Udang yang dipilih dan berat timbangan.
Rasa kuah nya pada saya ....biasa-biasa saja. Mungkin hari itu kuah nya kurang 'kick kot'.

Alhamdulillah !
Mee Udang Meletop yang saya sediakan ini semua suka.
Kuah yang tak berapa pekat dan tak cair... elok-elok saja.
Kebetulan ubi yang saya gunakan ini ubi keledek jepon yang memang manis.
Jadi kuah yang terhasil amat sedap !!!

Kuah nya siap 'hirup lagi' !!!
Licinnnnnnnnnnn............

Kembang semangkuk hari tu bila dapat pujian
hehheh !!!

Jomm...


* Kuah yang disediakan ini adalah seperiuk penuh 'standard' rice cooker. Jadi pastikan menggunakan periuk yang bersaiz lebih besar untuk memasak kuah

Untuk 12-15 orang makan

Bahan A
sedikit minyak untuk menumis
5 ulas bawang putih (cincang halus)
2 biji bawang besar (dibelah 4 & dihiris nipis)
1 inci halia (dipotong tebal)
2 batang serai (diketuk lebam)

Bahan B
15g cili kering (antara nya 6 biji cili kering superhot untuk sedikit pedas)
500g ubi keledek jepun
200 g udang kertas yang bersaiz kecil
50 g kacang tanah
Air secukup nya supaya kuah 'seperiuk nasi rice cooker'

Bahan C
3 camca besar sos tiram
6 camca besar cuka makan
1/2 camca besar lada hitam (ditumbuk halus)
1 camca besar lada putih 'Ajishio'
1 kiub pati 'Ayam'
sedikit garam

Bahan D
600g Udang yang bersaiz besar

Bahan E
Telur Rebus
Tauhu
Fish Ball
Fish Cake
Sawi
Limau Nipis
Cili Merah
Bawang Goreng
Daun Bawang

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Cili kering dipotong kecil dan digoreng dengan sedikit minyak ( jangan sampai hitam) dan kemudian diblend halus.
2. Ubi keledek direbus sehingga empuk, dikupas kulit dan dikisar halus.
3. Udang kertas (kecil) tak payah dibuah kulit dan kepala. Dibasuh bersih dan digoreng sehingga garing. Kemudia diblend halus
4.  Kacang tanah digoreng dan diblend halus.

5. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan A sehingga layu. (tak payah sampai keperangan)
6. Masukkan cili kering dan masak sehingga cili hampir garing.
7. Masukkan bahan B yang lain dan masak sehingga kuah mendidih.
8. Masukkan bahan C dan masak sehingga semua bahan 'mesra' antara satu sama lain ia-itu selama 15 minit lagi.
9. 10 minit sebelum angkat baru masukkan Udang besar (saya masukkan kemudian untuk memastikan udang segar)
10. Keluarkan udang dari kuah untuk mengelakkan ia menjadi kecut.
11. Siap dan boleh dihidangkan

Monday, 12 June 2017

LAUK KAMPUNG YANG MELETOP-LETOP DARI 3 'AIR-TANGAN' !!! .. Iftar hari ke-11 Ramadhan 2017


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua !

Makluman kepada sahabat alam maya
Jika anda membaca post ni dalam blog selain  FHA Selemak Santan sila kunjungi posting asal 
di sini  ENTRY SEBENAR
* Ini adalah kerana terdapatnya blogger yang 'menciplak' entry ini untuk kepentingan sendiri.

Terima Kasih ......

Ramadhan hari ke- 11 saya hanya menyediakan SAMBAL KUINI.
Tak tahan asyik terbau-bau keharuman buah kuinin masak ranum yang dibeli 3 hari sebelum.
Memang tengah musim agak nya..
Manis pulak tu
Rasa menyesal beli sebiji
Manis sungguh !

Tumbuk sambal ja, maklum pada hari yang sama, Chef dari rumah sebelah hantar pula lauk.
Emmmm....
Memang sah tak masak lah hari tu

KARI AYAM MELETOP
Memang betul-betul meletop sedap.
Tanya-tanya juga kepada chef yang memasak ni apa rahsianya kari kali ini.
Kata nya sama saperti yang saya ajarkan suatu waktu dulu.

Tadi cuba tanya satu demi satu baru perasan yang membezakan rasa nya adalah dari teknik penyediaan yang sedikit berlainan. Pengunaan Daun Salam, Minyak sapi semasa menumis, dan Buah keras menjadikan kari ini amat pekat dan lemak.
Memang Kelas sangat !!!

Selain KARI AYAM MELETOP, SAMBAL GORENG JAWA juga sama sama naik MELETOP.
Sambal dari air tangan suami nya yang berketurunan Jawa.

Fuhhhh !! Memang kelas ....
SAMBAL GORENG JAWA MELETOP sungguh-sungguh beraroma !!!!!
Simpan bawah tudung saji pon masih terbau-bau.
The best Sambal yang saya pernah makan
Tak sabar rasa nya nak berbuka

Saya pernah share resepi sambal nya di sini SAMBAL GORENG JAWA ... antara yang paling sedap pernah makan ! tapi dulu isterinya yang sediakan !

Jomm...

KARI AYAM MELETOP

Bahan A
1 ekor ayam dipotong mengikut saiz yang sederhana besar
2 keping asam gelugor
2-3 biji ubi kentang
Santan sederhana pekat secukupnya sbagai kuah

Bahan B
3 camca besar minyak sapi Ghee Blend
4 ulas bawang merah (ditumbuk)
4 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1/2 inci halia (dihiris kasar)
5 kuntum bunga cengkih
4 biji buah pelaga
3 tangkai daun kari
3 helai Daun Salam

Bahan C (satukan untuk dijadikan pes)
3  camca besar 'penuh' rempah kari daging/ayam
1 camca besar lada hitam (ditumbuk halus)
1 camca besar kerisik
1 cawan air

Bahan D
6 ulas bawang merah kecil  (ditumbuk atau dihiris)
4 ulas bawang putih  (ditumbuk atau dihiris)
3 biji Buah keras (ditumbuk halus) 
garam

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan B sehingga bawang bertukar keemasan.
2. Masukkan bahan C dan perlahankan api. Masak sehingga pecah minyak yang banyak.
3. Masukkan bahan A dan masak dengan api perlahan. Boleh juga ditutup tudung periuk untuk memastikan ayam masak sempurna dibahagian dalam, tetapi pastikan dipantau selalu supaya selalu supaya kuah tak meruap.
4.Apabila ayam separa masak, masukkan bahan D dan biarkan hingga kuah mendidih semula sebelum diangkat untuk dihidangkan.


SAMBAL GORENG JAWA MELETOP

Bahan A (Digoreng secara berasingan)
Minyak untuk menggoreng
1 keping Tempe *
1 ketul Tauhu  *
1 biji ubi Kentang  *
1 ketul Hati Ayam
5 ekor Udang Hidup sederhana besar (dibuang kulit)
* Dipotong sederhana besar

Bahan B (Diblend halus menngunakan minyak masak / tanpa air)
Sedikit minyak
1 biji Bawang besar
3 ulas Bawang putih
8 biji Cili Padi
1/2 inci Halia

Bahan C
Kicap Lemak Manis 'Kipas Udang' (lebihkan)
Sedikit kunyit
Sedikit garam

Bahan D
1 biji Lobak Merah
4 urat Kacang Buncis
Sayur Kubis
Sayur Fucuk

Bahan E
Soun (direndam seketika)
Cili Merah
Cili Hijau

Cara-Cara Menyediakannya
1. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng bahan A diatas secara berasingan dan ditoskan minyak.
* Udang digoreng sekejap sahaja untuk mengelakkan menjadi liat.
2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bahan B sehingga bawang bertukar keperangan dan terbit aroma yang sedap.
 * 'Bawang blend' jika kurang masak dan garing akan menghasilkan aroma yang kurang sedap dalam masakan.
3. Masukkan bahan C dan goreng seketika.
4. Masukkan sayur-sayur mentah (bahan D).
5. Apabila sayur sudah 3/4 masak, masukkan bahan A yang telah digoreng tadi dan Suun. Gaul rata.
6. Sebelum angkat masukkan Cili Merah dan Cili Hijau untuk menjadikan ia lebih berwarna warni
7. Siap untuk dihidangkan.


SAMBAL KUINI MELETOP

Bahan A
4 biji Cili Merah
10-15 biji cili padi kampung
Belacan sebesar ibu jari
Sedikit garam

Bahan B
2 biji Limau Kasturi
1 camca teh gula putih (untuk balance kan kepedasan cili padi
1/2 biji buah Kuini (di ricik/potong kecil)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan bahan A dalam lesung tumbuk dan tumbuk sehingga 3/4 para lumat. Boleh juga diblend jima mahu tapi pastikan jangan terlalu lama sekadar 3 saat stop,  3 saat stop,  3 saat stop hingga mendapat kelumatan sambal yang dikehendaki.
2. Perah jus limau kasturi, masukkan gula dan buah kuini.
3. Gaul rata dan sedia untuk dihidangkan.

Saturday, 10 June 2017

ROTI LAPIS DAGING... Iftar hari ke-10 Ramadhan 2017



Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua .....

Menu iftar hari ke 10 saya sekeluarga  ...ROTI LAPIS DAGING

OK tapi sebelum tu nak jadi mak-nenek sat..
Nak coloteh geram !!!!!!!!!!!!!!!
Semalam memang tak ada mood langsung nak update blog walaupon bahan untuk dipost tersedia beberapa hari sebelum nya.
Masih dalam mood malas, malas sangat-sangat !!!!

Gara-gara seorang blogger yang kerja nya suka 'Mencuri 100 % hasil penat lelah entry blogger lain'
Bukan curi sikit-sikit, ni BARU BETUL dinamakan mencuri atau lebih sesuai dipanggil 'PEROMPAK'

Ni nak bagi iklan percuma ya... tak payah bayar ...



Memang lah MUDAH kan ! Sebagaimana nama yang tertera pada blog tu !

Kalau ibaratkan perompak yang merompak kedai emas, bukan setakat emas saja yang diangkut malah dengan laci, cermin, almari, perabot pameran, penimbang, penyukat, plastik sampah, penyapu pun di borong sekali. Dan kalau boleh dengan kedai-kedai pon nak di sapu nya kannnnnnn...........

Memang ambil jalan mudah SUNGGUH-SUNGGUH !!!!
... tak payah bersusah payah mencari bahan
... tak payah bersusah payah luangkan masa untuk fikirkan text penulisan
... tak payah bersusah payah tonggeng sana, tonggeng sini, tonggeng atas, tonggeng bawah, tonggeng kanan, tonggeng kiri mencari angle yang sesuai bagi sekeping gambar.

Berpeluh ketiak dik oiiiii...
Itu belum masuk bab-bab lain.

Memang dah lama kerja blogger ni, tapi blogger-blogger yang lain tak perasan !
Cuma semalam heboh di FB pasal kes ni

Geram sungguh-sungguh !!!
174 posting saya di ciplak BULAT-BULAT !!!!!
Ramai lagi blogger lain yang menjadi mangsa !!!!!!!!!!!!!




Kalau view betul-betul kerja blogger ni dah lama, semenjak 2014 lagi, cuma 2015 stop sekejap mungkin insaf 'sikit' kot masa tu, tapi tahun 2016 dia buat comeback dan tahun ini besar-besaran punya ciplak !!!

- Kalau sekadar meletakkan label dari mana posting diambil tak boleh dik oiiii. FAHAM TAK !!!!
-Perlu diletakkan LINK PAUTAN posting asal diambil dan pastikan ia berfungsi, bukan nya sekadar text sahaja yang mana pencarian akan 'mati' di blog awak tu !!!!
-Boleh kongsi isi entry tapi bukan nya copy paste semua text blogger lain hingga kan kalau ada '$%^%^$^&$*&&* ***' pon semua diangkut nya.

Saya bukan jenis yang suka membebel tapi kalau dah tak kena gaya marah juga.

Nak tengok... posting ni nanti dalam blog tu !!!


OK ..
balik ke resepi hari ini.  Link asal dari FHA Selemak Santan

Capaian resepi dari dapur  Azlita Masam Manis yang mana resepi asal dari FB Sarimah Mat Nor

Saya olah sedikit kerana saya tidak menggunakan keju tapi saya gantikan dengan Mayonise dan Thousand Island

Jomm kita masuk dapur ..


Bahan A
12 keping roti
3 biji telur
200 ml susu segar
3 camca besar 'Penuh' Mayonise
garam secukup rasa

Bahan B (Inti Daging)
5 keping daging burger ~ di hancurkan
2 ulas bawang putih ~ cincang halus
1 labu bawang besar ~ di dadu
1 camca besar rempah kari daging
1 sudu teh lada hitam ~ tumbuk halus
4 biji cili padi ~ hiris halus
1 batang lada merah ~ hiris halus
daun sup dan daun bawang ~ di mayang
sedikit minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Cara-Cara Menyediakan Inti
1.Panaskan minyak, tumiskan bawang putih dan bawang besar hingga harum
2.Masukkan rempah kari, lada hitam, sedikit air dan gaul rata
3.Masukkan daging, hancur-hancurkan ia dan goreng hingga daging masak hampir kering.
Tambah sedikit air jika terlalu kering.
4.Perasakan dengan sedikit garam.
5.Masukkan lada merah, cili padi, daun sup dan daun bawang.
6.Tutup api, Gaul rata dan  dan biarkan sejuk




Cara-Cara Melapis
1. Mula-mula, sediakan loyang atau bekas pembakar. Saya gunakan aluminium foil untuk memudahkan proses mengeluarkan dari dulang nanti.
2. Oles bekas atau loyang pembakar atau aluminium foil dengan butter.
3. Campurkan telur, susu dan secubit garam dan kocok hingga telur sebati dengan susu
4. Ambil roti dan celupkan dalam adunan susu dan telur tadi
5. Susun dalam loyang pembakar satu lapisan
6. Paipkan mayonise dan sedikit thousand island atas roti
7. Kemudian letakkan inti inti daging dan ratakan di atasnya
8. Ulang langkah 4-7 supaya kita dapat 3 lapisan roti
9. Baki bancuhan susu dan telur tadi tuang dalam loyang pembakar dan paipkan moyonise diatas
10.Bakar dalam ketuhar dengan suhu 170 ~ 180 C selama 40 minit
11.Angkat setelah masak. Tunggu suam sikit dah boleh di potong

* Makan panas-panas memang sedap sangat..


Thursday, 8 June 2017

NASI GORENG NANAS ALA THAI 'SAMBAL TOTOK'...... Iftar hari ke-8 Ramadhan 2017



Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua .....

Menu iftar hari ke 8 saya ...NASI GORENG NANAS ALA THAI 'SAMBAL TOTOK'

Teringin nak makan nasi goreng yang agak special untuk berbuka puasa
Kebetulan ada sebiji nenas 'masak' yang agak manis isi nya tersimpan dalam peti sejuk.
Saya campurkan juga 'SAMBAL TOTOK WARISAN IBUNDA' yang sentiasa ada dalam simpanan.

Maka akhir nya terjadi lah nasi goreng yang amat-amat menyelerakan ini.
Boleh buat selalu lepas ramadhan nanti....

Untuk 2 orang makan

Bahan A
1 camca besar minyak masak
1 ulas bawang putih
2 camca besar  'SAMBAL TOTOK WARISAN IBUNDA'
sedikit air (mengelakkan terlalu kering)
1 camca besar Cuka Makan
1 camca besar Sos Tiram
1/2 camca teh serbuk lada hitam

1 mangkuk kecil Udang Kertas
1 mangkuk kecil hirisan kacang buncis
1 batang serai (dihiris nipis)
1 kuntum bunga kantan  (dihiris nipis)
1 biji telur

1 mangkuk besar nasi putih (yang berada pada suhu bilik)
1 helai daun limau purut  (dihiris nipis)
sedikit garam (jika perlu)
1/2 biji nenas masak yang manis (diptong kepada ketulan kecil)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang putih. Agak-agak layu terus masukkan sambal totok. Kacau-kacau selalu kerana sambal totok akan cepat garing. Tambahkan sedikit air.
2. Masukkan Cuka makan, sos tiram, lada hitam dan Udang. Biar seketika sehingga udang 1/2 masak.
3. Masukkan kacang buncis, serai dan bunga kantan. Gaul rata dan tolak semua ketepi kuali.
4. Pecahkan telur dan biarkan hingga ia membeku baru disatukan dengan perencah yang digoreng tadi.
4. Masukkan nasi putih, hirisan daun limau dan dicampur rata.
5. Masukkan nenas dan perasakan dengan garam jika perlu.


Wednesday, 7 June 2017

PASEMBOR MAMAK PENANG ... Iftar hari ke-7 Ramadhan 2017



Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua .....

Menu iftar hari ke 7 saya sediakan PASEMBOR MAMAK PENANG
Maklum semenjak dah dapat resepi kuah yang awaresome tu dari Mamak Haji , resepi ini lah yang akan saya rujuk dalam penyediaan kuah.

Sedap ! Boleh tambah berpinggan-pinggan !


KUAH PASEMBOR


Bahan A
200 g ubi keledek berwarna oren
100 g udang kertas halus/kecil
50 g kacang tanah
8 biji cili kering
2 ulas bawang putih
1 biji bawang besar atau 8 ulas bawang merah
2 cawan air
3 sudu besar gula putih
1/2 ketul gula melaka
1 sudu besar 'penuh' asam jawa dan perahkan dengan 1/4 cawan air
5 keping biskut merry
Sedikit garam
Sedikit Pewarna oren merah * jika menggunakan ubi putih

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Ubi keledek dibuang kulit, direbus sehingga lembut dan dikisar sehingga halus.
2. Udang jangan dibuang kulit dan kepala nya, cuma dibasuh bersih, panaskan sedikit minyak dan goreng sehingga garing kerna ini akan menjadikan kuah pasembor lebih beraroma.
3. Kacang Tanah digoreng dengan menggunakan sedikit minyak.
4. Cili kering juga digoreng dengan minyak lebihan gorengan kacang sehingga ranggup tetapi jangan sampai hitam.
5. Bawang putih dan bawang merah digoreng layu.
6. Satukan udang kering, kacang tanah, cili kering, bawang dan kisar sehingga halus.
7. Masukkan semua bahan yang telah dikisar tadi bersama keledek ke dalam periok. Masukkan air dan masak sehingga mendidih.
8. Apabila kuah sudah mendidih kecilkan api, masukkan air asam jawa, dan gula.
9. Rendam biskut merry,  lenyekan ia dan masukkan dalam kuah yang sedang reneh.
10. Masukkan beberapa titis pewarna jika warna kuah kurang 'oren' dan perasakan dengan garam.

Jangan lupa sentiasa kacau kuah supaya tak hangus dibawah kerana gula boleh terkumpul dibawah periok dan menghanguskan masakan bila dipanaskan


CUCUR

Saya sediakan cucur Udang biasa, bukan nya Cucur Pasembor kerana bagi saya...Cucur Pasembor menyerap lebih minyak berbanding yang biasa.
Bahan A
1 1/2 cawan tepung gandum
1 mangkuk besar taugeh
3 pokok kucai (dikerat pendek)
1 biji bawang besar (dibelah 4 dan dihiris sederhana tebal)
1 biji telur ayam
20-25 ekor udang kertas kecil
2 camca besar minyak masak

Bahan B
1 cawan air 
sedikit garam

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Sediakan air garam dengan menyatukan bahan B dan kacau sehingga garam larut.
2. Satukan kesemua bahan A dan tuang air garam sedikit demi sedikit sehingga semua menjadi sekata.
3. Panaskan minyak didalam kuali. Jemput  adunan cucur dan masukkan dalam minyak yang panas dan masak dengan api yang sederhana. Pastikan api jangan terlalu kecil kerana akan menyebabkan cucur menyerap minyak.
4. Goreng sehingga cucur kekuningan baru di alihkan.
5. Apabila cucur telah cukup masak dan sedikit garing baru diangkat dan ditoskan atas kertas minyak.



SALAD

Bahan A
Telur rebus
Sayur salat
Timun (dihiris memanjang)
Ubi Sengkuang (dihiris memanjang)
Tauhu Goreng (dihiris kiub)
Kacang Panjang

* FHA Selemak Santan

Monday, 5 June 2017

SAGU GULA KABUNG ... Iftar hari ke-6 Ramadhan 2017


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua .....

Menu iftar hari ke 6, saya sediakan SAGU GULA KABUNG
Biasa nya puding ini dimakan sebagai pencuci mulut kan !
Tapi saya jadikan ia sebagai menu utama sebaik selepas menjamah kurma.
Memang teringin sangat nak hirup puding ini.
Jadi kali ini saya sediakan sagu yang lebih lembut dari biasa

Balik dari terawih baru makan yang berat sikit.


PUDING SAGU
Bahan A
70 gram sagu putih
700 ml air (Kali ini saya sediakan sagu yang agak lembut. Tapi boleh kurangkan)
3 warna pilihan yan disukai (merah, hijau dan oren)

Cara -Cara Menyediakan nya
1. Basuh sagu dibawah aliran air seketika dan toskan air nya.
2. Didihkan air bersama daun pandan. Kemudian masukkan biji sagu ke dalam air yg mendidih tadi dan kacau2 selalu supaya tidak berkerak.
Jika air hampir kering tetapi sagu masih belum jernih, boleh lah ditambah sedikit air.
3. Bila sagu hampir jenih keseluruhannya barulah ditutup api.
4. Bahagikan kepada 3 bahagian dan warna mengikut pilihan anda.
5. Sudukan setiap satu dan masukkan kedalam acuan dan sejukkan.


AIR GULA
Bahan B
1/2 ketul gula kabung (boleh digantikan dengan 1 ketul gula melaka)
3 camca besar gula putih
1 cawan air
1 helai daun pandan (dikoyak dan disimpul)

Cara Menyediakan nya
1. Satukan semua bahan B diatas dan masak hingga gula larut dan menjadi pekat.
2. Padamkan api, tapis dan sejukkan.


SUSU
Bahan C
1/2 kotak susu cair (Full Cream) 'Dutch Lady'
Setitis Perasa pisang 'StarBrand'

Cara Menyediakan nya
1. Satukan semua bahan C dan panaskan dengan api yang perlahan. Tetapi pastikan jangan sampai mendidih.
2. Padamkan api dan sejukkan.


CARA MENGHIDANG
1. Sudukan sagu dari setiap warna dan masukkan kedalam mangkuk.
2. Masukkan susu cair.
3. Curah air gula kedalam mangkuk sebelum dihidangkan.

* Untuk lebih enak lagi, sejukkan dahulu sebelum makan.


Saturday, 3 June 2017

BAKED KWETIAU 'SAMBAL TOTOK' ... Iftar hari ke-5 Ramadhan 2017


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua .....

Menu iftar hari ke 5, saya sediakan BAKED KWETIAU  'SAMBAL TOTOK'
Menu yang cukup berselera bagi saya sekeluarga
Jom kita cuba


Bahan A
1 camca besar minyak
1 ulas bawang putih (dihiris nipis)
2 camca besar 'SAMBAL TOTOK WARISAN IBUNDA'
2 camca besar air
1 camca besar Sos Tiram
1 biji ubi kentang yang bersaiz besar (dipotong dadu)
1 cawan hirisan sayur kubis
Kwetiau anggaran 1/4 bungkus (tak perlu banyak)


Bahan B
1 biji ubi kentang (dikupas kulit dan direbus 3/4 empuk dan toskan airnya)
Sedikit hirisan Daun Sup

Bahan C
3 biji telur ayam
2 camca besar Mayonise
1 1/2 cawan Susu Full Cream  (Masukkan 1 cawan dahulu. Boleh dilebihkan jika perlu)

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang putih sehingga garing.
2. Masukkan Sambal Totok, Air dan Sos Tiram dan satukan.
3. Masukkan Ubi kentang dan biarkan sebentar.
4. Masukkan Kwetiau dan Sayur kubis. Gaul rata dan boleh lah diangkat untuk disejukkan sebentar.

5. Panaskan oven 180 C  dengan setting api atas, bawah dan tanpa kipas.
6. Satukan bahan C dan Kwetiau yang telah dimasak diatas.
7. Sudukan bancuhan kedalam acuan dan tabur dengan hirisan daun sup.
8. Bakar dalam oven selama 30-45 minit atau sehingga membeku.