Friday, 28 December 2018

NASI DAGANG 'MUDAH' & GULAI IKAN TONGKOL ... lama tak makan nasi dagang. Terubat sudah !


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua ...

Ketika masih berkhidmat di Kuala Lumpur dulu, macam-macam masakan boleh dirasa, maklum kawan akak datang dari pelbagai negeri di Malaysian ini. Contoh nya Laksa Sarawak dan nasi dagang yang berlaukkan gulai ikan tongkol. 
Kalau nak harap beli jualan diluar,memang tak lah.

Sekarang ni, rasa-rasa nya dah lebih 3 tahun tak makan menu nasi ini.
Keinginan bertambah apabila ternampak posting dalam segmen Kuali di 'Mstar'.  emmm... mengiurkan !!!!

Teringat baru-baru ini akan Surianti_Kitchen yang menyediakan  nasi dagang  'cara mudah'.

Kebetulan stok ikan tongkol atau kami kat utara ni panggil 'ikan kayu' ada beberapa ketul dalam peti ais, timun pon ada sikit...
OK lah jadi projek nasi orang pantai timur ini...

Resepi akak rujuk di sini ya ...NASI DAGANG MUDAH dan GULAI IKAN TONGKOL dari IG Surianti_Kitchen

Jomm...

NASI DAGANG 'MUDAH'


Bahan A
3 cawan beras wangi (Akak guna beras biasa ja)
1 cawan beras pulut
1 inci halia (diracik)
3 ulas bawang merah (dihiris nipis)
1 sudu besar halba
1 helai daun pandan (disiat dan disimpul)
1 cawan santan pekat
3 1/2 cawan air
Garam

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Beras pulut dan beras wangi di basuh dahulu dan kemudian nya direndam 2 jam. * Disebabkan akak guna beras biasa menggantikan beras wangi, jadi beras ini akak tak rendam. Cuma beras pulut saja direndam.
2. Satukan kesemua bahan A dalam periuk 'rice cooker', dan ON kan suis.
3. Apabila hampir masak dan lampu periuk bertukar ke 'warm',  gemburkan nasi. Tutup kembali periuk dan biarkan ia selama 10 minit tambahan supaya nasi masak dengan sempurna.
4. Siap


GULAI IKAN TONGKOL

Bahan A
1 kg ikan tongkol (di potong setebal 1 inci)
5 keping asam
Air secukup nya untuk merebus

Bahan B (Bahan Tumis)
Minyak masak
5 ulas bawang merah dihiris
3 ulas bawang putih

Bahan C (Dikisar halus)
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit

Bahan D
2 sudu besar rempah kari ikan * Akak lebih kan rempah menjadi 3 sudu
1 sudu besar cili serbuk * Akak tak masukkan

Bahan E
2 cawan air rebusan ikan
1 cawan santan
1 sudu besar halba
2 keping asam
Gula melaka
Garam

Bahan F
Timun
Cili merah/hijau/cili padi

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan bahan A dalam periuk dan rebus sehingga masak. Kemudian asingkan ikan dan air rebusan.
2. Dalam periuk yang lain, panaskan minyak dan tumis bahan B sehingga harum.
3. Masukkan bahan C dan D. Kacau sebati dan perlahankan api. Masak sehingga terbit minyak.
4. Masukkan bahan E dan biar sehingga mendidih.
5. Masukkan ikan yang telah direbus dan biar seketika terus masukkan bahan F.
6. Agak-agak kuah mendidih kembali selama 5 minit boleh lah diangkat untuk dihidangkan.

Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Wednesday, 26 December 2018

TERUNG PENYET ... satu lagi resepi dari negara seberang


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua ...

Satu lagi masakan dari negara seberang yang telah akak cuba adalah TERUNG PENYET.
Ini kali kedua dalam masa yang terdekat.

Pertama kali akak menyediakan nya, akak masukkan lebih bawang dan juga tomato,  biasa lah kan sebab nak lebih sedap. Lebih-lebihkan sesetengah bahan !!!. Akak juga lebihkan cili merah menggantikan cili padi kerana stok cili yang pedas ini ketika itu tinggal sikit saja dalam peti sejuk.
Jadi hasil nya terasa kurang menyengat sebab kurang pedas walau pon sedappp.

Untuk yang ini...akak ikut saperti lebih asal, lebihkan cili padi. Bahan-bahan lain masukkan tapi tak banyak. Cuma akak tambah taburan ikan bilis yang digoreng ranggup.

Memang layan sungguh TERUNG PENYET ini.
* Aduh !! Terliur bila teringat kembali sambal ini ..

Resepi asal di sini ya ....PENYETAN TERONG dari ig isnasutanto.


Bahan A
Minyak untuk menggoreng
1 mangkuk kecil ikan bilis
1-2 biji Terong Panjang (di potong-potong) *Akak gantikan dengan terung bulat, dibelah 2

Bahan B
2 biji Cili Merah
20 biji Cili Padi Merah dan Hijau *lebihkan yang merah. Sesuaikan kepedasan
5 ulas Bawang Merah
2 ulas Bawang Putih * akak tak masukkan
1 biji Tomato sedang * akak gantikan dengan tomato ceri yang lebih manis manis
1 camca teh Belacan * akak lebihkan sedikit

Bahan C
3/4 camca besar Gula
Sedikit  Garam
4 biji Limau Kasturi (diambil jus nya dan kulit dihiris nipis)

Cara-cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis sehingga ranggup. Angkat, toskan minyak dan ketepikan.
2. Goreng semua bahan B sekejap sehingga layu. Angkat dan ambil sedikit minyak gorenggan ini.
3. Goreng terung atau boleh juga dibakar untuk menggurangkan serapan minyak.

4. Tumbuk 'kasar' bahan B, kemudian masukkan bahan C, ratakan sehingga sebati. Kemudian baru masukkan terung yang telah siap dibakar atau digoreng tadi. Penyek-penyek sedikit supaya ia bercampur dengan sambal. * Pastikan terung jangan sampai hancur.
5. Pindahkan kedalam mangkuk hidangan dan tabur dengan ikan bilis goreng.
6. Siap.




Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Monday, 24 December 2018

SOTONG KANGKUNG ... akak memang tak boleh move on dengan Kuah yang sedap ini !!!


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua ...

Hari ini kita layan pulak SOTONG KANGKUNG
Tapi masih dengan kuah yang akak pernah kongsikan dahulu tu...

Ya....
Akak masih tak boleh move on lagi dengan kuah yang sedap ini yang pernah akak kongsi di sini  YONG TAU FOO  ... Sesedap yang dijual di Pasar Malam Ceras Perdana.

Jomm .. dah nama SOTONG KANGKUNG kan,
Jadi akak makan hanya dengan sotong dan kangkung saja lah.
Tak ada bahan lain.
Sedap sangat lah maklum dah kena 'gu' nya.
Memang menjadi resepi ini ....


SOS MANIS (COKLAT HITAM & MERAH) 

Akak copy saja gambar yang akak post dulu tu ...

SOS MANIS (COKLAT HITAM) 

Bahan A
2 camca besar Tauco * Taucu biasa yang masin tu dan TAK perlu dicuci
5 camca besar (~150g) Gula Merah
1 camca besar Sos Tiram
3 camca besar Kicap Manis ABC
~ 1 liter air sebagai kuah
* Tak perlu garam

Bahan B (satukan)
1 -2 camca besar Tepung Jagung *bergantung kepada brand
Sedikit air

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Kisarkan tauco bersama sedikit air (* dari 1 liter diatas) sehingga hancur dan ketepikan.
2. Masak gula merah dengan sedikit air  (* dari 1 liter diatas) sehingga larut dan tapis untuk mengasingkan bendasing jika ada. Ketepikan.
3.  Satukan tauco, air gula merah, sos tiram, kicap ABC dan  baki air ke dalam periuk. Masak dengan api sederhana sehingga mendidih.
4. Masukkan air tepung jagung, kacau-kacau sehingga pekat.
5. Siap.


SOS PEDAS (KEMERAHAN) 

Bahan A (ditumbuk)
1 ulas Bawang Merah
2 ulas Bawang Putih

Bahan B
Sedikit minyak untuk menumis
1 camca besar Cili kisar
1 camca besar Cili Serbuk
1 Camca besar Gula Merah * ikut kemanisan yang disukai
1  camca besar Kacang Tanah (ditumbuk kasar)
Sedikit Garam

Bahan C
1 camca teh tepung jagung
Sedikit air

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Masak gula merah dengan sedikit air sehingga larut dan tapis untuk mengasingkan bendasing jika ada. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan A sehingga naik bau.
3. Masukkan cili kisar, cili serbuk dan masak sehingga terbit minyak.
4. Pastikan cili betul-betul masak baru masukkan air gula, garam dan kacang tanah.
5. Masukkan air tepung jagung, kacau-kacau sehingga pekat.
6. Siap.



Bahan Utama

Sotong Kembang secukup nya
Kangkung secukup nya
Kacang Goreng yang dikisar kasar

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Sotong dan kangkung boleh dicelur dahulu sebelum dipotong atau kalau nak mudah macam akak, akak suka potong dulu baru celur. Dan pastikan ia dicelur secara berasingan ya...

Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Friday, 21 December 2018

BEBOLA SARDIN ... bebola yang lembut dan sangat sedap !

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua ...

Resepi untuk hari ini BEBOLA SARDIN... yang sedap
Memang sedap sangat...
Nak buat pon senang sebab dah ada acuan ini yang akak beli dengan SHOPEE pada hari promosi  12.12 tempoh hari
Akak baru terima beberapa hari lalu. Tak sabar nak try test !!!!

Adunan ini akak bancuh awal-awal lagi ..
Maklum tin sardin dah akak buka sebelum itu untuk buat nasi goreng sardin.

Psss...Akak ni kalau tengah-tengah malam lapar, kebiasaan nya akak akan masak nasi goreng sardin, sebab nak masak nya amat mudah dan yang penting ia sangat-sangat sedap, lagi kalau kita letak lebih cili padi... Resepi boleh rujuk di sini NASI GORENG SARDINE ... rahsia nasi goreng yang sedap !
Tapi akak tambah 2 tangkai daun kari untuk lebih-lebih sedap !
...memang layan sungguh walau tengah malam


Berbalik pada cerita awal tadi....
Akak hancurkan Sardin, Tauhu dan Tepung Jagung...Lepas tu simpan dalam peti sejuk

Bila dapat dapat saja acuan dari post laju, terus akak ON kan projek bebola ini..
Tambahkan bahan-bahan lain dan terus masak.
Memang senang sangat. Tak lekat langsung.
Berbaloi beli alat memasak ini

Jomm

Bahan A
2 - 3 ekor ikan Sardin
3 keping tauhu
2 camca besar Tepung Jagung
1 camca besar Mayonise
Sedikit garam

Bahan B
4 biji telur gred B
3 biji Cili Merah (di buang biji, belah 4 dan dihiris nipis)
2 biji  bawang besar (dibelah 16 dan dihiris kecil)
1 mangkuk kecil Hirisan Daun Bawang
1 mangkuk kecil Hirisan Daun Sup
1/2 mangkuk kecil Hirisan Daun Ketumbar
1/2 camca kecil Lada Hitam serbuk

Bahan C
Sedikit minyak * Tak letak minyak pon boleh



Cara-Cara Menyediakan nya
1. Satukan bahan A dalam mangkuk dan lenyek sehingga hancur.
2. Masukkan kesemua bahan B dan digaul rata.

3. Panaskan acuan non-stick.
4. Letakkan sedikit minyak. * Kalau tak letak pon boleh

5. Masukkan 1 camca kecil adunan kedalam acuan dan masak sehingga bahagian bawah sedikit keperangan.
6. Alihkan/ Terbalikkan.

7. Angkat apabila pasti bebola masak sempurna. * Sebenar nya tak lama proses memasak ini.

Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Thursday, 20 December 2018

TAUHU GORENG RANGGUP ... aka kremes yang supper

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua ...

TAUHU GORENG RANGGUP aka TAUHU GORENG KREMES
sebagai lauk sampingan akak
Bahan-bahan yang digunakan tak banyak dan amat mudah disediakan.

Dulu akak dah pernah sediakan AYAM GORENG KREMES boleh rujuk video di bawah disitu untuk menyediakan kremesan.
Cuma bahan untuk tauhu ini tak banyak saperti ayam...

Jomm ...

Bahan A
3 keping tauhu (dipotong kpd 9 ketulan)
3 tangkai daun kari

Bahan B 
120 gram Tepung Sagu
2 sudu besar 'penuh' tepung beras 'Campuran' (Cap 1 Gajah)
1 biji kuning telur
220 ml (Kepekatan cair dari goreng pisang)
1/3 kuib pati ayam
1/2 sudu teh baking powder
sedikit garam

Cara-Cara Menyediakan TAUHU
1. Satukan kesemua bahan C kecuali baking powder dan sebatikan.

2. Panaskan minyak didalam kuali. Apabila sudah panas, baru masukkan baking powder kedalam adunan tepung dan ratakan sekali lagi. Baru masukkan tauhu.
3. Goreng tauhu yang bersalut tepung. Agak 5 minit berada dalam kuali, baru masukkan daun kari dan teruskan menggoreng sehingga sedikit keperangan. Pastikan tak terlalu lama untuk mengelakkan tauhu menjadi liat.
4. Angkat, toskan minyak dan ketepikan.

Cara-Cara Menyediakan KREMESAN
1. Panaskan minyak dalam kuali.
2. Pastikan minyak sudah benar-benar panas....
Kacau-kacau adunan menggunakan telapak tangan dan ambil adunan dengan tangan dan masukkan ia kedalam kuali. Dan dengan bantuan jari jurai-juraikan ia sambil gerakan tangan secara berputar.

* Jarak tangan dari atas minyak lebih kurang 20-25cm sewaktu proses 'mengurai'
*Ulang 3-4 genggam untuk setiap kali menggoreng. Jika terlalu banyak/penuh takut nanti ia akan melekat antara-satu sama lain. Walau bagaimana pon ia bergantung kepada saiz kuali.
3. Adunan akan menyebar memenuhi kuali saperti berikut


4. Biarkan ia sedikit mengeras sebelum angkat hujungnya dan terus lipat 2 atau 4 (terpulang).
Jangan sekali-kali mengacau atau 'menguis' selagi ia belum mengeras kerana akan menyebabkan ia melekat antara satu sama lain dan tidak akan 'bersarang'.


5. Setelah melipat, perlahan kan api sedikit supaya ia masak dengan sekata.
6. Goreng sehingga warna keperangan dan agak-agak dah masak boleh lah diangkat.
7. Letakkan ia dalam penapis yang berasalaskan kertas serap minyak.

8. Besarkan sedikit api dan PASTIKAN minyak betul-betul panas, dan ulang langkah 2 sehingga habis adunan.

Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Tuesday, 18 December 2018

BAKSO DAUN BAWANG ... dari negara seberang

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua ...

Rasa-rasa akak, ini adalah kali ke 3 atau ke 4 akak cuba menyediakan BAKSO dengan resepi dan kaedah yang berbeza..
Dan alhamdulillah kali ini bakso akak menjadi sempurna dan tidak berderai dalam air rebusan.
Sebelum-sebelum ini, pabila gagal atau masakan kurang menjadi saperti yang dikehendaki, perasaan frust tu adalah juga. Biasalah kan !

Tapi akak tak putus semangat..
Bila ternampak saja video penyediaan nya oleh sahabat serumpun kita ANITAJOYO, perasaan nak mencuba nya sekali lagi, timbul semula.

Kali ini akak cuba resepi dari beliau ia-itu .. resepi BAKSO DAUN BAWANG

Kalau rasa nak gantikan dengan daun Sup pon boleh, maka jadi lah BAKSO DAUN SUP.

Jomsss !


Bahan A
250 g Daging Lembu (dipotong kepada ketulan kecil untuk memudahkan proses kisaran)

Bahan B
160-170 g Ketulan Ais * akak masukkan ~140 g sahaja
1 1/2 camca teh Garam
1/2 kiub Pati Daging 'Knor'

1 camca besar Bawang Goreng
1/2 camca kecil Cili Merah serbuk
1/4 camca teh Baking Powder

Bahan C
120 g Tepung Sagu / Kanji

Bahan D
1 mangkuk besar hirisan daun bawang

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Masukkan daging ke food processor, putar setengah halus.
2. Kemudian masukkan semua bahan B  dan putar lagi sehingga halus dan bercampur rata.
3. Tambahkan bahan C dan putar lagi sehingga sebati.
4. Pindahkan adonan ke mangkuk lain dan tambahkan potongan daun bawang. Aduk sehingga rata.

5. Didihkan air. Kemudian matikan api. Cetak adonan bakso (boleh rujuk video di sini BAKSO DAUN BAWANG) dan masukkan kedalam air tersebut sampai habis.

6. Baru nyalakan api dan teruskan memasak.
7. Jika bakso sudah terapung, kaup dan masukkan ke dalam plastik untuk disimpan dalam freser atau sajikan terus bersama air rebusan yang amat manis dan sedap ini atau boleh makan dengan mee mahupon meehoon.

Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Sunday, 16 December 2018

KARI AYAM 2 REMPAH DAN BETIK MUDA... Serius sedap. Tak perlu perasa tambahan !

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua ...

Kalau kerap berlaukkan kari dengan resepi yang sama tentu sedikit menjemukan kan kan !

Apa kata cuba resepi yang ini...
Sedikit kelainan dalam penyediaan lauk kari ini kerana akak menggunakan campuran 2 rempah dalam 1 masakan dan hasil nya memang amat sedap, malahan tiasa sebarang perasa tambahan dimasukkan semasa penyediaan nya.

Cara memasak nya amat mudah... saperti kari-kari biasa saja
Cuma kita menggunakan tambahan rempah sup dalam masakan kari kali ini dan rampaikan dengan betik muda...

Memang layan makan tengahari sungguh-sungguh !

Jommm..



Bahan A
1/2 ekor ayam
1 biji buah betik muda (dibuang kulit dan dipotong kepada ketulan sederhana besar)

Bahan B
minyak untuk menumis
6 ulas bawang merah (dimayang nipis)
6 ulas bawang putih (dimayang nipis)
1 inci halia (dihiris batang mancis)
1 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2 tangkai daun kari

Bahan C (jadikan pes)
1 paket rempah kari daging / ayam 
1 camca besar penuh rempah sup (Saya guna jenama 'Babas')
1 camca besar cili kisar
1 cawan air panas

Bahan D
2 keping asam gelugor
1/2 camca teh lada hitam biji (ditumbuk halus)
1/2 camca teh lada putih biji  (ditumbuk halus)
1 1/2 mangkuk santan sederhana pekat

Bahan E
sepokok daun kesom
garam


Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dan tumis bahan B sehingga terbit aroma dan bawang sedikit layu.
2. Masukkan bahan C dan besarkan api sehingga rempah mula mendidih.
3. Terus kecilkan api dan masak sehingga terbit minyak yang banyak dan rempah hampir garing.
4. Masukkan bahan D dan sebatikan dengan rempah. Terus masukkan bahan A dan masak dengan api perlahan sehingga ayam masak dan isi betik lembut.
5. Agak-agak 8 minit sebelum angkat terus masukkan daun kesom dan garam.
6. Siap...


Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Thursday, 13 December 2018

SENGKUANG CALIT ... yang sedap !

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ...

Jom kita buat SENGKUANG CALIT sendiri

Teingat waktu sekolah dahulu....
Teringin yang amat-amat bila tengok rakan yang lain beli dan makan sengkuang calit ini.
Kebiasaan nya dijual dihadapan sekolah selepas waktu nak balik tu.

Tapi akak tak pernah beli pon walau teringin macam mana sekali.
Maaf lah ! Akak memang dari dulu pemilih sedikit.
Nak makan memang nak cari dari air tangan orang kita, kecuali bahan mentah.

Terliur juga bila tengok buah-buahan potong sejuk-sejuk atas gerai tolak,
Ramai dok pakai beli !!
Aduhaiii ... tahan je lah sampai kesudah !

Jom kita buat sendiri . Boleh makan puas-puas !!!

KUAH

Bahan A
2 camca besar Tauco * Taucu biasa yang masin tu dan TAK perlu dicuci
4 biji cili kering * optional kalau nak sedikit pedas
5 camca besar (~150g) Gula Merah
1 camca besar Sos Tiram
4 camca besar Kicap Manis ABC
~ 1 liter air sebagai kuah
* Tak perlu garam

Bahan B (satukan)
1 -2 camca besar Tepung Jagung *bergantung kepada brand
Sedikit air

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Kisarkan tauco dan cili kering bersama sedikit air (* dari 1 liter diatas) sehingga hancur dan ketepikan.
2. Masak gula merah dengan sedikit air  (* dari 1 liter diatas) sehingga larut dan tapis untuk mengasingkan bendasing jika ada. Ketepikan.
3.  Satukan tauco, air gula merah, sos tiram, kicap ABC dan  baki air ke dalam periuk. Masak dengan api sederhana sehingga mendidih.
4. Masukkan air tepung jagung, kacau-kacau sehingga pekat.
5. Siap.


BAHAN LAIN

Bahan C
Sengkuang secukupnya
Kacang tanah yang telah siap digoreng dan dikisar kasar


Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Monday, 10 December 2018

BINGKA LABU KUNING ... aduhaiiii sedap nya !!!

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ...

BINGKA LABU KUNING ni akak masak semalam.
Sebahagian dari labu yang masih tinggal dalam peti ais yang sebahagian lagi akak dah masak  DADAR LABU KUNING ...lembut dan manis-manis buah ! tempoh hari tu.

Akak beli labu ni sebenar nya memang khas untuk dibuat bingka atau kat belah utara ni lebih kenali ia sebagai bengkang.
Ini gara-gara teringin sangat akan bingka yang disediakan oleh Puan Zila kita melalui instagram beliau DI SINI. Dah lama skodeng kueh tu.

Cuma baru-baru ni saja berkesempatan untuk beli buah labu, tapi bila cari balik resepi tu masa nak dibuat, alahaiiiii !!!! tak jumpa-jumpa. Aduh !!

Itu yang separuh awal tu akak masak dadar.
Cuba skodeng balik IG Zila 2,3 hari lepas,  haaa !  baru jumpa balik resepi tu.
Apa lagi cepat-cepat akak masak sebab takut busuk pula labu tu tinggal lama dalam esbok.

Satu adunan tu, boleh dapat 6-7 biji juga lah.
Jadinya akak kendurikan pada jiran-jiran akak ni bagi rasa sorang sikit.

Jom... akak memang layan bingka ini walaupon sebenar nya tak berapa minat kueh-kueh manissss. Tapi yang ini memang super sedap !!!!

Lembuttttt
Lemakkkk
Manisssss
Beraromaaaaa
Layan !!!


Bahan A (Boleh dapat ~ 6 biji)
2 cawan Labu Kuning  (~ 450 gram selepas dibuang kulit dari 1/2 biji) dikukus dan dilenyek
3 biji Telur  * Akak masukkan 4 biji saiz B
2 cawan Santan sederhana pekat
1 cawan Susu Cair
2 cawan Tepung Gandum
1 cawan Gula Putih * jika gula kasar, seelok nya dikurangkan menjadi 3/4 cawan, takut 'manislecass' !
1/2 camca kecil Garam
1 camca kecil Essen Vanila
2 camca besar Butter (~ 70g)
Sedikit Bijan Putih
Sedikit Bijan Hitam *optional

Bahan B
1 helai daun pandan
Sedikit butter untul leser acuan

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan oven suhu 200C, api atas / bawah.

2. Satukan kesemua bahan A diatas dalam pengisar dan kisar sehingga halus dan bercampur sebati.
3. Leserkan acuan dengan sedikit butter dan panaskan sebentar.
4. Tuang adunan kedalam acuan 3/4 penuh (kerana adunan akan naik semasa dibakar) 
5. Bakar ~10 minit, kemudian keluarkan dan tabur sedikit bijan. Teruskan proses bakar selama ~ 1 jam atau sehingga masak.
6.  Untuk mendapatkan permukaan sedikit berkerak, tukarkan api kepada 'api atas sahaja' dan bakar tambahan masa selama ~ 2-3 minit lagi. * Bingka yang sedikit berkerak rasa nya lebih sedap tau !

7. Sejukkan dahulu sebelum dipotong

Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Thursday, 6 December 2018

BUNGA AIR GORENG RANGGUP ... seranggup-ranggup nya sampai ke tulang !

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ...

Bila kepasar dan terjumpa Ikan Bunga Air, akak memang suka sangat. Ditambah lagi jika nampak ia masih segar dan besar besar dari biasa.
Sedap sangat kalau dimasak sayur air atau dengan kata lain, sayur ikan. Kerana kuah hasil masakan ikan ini memang amat manis.

Kalau buat pais pon best jugak kan !
Tapi masaalah nya, ikan ini kalau dimasak berkuah atau jenis masakan berbasah, susah sikit nak dimakan isi nya, maklum bertulang.

Tapi akak rasa, lebih ramai yang suka jika ia digoreng ranggup.
Kalau yang ini memang cepat habis. Semangkuk atau sepinggan besar pon tentu tak ada masaalah !!!

Jom hari ini akak share BUNGA AIR GORENG RANGGUP.
Memang ranggup sangat-sangat sampai ketulang walaupon badan nya disaluti tepung !

Sedap dimakan panas-panas !


Bahan A
Ikan Bunga Air
Minyak secukupnya untuk goreng tenggelam.

Bahan B
1 cawan Tepung Beras Campuran
1/3 cawan Tepung Sagu *Boleh digantikan dengan Tepung Ubi. Tapi seelok nya gunakan  tepung sagu supaya mendapat texture yang lebih ranggup.
2 camca besar Air Kapur
1 camca teh Kunyit Serbuk
1 camca teh 'Lada Hitam' serbuk (Homemade)
4 camca besar minyak masak
1/2 camca teh Pati Ikan Bilis 'Knor'
Air secukup nya
Sedikit garam

* pastikan adunan tepung lebih pekat dari tepung goreng pisang. Jangan risau kerana bila dimasukkan ikan, adunan tepung akan menjadi sedikit cair. Jadi semasa membancuh, pastikan ia agak pekat dan akan berpalut cantik pada ikan nanti
* Elakkan dari semasukkan bawang kerana ia menjadikan tepung kurang ranggup


Cara-Cara Menyediakan nya.
1. Satukan kesemua bahan B dalam mangkuk sehingga betul-betul sebati., dan tiada minyak yang terasing dalam adunan.
* Pastikan adunan tepung lebih pekat dari tepung goreng pisang. Jangan risau kerana bila dimasukkan ikan, adunan tepung akan menjadi sedikit cair. Jadi semasa membancuh, ia mestilah agak pekat dan akan berpalut cantik pada ikan nanti

2. Masukkan ikan kedalam bancuhan, gaul satu persatu/hati-hati untuk mengelakkan ikan hancur. Perap 10 minit.
3. Panaskan minyak dalam kuali. * Minyak seelok nya lebih sedikit supaya ikan tenggelam.
4. Masukkan ikan dan goreng dengan api yang 'sederhana' sehingga garing.
5. Siap.

Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Tuesday, 4 December 2018

DADAR LABU KUNING ...lembut dan manis-manis buah !

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ...

Tulis
Padam...
Tulis
Padam...
Tulis
Padam...

Aduhaiii
Kalau tak  ada idea nak menulis macam ni lah jadi nya.
Dah lebih dari 30 minit mengadap komputer ...

OK ... terus kepada resepi je lah !

Kepada yang rasa nak mencuba suatu kelainan dengan labu kuning, boleh lah cuba yang ini...DADAR LABU KUNING !

Yang pasti dadar yang ini yang amat lembut dan sedap !
Akak suka meratah, lagi lagi selepas makan nasi.
Tak rugi mencuba !


Jom...



Bahan A
1/2 biji ( ~450 g) labu kuning * berat selepas dibuang kulit
5 ekor ikan kembung (dikukus dan diambil isi dan dihancurkan) * boleh digantikan dengan daging atau ayam

Bahan B
6-7 biji telur
4 camca besar tepung jagung
1 1/2 biji bawang holland
2 mangkuk kecil hirisan daun sup
1/2 mangkuk  kecil hirisan daun ketumbar
4 camca besar Bawang Goreng
8 biji cili padi merah (dihiris nipis) * sesuaikan kepedasan
1 camca kecil lada hitam serbuk
1 camca kecil lada putih serbuk
1/2 camca kecil serbuk ikan bilis 'Knor'
Sedikit garam

Bahan C
Minyak Masak 
Butter

Bahan D
Hirisan Daun Bawang

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Ikan disiang, kemudian dikukus sehingga masak. Dibuang tulang dan tumbuk sehingga hancur.
2. Labu dikupas kulit dan dikukus sehingga lembut. Kemudian nya di tumbuk atau lenyek sehingga hancur.
3. Satukan isi ikan, labu dan kesemua bahan B dalam mangkuk besar dan digaul sebati.

4. Panaskan minyak dan sedikit butter dalam kuali * seelok nya guna kuali non stick.
5. Masukkan bancuhan telur (kuantiti mengiku saiz kuali), tutup tudung dan masak dengan api perlahan sehingga permukaan atas dadar membeku.
6. Alihkan dadar dan teruskan memasak sehingga permukaan bertukar sedikit keperangan.
7. Angkat dan tabur dengn hirisan daun bawang.

* Akak guna acuan telur mata untuk dadar ini


Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my

Saturday, 1 December 2018

TEMPE GORENG KICAP MANIS ... ranggup-ranggup belaka !



Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ...

Salam berhujung minggu sahabat semua

Resepi hujung minggu..TEMPE GORENG KICAP MANIS
Sangat sesuai sekali disediakan sebagai lauk sampingan untuk menceriakan hidangan lauk pauk yang sedia ada.
Rasa tempe yang lemak-lemak bersama timbunan ikan bilis, bawang dan cili kering.
Ditambah dengan aroma daun kari dan juga bawang putih yang ditumis harum...

Jom... 

 

Bahan A
 2 keping tempe (dipotong kiub)
1 1/2 mangkuk kecil ikan bilis

Bahan B
Minyak untuk menggoreng
4 ulas bawang putih (ditumbuk/cincang)
2 tangkai dan kari

10-15 biji cili kering (dihiris menyenrong)
3 biji bawang besar

Bahan C
Kicap lemak manis 'Kipas Udang'
Sos Tiram
Lada hitam

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
2. Kemudian goreng tempe sehingga ranggup. Angkat dan ketepikan.
3. Menggunakan minyak yang sama (kurangkan jika berlebihan), tumis bawang putih dan daun kari sehingga beraroma.
4. Masukkan cili kering dan goreng bertukar sedikit warna nya, terus masukkan bawang besar.
Masak sehingga bawang layu.
5. Masukkan bahan C dan kacau sebentar dan padamkan api. Biar sejuk dahulu.

6. Satukan ikan bilis, tempe dan bahan goreng diatas.
7. Siap.

Copyright © 2018. All rights reserved  FHA Selemak Santan http://intai-intaidapurfha.blogspot.my