Friday, 31 May 2013

RENDANG KERANG BEREMPAH


Assalamualaikum dan Salam di pagi Jumaat semua...Hari yang penuh keberkatan.

Hari ni saya nak share resepi kerang yang memang amat sedap. Kepada penggemar kerang jangan lupa mencuba resepi ini tau. Sedappppp...

Sebelum terlupa.... Satu tips untuk dikongsi dengan sahabat-sahabat semua, jika anda memasak kari /gulai atau rendang Daging atau Ayam, cuba gantikan 'minyak masak' dengan 'Minyak Sapi' semasa menumis. Pasti anda akan rasa kelainan nya yang amat enak sekali.  Terasa macam masakan kenduri kat kampong dulu-dulu yang amat-amat sedap.

Tetapi JANGAN pula dicuba untuk Ikan ya !

OK lah Jom kita semak resepi.....

BAHAN A
2 sudu besar penuh Minyak SAPI (GHEE BLEND)
3 tangkai daun kari
2 ulas bawang putih (hiris nipis)
2 ulas bawang merah 
(hiris nipis) 

BAHAN B (Semua di bawah dimesin halus)
1 biji bawang besar
2 batang serai
1 helai daun kunyit
1 ketul lengkuas sebesar 2 ibu jari
1 biji cili Hijau

BAHAN C
2 sudu besar penuh Rempah Kari Daging
Santan dari 1 biji kelapa
1/2 sudu besar kerisik
1 sudu teh lada hitam (ditumbuk)
garam

BAHAN D
2 kilo kerang direbus dan di buang kulit nya.

BAHAN E
Limau nipis/Kasturi

Cara-Cara Memasak:-
1. Panaskan minyak sapi dan tumis Bahan A sehingga wangi.
2. Masukkan bahan B dan C dan masak sehingga hampir kering dan terbit minyak. Pastikan dikacau selalu supaya rempah tidak hangit
3. Masukkan Bahan D (Kerang rebus). Gaul dan masak lagi <> 10 minit dan angkat.
4. Sebelum makan.. diperah sedikit limau kasturi/nipis.

* Selamat menjamu selera .....

Thursday, 30 May 2013

FISH FILLET SWEET AND SOUR SAUCE


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua...

Fillet ? Apa tu ..... ?

Sebenar nya ia adalah irisan daging tanpa sisik, juga tanpa tulang dan kadang-kadang tanpa kulit.
Fillet Ikan selalu disajikan direstoren dengan menu sajian 'Fish and Chips' dan amat digemari ramai walau pon harga nya sedikit mahal.

Emmm.... Fillet oh fillet... memang makan tak jemu-jemu.

Jom kita semak RESEPI .....

BAHAN A
Minyak untuk menggoreng
15 ketul Fillet Ikan
1 biji telur
4 sudu besar tepung Berperisa (boleh dibeli dipasar raya, tepung untuk gorengan ikan/ayam)

BAHAN B
sedikit minyak untuk menumis
3 ulas bawang merah (dihiris nipis)
3 ulas bawang putih (dihiris nipis)

BAHAN C
4 sudu besar Sos Masam Manis
1 sudu besar gula putih
1 kuib ikan KNOR
Sedikit air
Sedikit garam

BAHAN D
1/2 biji Timun (dibuang bahagian tengah)
1 biji bawang besar
10-15 biji cili padi
Nenas kiub Tin - 1 Tin

Cara-Cara Memasak:-
1. Celup fillet ikan kedalam bancuhan telur dan kemudian digolekkan kedalam tepung dan diperap selama 10 minit.
2. Panaskan minyak didalam kuali dan goreng fillet diatas sehingga masak dan diangkat.

3. Dalam kuali berasingan, tumis bahan B dan goreng sehingga keperangan.
4. Masukkan bahan C dan biar ia kembali mendidih dan kuah menjadi pekat.
5. Masukkan bahan D dan Fillet Ikan yang telah digoreng tadi.
6. Kacau sedikit-sedikit dan terus angkat untuk memastikan kesegaran sayur.

* Selamat menjamu selera .....

Wednesday, 29 May 2013

TERUNG GORENG BERSAMBAL BERAROMA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua...

Menu tengahari hari ini juga serba ringkas... tapi jangan tak percaya !!! Kepada yang suka 'pedas'... boleh habiskan nasi 2-3 pinggan atau mungkin 4 jika dimakan dengan nasi yang baru dimasak a.k.a panas-panas berasap. Tapi pastikan kotak tisu berada disebelah ya...

Jom kita semak resepi...

BAHAN A
6 biji terung sederhana Panjang (dibelah 2)

BAHAN B
4 tangkai daun kari

BAHAN C (Di blend semua sekali tapi jangan terlalu hancur)
2 biji cili merah
10 biji cili padi merah
10 biji cili padi hijau
1 biji bawang besar
1 sudu teh kunyit serbuk
1 asam keping (sederhana besar)
sedikit belacan

BAHAN D
2 Camca besar Sos Tiram
1 sudu teh Serbuk 'Maggie Cukup Rasa'
 (*Penting. Dengan ada nya perencah ini tidak memerlukan kita menambah asam dan lain-lain bahan tambahan)
sedikit garam

Cara-Cara Memasak:-
1. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng terung (~ 3 minit saja) dan diangkat.
2. Menggunakan minyak yang sama, tumiskan bahan B sehingga wangi.
3. Masukkan Bahan C dan Bahan D. Kecilkan api dan masak sehingga menjadi sedikit pekat dan terbit minyak dari kuah sambal.
4. Angkat dan tuangkan keatas terung yang telah digoreng tadi. Siap

* Selamat menjamu selera .....


Sunday, 26 May 2013

KERABU TELUR DADAR


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera  semua ...

Hari ini saya nak kongsi  resepi 'Kerabu Telur'.  Ehhh ! Kerabu ke ???
Emm.. lebih kurang juga la macam kerabu. Kerabu yang simple tapi Sedap sebab telur didadar tidak menggunakan minyak tetapi digantikan dengan butter. Suka aroma butter dalam telur ni...

Jom kita semak RESEPI ....

BAHAN A
Sedikit butter

BAHAN B (Dicampur semua sekali dan dikocak-kocak)
4 biji telur ayam
1 sudu teh lada putih 'Aji-Shio'
sedikit garam

BAHAN C
3 urat kacang panjang (dipotong pendek dan menyerong)
1 biji bawang besar (dibelah 2 dan dihiris sederhana tebal)
5 biji cili padi (dipotong nipis)

Cara-Cara Memasak:-
1. Bahan B dicampur semua sekali dan di-kocak.
2. Panaskan kuali dan letakkan sedikit butter, sekadar supaya telur tidak melekat pada kuali.
3. Dadarkan Bahan B. Pastikan tidak terlalu nipis kerana iar akan menjadi kering jika dah masak.
4. Setelah masak, angkat dan hiris nipis-nipis.
5. Campurkan telur yang dihiris dengan Bahan  C. Siap.

* Selamat menjamu selera .....


Saturday, 25 May 2013

ROTI CANAI GORENG 'GULAI SARDIN'


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua...

Menu pagi sabtu yang serba ringkas...sekadar mengisi perut dipagi hari sabtu. Kebetulan pula ada roti canai lebihan dalam peti ais, jika tidak dihabiskan nanti membazir pulak !
Roti canai yang digoreng ini amat lazat dan harum dengan aroma minyak sapi dan ranggup. Nak makan begitu saja pon boleh. Tapi hari ini saya cecah dengan lebihan Gulai Ikan Sardin (Tin) yang dibuat semalam.

Jom kita semak RESEPI .....

BAHAN A
2 keping roti canai
1/2 sudu besar minyak sapi GHEE BLEND

Cara-Cara Memasak:-
1. Panaskan minyak sapi dalam kuali.
2. Carik-carikkan roti canai dan masukkan dalam kuali.
3. Kecilkan api sehabis kecil yang boleh dan tutup periuk supaya roti cepat garing.
4. Masak sehingga roti hampir-hampir garing dan ranggup.

* Selamat Menjamu selera .....





Friday, 24 May 2013

LAKSA PENANG 'IKAN PARANG'


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua !!!

Hari ni saya nak share resepi Kuah Laksa Penang. Nak tahu rahsia kuah laksa yang sedap ?   Mai nak habaq mai..... masukkan 1 ekor ikan gelama masam(ikan yang isi nya sedikit lembut tu) bersama-sama ikan yang direbus. Rebus dan mesin semua sekali. Tapi 1 ekor saja tau !

Satu lagi kalau dapat ikan parang lagi baik...lebih sedap, sebab ikan parang lebih manis dari ikan-ikan yang lain.. Kalau masak kuah ni saya jarang guna perasa tambahan. Lebih suka rasa manis ikan itu sendiri.

Ok lah jom kita semak RESEPI ...

BAHAN A (Campur semua, Rebus, Mesin dan Tapis)
1.5 Kilo Ikan Parang segar  Boleh juga diganti dengan ikan temenong atau sardin jika tiada ikan parang)
1 ekor Ikan  gelama Masam (Ikan kering yang lembut/gebu isi nya bila dipegang)

BAHAN B (Campur semua dan Mesin)
15 biji cili kering
sedikit belacan .. sebesar 2 ibu jari tangan
20 ulas bawang merah kecil

BAHAN C
1 ketul lengkuas..sebesar saiz 3 ibu jari tangan (ketuk)
5 batang serai (ketuk)
2 kuntum bunga kantan (belah 2 atau 4 mengikut saiz)
Daun selom
6-7 keping asam keping / gelugur (Saiz sederhana)
sedikit garam

BAHAN D
1 kilo Laksa beras (direndam 1 jam dan direbus sehingga masak, kemudian ditapis dan dibasuh untuk mengeluarkan kanji lebihan)

BAHAN E
Daun Salat
Nenas
Telur rebus
Cili merah/Cili Padi
Bawang besar
Limau Kasturi
Daun Pudina
Timun

Cara-Cara Memasak Kuah :-
1. Satukan Bahan A,B dan C dalam periuk dan rebus sehingga masak.... Semudah 1,2,3.

* Selamat menjamu selera .....

Thursday, 23 May 2013

BIHUN SINGAPORE


Assalamualaikum dan Salam Sejahterasemua !!!

Menu BIHUN SINGAPORE' boleh disajikan sebagai sarapan pagi atau pon untuk minum petang.
Memang sedap bau udang kering dan lada hitam .umphhh terangkat !

Jom kita semak RESEPI .....

1/2 paket bihun (beras) di rendam 1/2 jam dan disejat
4 genggam taugeh segar

BAHAN A
sedikit minyak
15 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 biji bawang besar (ditumbuk)
1 sudu besar lada hitam (ditumbuk)
2 sudu besar udang kering (ditumbuk)
5 tangkai daun sup, dihiris sederhana panjang

BAHAN B
Fish Cake
Fish Ball
15 ekor udang hidup

BAHAN C
5-6 cawan air untuk dijadikan sebagai kuah (*kalau berkuah lagi sedap)
1 kiub Ayam KNOR
sedikit garam

BAHAN D (Untuk taburan)
1 biji cili merah
2 biji limau kasturi
Daun bawang
Daun sup
Kacang tanah yg telah digoreng

Cara-Cara Memasak:-
1. Panaskan minyak dalam kuali.
2. Masukkan bahan A dan goreng sehingga bawang menjadi hampir keperangan dan daun sup menjadi layu.
3. Masukkan bahan B dan seterusnya diikuti bahan C.
4. Setelah kuah mendidih masukkan bihun.
5. Sebelum angkat, masukkan taugeh. Kacau sedikit -sedikit dan terus di angkat. (Jangan dibiarkan lama kerana taugeh akan layu dan lembik).
6. Tabur bahan D sebelum dimakan.

* Selamat menjamu selera.....

Wednesday, 22 May 2013

FILLET IKAN PEDAS MASAM-MASAM MANIS


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua...

Menu tengahari yang serba ringkas  'FILLET IKAN PEDAS MASAM-MASAM MANIS'.  Jom kita semak RESEPI .....

BAHAN A
Filet Ikan atau Nuget ikan (Ramly)

BAHAN B
sedikit minyak untuk menumis
2 ulas bawang merah (dihiris nipis)
2 ulas bawang putih (dihiris nipis)
Sedikit halia (dihiris nipis)

BAHAN C
1/2 sudu besar lada hitam (ditumbuk)
Sedikit Sos Cili LIFE
Sedikit air
Sedikit garam

BAHAN D
1 biji Timun (dibuang bahagian tengah)
2 biji bawang besar
15-20 biji cili padi
Nenas Tin - 1 Tin (Nenas tin lebih manis rasanya)

Cara-Cara Memasak:-
1. Goreng Filet Ikan atau Nuget ikan (Ramly) sehingga masak dan angkat dari kuali.
2. Dalam kuali berasingan tumis bahan B dan goreng sehingga keperangan.
3. Masukkan bahan C dan biar ia kembali mendidih.
4. Masukkan bahan D dan Fillet Ikan yang telah digoreng tadi.
5. Kacau sedikit-sedikit dan terus angkat untuk memastikan kesegaran sayur.

* Selamat mejamu selera .....

Tuesday, 21 May 2013

KARI KEPALA IKAN 'NYOK-NYOK PUTIH'



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera !!!

Hari ni saya nak share resepi KARI KEPALA IKAN NYOK-NYOK PUTIH

RESEPI dengan sedikit kelainan dari biasa...menggunakan sedikit halia semasa menumis dan tambahan cili kering supaya lebih pedas dan lebih kickkkkkk.

Jom Kita semak Resepi .......

2 biji Kepala ikan NYOK-NYOK Putih

BAHAN A
3 tangkai daun kari
6 ulas bawang putih (di tumbuk)
1 biji bawang besar atau 8 ulas bawang merah kecil (di tumbuk)
1 sudu besar halba campur
Halia sebesar Ibu Jari (di hiris halus)

BAHAN B
1 biji bawang besar (ditumbuk)
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 sudu besar jintan manis (di sangai dan di tumbuk halus)
1 sudu besar jintan putih (di sangai dan di tumbuk halus)
1/2 sudu besar lada hitam (di tumbuk halus)
Rempah serbuk ikan babas 4 sudu besar (penuh/bun-bun)
10 biji cili kering (mesin halus)
80 gram asam jawa + air dan di perah empat kali akan di campur kedalam bahan rempah diatas

BAHAN C
Santan dari 1/2 biji kelapa- Kalau suka

BAHAN D (menjadikan kari lebih sedap dan menyelerakan)
1 biji tomato biji di belah 2
5 helai daun bawang di kerat panjang
cili hijau besar 2 biji dibelah 2 dan di buang biji

Cara-Cara Memasak:-
1. Panaskan 3/4 cawan minyak. Pastikan minyak betul betul panas
2. Masukkan Bahan A dan kacau jangan biar hangit.sehingga kekuningan dan wangi
3. Masukkan Bahan B yang telah di adun dan besar kan api.
4. Apabila tumisan tadi mendidih ~ 5 minit, kecilkan api dan biarkan ia sedikit kering dan naik minyak.
    Setiap 5 minit kacau supaya tidak hangit dan berkerak
5. Masukkan Bahan C, Kacau-kacau supaya rempah sebati dengan santan
6. Terus masukkan kepala ikan, bendi, tomato biji, daun bawang dan cili hijau/merah tadi. Kecilkan api dan biar ikan bersama-sama bendi masak perlahan-lahan.

TIPS penting: Jangan sekali-kali kacau/aduk kari ini, kerana ikan-ikan aka hancur.
Untuk pastikan kari masak dengan serata, cuma perlu goyangkan periuk mengikut putaran jam(atau kekiri kekanan)

Friday, 17 May 2013

PUDING PANDAN BUAH NAGA


Assalamualaikum dan Salam di hari Jumaat !!!

Menu untuk hari ini serba ringkas ia-itu PUDING BUAH NAGA. 
Sedap dimakan sebagai sajian pencuci mulut... selepas makan tengahari.Cuba lah !!!

Kali ini saya menggunakan buah naga putih dengan perasa pandan. SEDAP !
Jika menggunakan buah naga merah, puding ini boleh diperasakan dengan Strawberry atau pon Ros.

Jom kita semak RESEPI .....

BAHAN A
5 gram agar2 tali (agar-agar biasa tu...)
660 ml air
70 gram gula putih
3 helai daun pandan
sedikit pewarna hijau
sedikit perasa pandan (tambahan )
1/2 biji buah naga (putih) - dilenyek halus (Jangan di mesin ya..)

Cara-Cara Membuatnya:-
1. Satukan agar-agar, air dan daun pandan didalam periuk dan masak. Dikacau rata sehingga mendidih dan agar2 larut.
2. Masukkan gula dan pewarna hijau. Sentiasa kacau supaya gula cepat larut.
2. Angkat dan Tapis kedalam bekas yang lain
3. Masukkan kembali kedalam periuk dan masukkan buah naga dan perasa pandan dan masak lagi ~  5 minit lagi.
4. Angkat dan tuang kedalam acuan.
5. Sejukkan dalam peti sejuk ~ 3 jam sebelum dihidangkan.

* Selamat menjamu selera ...BEST !!!


 

Thursday, 16 May 2013

TUMIS-TUMIS TAUHU BERAROMA


Assalamualaikum dan Salam sejahtera semua !!!

Hari ini saya nak kongsikan menu lauk tengahari   ... 2 dalam 1. Boleh dijadikan sebagai lauk juga sebagai sayur.

Emm..... saperti biasa kalau anda perasan, kebanyakan lauk-pauk yang saya hidangkan amat simple, tak banyak ramuan yang diguna dan untuk menyediakannya pon amat mudah sekali.  Langkah  1,2,3 4,5 dah siap !

Bagi saya tak semesti nya kita perlu menggunakan pelbagai bahan dalam masakan untuk menjadikan ia sedap. Yang penting apa bahan yang kita gunakan dan teknik-teknik kita memasak.
Contohnya,
1. Masakan akan menjadi kurang sedap jika bawang di mesin dalam blender berbanding jika di tumbuk.
2. Bahan tumisan mestilah betul-betul garing sebelum memasukkan bahan-bahan lain.
3. Rempah tumis mestilah  benar-benar masak sehingga terbit minyak yang banyak.
4. Api yang besar/kecil semasa memasak
5. dan banyak lagi....

OK lah ... Jom kita semak RESEPI  hari ini

BAHAN A
1/2 kilo daging (direbus sehingga empok dan dihiris nipis)
6 keping tauhu (dipotong 3 segi)
4 helai daun limau purut.

BAHAN B
Sedikit minyak untuk menumis
2 tangkai daun kari
3 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
5 ulas bawang putih (ditumbuk)
4 biji bawang besar (ditumbuk)
1/2 camca besar lada hitam (ditumbuk)
2 batang serai (diketuk)

BAHAN C
Air rebusan daging + Air (sebagai kuah) anggaran 3 gelas

BAHAN D
2 biji cili merah (diketuk lebam-lebam)
1 kiub daging Lembu KNOR
sedikit garam

Cara-Cara Memasak:-
1. Daging direbus sehingga empok dan dihiris nipis.
2. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis Bahan B sehingga hampir keperangan.
3. Masukkan Bahan C iaitu air dan masak sehingga ia mendidih.
4. Seterusnya masukkan Bahan D, tauhu dan daging.. teruskan memasak sehingga ia mendidih kembali.
5. Sebelum angkat masukkan daun Limau purut. .. SIAP

* Selamat menjamu selera ...

Monday, 13 May 2013

MOMORDICA CHARANTIA CRUNCHY



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua !!!

Suspen ! Suspen ! Suspen!
Sebenarnya peria goreng aja  heheheh....
'MOMORDICA CHARANTIA' adalah nama scientific untuk peria.

Sedap Sangat-sangat !!! RANGGUP di bahagian luar tetapi LEMBUT di bahagian dalam. Rasa pahit dah tak terasa / tenggelam dek kerangupan dan keenakkan perencah.
BESTssssssss  sangat-sangat. Lagi-lagi kalau makan panas-panas selepas diangkat dari kuali... Lebih sedap dari Goreng pisang panas.

Resepi kali ini dibuat sedikit kelainan dimana ditambah hirisan daun kari untuk menaikkan aroma.

Jom kita semak RESEPI .....

1 biji Peria - Potong bulat dan di buang biji nya

... Campur semua (Kecairan adunan saperti untuk goreng Pisang.. Pekat)
1 cawan Tepung Beras
Air Kapur 1 sudu makan (Air saja ya.. bukan kapur nya)
2 biji telur
1 sudu teh Jintan Manis (Tumbuk halus)
1 sudu teh Jintan Putih (Tumbuk halus)
1 sudu teh Lada Hitam/Putih (Tumbuk Halus)
1 kiub Ikan bilis KNOR
3 tangkai daun Kari (dihiris nipis-nipis dan halus)
Garam

Sedikit kunyit
Sedikit air

Minyak untuk menggoreng

Cara-Cara Memasak:-
1. Panaskan minyak
2. Celupkan peria kedalam adunan dan goreng.
3. Pastikan adunan kekuningan dan garing sebelum di angkat.
 
* Selamat menjamu selera .....

STRAWBERRY CHEESE TART


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua !!!


Hari ini kita layan sekali lagi Tart Cheese tetapi kali ini ia berperisa 'Jem Strawberry' la pulak.
Haiiii..... tak jemu-jemu makan biskut dan kek yang ada cheese.........siap lah badan !!!

Resepi nya sama saperti 'Cheese Tart Nenas' yang lalu....

Kulit Tart  (1/2 adunan untuk sukatan Cheese dibawah)
Acuan Tart
100 gram butter
75 gram Icing Sugar (Kalau nak buat pada hari yang sama, gunakan Icing Sugar. Tetapi jika nak buat keesokkan hari, boleh guna castor sugar).
1/2 biji telur gred B
200 gram Tepung gandum
sedikit esen vanila

Cara-Cara Mengadun Kulit:-
1. Kacau butter dengan spatula atau senduk kayu sehingga butter lembut.
2. Masukkan ising sugar, adun <> 3 minit biar rata.
3. Masukkan telur, terus adun <> 3 minit juga.
4. Akhir sekali masukkan tepung.
5. Tutup mangkuk adunan dengan tuala lembab dan simpan <> 1 jam sebelum ditekap pada acuan.

6. Sapu sedikit shortening pada acuan (permulaan sahaja. Sekiranya acuan digunakan untuk kali seterusnya tidak perlu sapuan shortening lagi)
7. Ambil adunan sebesar ibu jari dan tekan dalam acuan.
8. Bakar dalam oven suhu 150 C (suhu atas dan bawah) selama 1/2 jam atau sehingga kulit tart bertukar keperangan sedikit
9. Segera keluarkan dari acuan (untuk mengelakkan kesukaran jika ia dah sejuk).

Filling
Jem Strawberry (Boleh gunakan perbagai jenis jem mengikut kesukaan)

Cheese (Sumber: Azlita )
250gm cream cheese
50gm gula kastor
1 biji telur Saiz B
½ sudu teh esen vanilla / esen lemon

Cara-Cara Mengadun Cheese:-
1.Keluarkan cream cheese 20 ~ 30 minit sebelum digunakan. JANGAN biarkan cream cheese mencapai ke suhu bilik.
2. Putar cream cheese dan gula hingga berkrim.
3. Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi.
4. Putar dia sampai berkilat jangan terlebih putar nanti ia terlalu cair dan tak cantik bila kita letak dalam shell sebab dia flat tak munjut2.
Jangan sekejap sangat pulak nanti dia tak licin tak cantik jugak! jadi yg sedang2 aje nampak berkilat tu dah OK!

5. Pipekan Jem kedalam Kulit Tart,
6. Kemudian Pipekan pula Cheese.
7. Bakar dalam oven api atas dan bawah dengan suhu 150C selama ~ 20-30 minit. Agak-agak cheese dah tak melekat di hujung jari boleh lah diangkat.

* Selamat menjamu selera ...





Saturday, 11 May 2013

MEE HAILAM CENDAWAN BUTANG



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua...

Menu mee kali ini memang amat special. Apa yang special nya  .. ??? Emmmm memang berbaloi-baloi sedap !!!.'Mee Hailam Cendawan Butang'.

Tentu pernah makan Mee Hailam kan ?    Tapi pernah buat  sendiri tak ? Kalau tak tahu, atau pon pernah buat sendiri, jom cuba resepi ini pula...

BAHAN A (Pastikan di tumbuk. Bukan nya dikisar)
4 ulas bawang putih
2 biji bawang besar

BAHAN B **
5 tangkai daun saderi/sup (di potong <>1 cm)
1 sudu besar Lada hitam (ditumbuk)

BAHAN C **
Kicap pekat
Sos Tiram
Sedikit garam (Jika kurang masin)
1 kiub KNOR 'Daging Lembu'
Air dari Rebusan Daging
Air dari tapisan kulit udang (BAHAN E)

BAHAN D
Cendawan Butang di rendam 1-1.5 jam. Di ganti/buang air nya beberapa kali untuk menghilangkan bau

BAHAN E **
Udang hidup direbus BERSAMA kulit dan kepala (Buangkan tahi udang dulu yee..).
Asingkan isi udang dari kepala dan kulit.
Kulit dan kepala udang di goreng dengan sedikit minyak sehingga garing dan di mesin halus.
Tapis untuk di ambil air nya SAHAJA
Daging di rebus dan di potong nipis

BAHAN F
Sedikit sayur spt gobis/carrot

BAHAN G
Sedikit Tepung jagung di bancuh dengan sedikit air untuk memekatkan kuah

BAHAN H
Mee kuning basah
Taugeh

BAHAN I (Bahan Hiasan/Penyedap)
Limau Kasturi, cili potong, bawang goreng, daun bawang,telur rebus dan tauhu goreng

Cara-Cara Memasak :-
1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan A sehingga garing dan wangi.
2. Masukkan bahan B. Kacau sehingga daun saderi BETUL-BETUL layu/kecut (1/4 garing).
    Nota Penting: Daun Saderi menjadikan kuah berbau harum dan enak.
3. Masukkan bahan C dan D. Biar ia mendidih dan cendawan masak.
4. Masukkan bahan E dan F.
5. Biar kuah mendidih kembali dan masukkan bahan G.
6. Pastikan kuah mencukupi... jika terlalu pekat bolehlah ditambahkan sedikit lagi air kerana mee hailam agak berkuah.
7. Masukkan mee, gaul rata dan terus hidang.
8. Semasa menghidang tabur dengan bahan I.

Nota: Yang bertanda ‘**’ adalah penting dalam penyediaan Mee Hailam

*Selamat menjamu selera .....

Thursday, 9 May 2013

SAMBAL BUAH KUININ & GORENG GELAMA MASAM



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua ...

Menu tengahari yang paling-paling ringkas tetapi memang amat-amat menyelerakan. Kalau makan dengan nasi panas berasap-asap, boleh siap tambah  2, 3 pinggan ni.... Tak payah lauk lain pon dah tak apa....

Hehehe...menu malas masak tapi yang pasti perut memang amat kenyang.

Jom kita semak RESEPI ...

Sambal  Belacan Buah Kuini

BAHAN A (Ditumbuk)
4 biji Cili merah
6 biji cili padi
Sedikit belacan
sedikit garam

BAHAN B (Dicampur kedalam A diatas)

1 biji Limau kasturi (Diambil air nya)
1/2 biji Buah Kuinin yang manis (di rincik-rincik)
------------------
Goreng Gelama Masam Cili Bawang

1 ekor ikan gelama masam
10 biji cili kering (Dipotong kecil-kecil)
2 ulas bawang besar (dihiris sederhana tebal)
Sedikit minyak untuk menggoreng

Cara-Cara Memasak :
1. Panaskan minyak didalam kuali.
2. Goreng Ikan gelama masam sehingga masak.
3. Masukkan Cili kering dan Bawang dan terus goreng sehingga bawang layu dan boleh lah diangkat.

Selamat Menjamu Selera ...



Tuesday, 7 May 2013

APPLE CINNAMON CUP CAKE


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua !!!

Hari ni tekak ni terasa pula nak makan kek.. kebetulan masih ada apple yang berbaki dalam peti ais, lama-lama nanti kecut pulak. Peti ais sekarang ni bukan macam peti ais dulu-dulu. Simpan makanan dalam 3-4 hari sahaja dah kecut-mecut. Jadi fikir punya fikir ON je lah projek cup cake.

Hihihi... 'projek' celah dapur ja... bukan bukan projek juta-juta pon !

Jom kita semak RESEPI ...

BAHAN A
250 g butter
220 g gula kastor
1 sudu teh ovalete

BAHAN B
4 biji telur gred B
1 sudu teh essen vanila

BAHAN C (Ayak bersama)
260 g tepung roti (Jangan gunakan tepung gandum, kerana apple akan mendap ke bawah)
1 sudu teh baking powder
1/4 sudu teh sodium bicarbonate
1 sudu teh serbuk kayu manis

BAHAN D
250 g ~ 2 biji  Apple Hijau (Didadu kecil) '
* Elakkan menggunakan apple merah kerana ia cepat berair

Cara-Cara Mengadun:-
1. Masukkan butter, gula kastor dan ovalet kedalam mangkuk adun dan pukul dengan kelajuan maxima sehingga kembang.
2. Masukkan telur sebiji-sebiji sampai habis sambil dipukul dengan kelajuan yang sama.
3. Perlahan kan kelajuan dan masukkan essen vanila.
4. Masukkan pula bahan C sedikit demi sedikit sehingga habis. (Kelajuan paling perlahan)
5. Akhir sekali masukkan bahan D.
6. Kaup dan masukkan kedalam 'paper cup cake'.
7. Tabur dengan 'gula-gula bewarna' jika suka.
8. Bakar dalam oven dengan suhu 160 C selama 30-45 minit  atau sehingga kek masak.

* Selamat menjamu selera ...

Monday, 6 May 2013

KERABU MANGGA BUNGA KANTAN



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua !

Haa.. berlalu sudah Hari Pembuangan Undi..dan kini kita pon dah tahu keputusan nya kan...
Ada yang puas hati dan ada yang mengecewakan

Anda pulak, adakah anda telah menunaikan tanggungjawap anda semalam .. Jika ya ALHAMDULILLAH.
Kerana 1 undi anda menentukan hala-tuju kepimpinan negara kita.

Dikawasan saya ni semalam, jalan amattt-lah sesak, nak kata kereta banyak,  tak lah juga. Macam biasa saja. Tapi dek kerana penyokong-penyokong Parti yang berlegar-legar, ulang-alik.. ulang-alik.. ulang-alik.. hon-hon sana...hon-hon sini... pon-pon sana...pon-pon sini.... pin-pin sana... pin-pin sini.... teramatttttt lah riuh rendah dari pagi sampai lah kepetang walau pon dah tamat tempoh mengundi.
Emmmmmm nasib baik dekat nak magrib tu  hujan turun... tu pon masih dok hon-hon lagi. Dah hujan turun lebat baru lah berhenti.  Kalau tidak.... entah lah tak boleh nak tidur jawab nya.
Kawasan Permatang Pauh katakan...Kawasan HANGATTTTT

Okkkk... tak nak celoteh panjang, jom jengok menu kita hari ni 'Kerabu Mangga'...

BAHAN A
1 biji Mangga 1/4 masak (dipotong memanjang)
1 ulas bawang besar (dihiris sederhana tebal)
8 biji cili padi (dihiris halus)
1 kuntum bunga kantan (dihiris nipis)
2 batang serai (dihiris nipis)
3 helai daun limau purut (dihiris halus)
3 sudu besar gula putih
1/2 biji limau nipis (diambil air nya)
3 ketul ikan talang kering masin (digoreng dan ditumbuk hancur)
sedikit garam

Cara-Cara mengadun:-
1. Masukkan semua kedalam mangkuk dan gaul rata.
2. Siap untuk dihidangkan.
(Nota: Boleh ditabur dengan 'kacang goreng' tumbuk jika suka)

* Selamat menjamu selera ...

Saturday, 4 May 2013

CURRY IKAN KETUKA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ...

Biasa makan Ikan Ketuka ?
Ia adalah salah satu spesies ikan yang mirip seakan ikan pari, tetapi saiz nya agak kecil dan tulang nya lebih lembut dari ikan pari.

Boleh dimasak asam pedas atau dibakar dan dicicah dengan air asam atau sambal belacan. Emmmm... rasanya memang tersangat-sangat sedap, boleh tambah 2,3 pinggan nasi ni...

Tapi hari ni saya masak kari... orang penang katakan...ahaks...

Jom kita semak RESEPI .....

BAHAN A (Bahan Tumis)
sedikit minyak untuk menumis
3 tangkai daun kari
6 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 biji bawang besar (ditumbuk)
1 sudu besar halba campur

BAHAN B (Bahan Rempah)
1 biji bawang besar (ditumbuk)
5 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 sudu teh lada hitam (ditumbuk)
4 sudu besar (penuh/bun-bun) Rempah serbuk Kari ikan Babas
sedikit garam
60 gram asam jawa + air dan di perah 3 kali akan di campur kedalam bahan rempah diatas 


BAHAN C
3 ekor Ikan Ketuka (dipotong 4 setiap ekor)
2 cawan air sebagai kuah (menggantikan santan)

Bahan D (menjadikan kari lebih sedap dan menyelerakan)

10-15 Kacang Bendi
1 biji tomato biji di belah 2
5 helai daun bawang di kerat panjang
2 biji cili hijau besar dibelah 2 dan di buang biji

Cara-Cara Memasak:-
1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis Bahan A. Sentiasa dikacau supaya bawang tidak hangit dan masak sehingga kekuningan.
2. Masukkan bahan B yang telah di adun dan besarkan api.
3. Apabila tumisan mendidih <> 5 minit, kecilkan api sedikit dan biarkan rempah masak sehingga terbit minyak yang banyak. * Setiap 5 minit pastikan ia dikacau supaya tidak hangit dan berkerak .
4. Masukkan 2 cawan air dan kacau supaya rempah sebati dengan air. Dan terus masukkan Ikan, bahan D dan kecilkan api.
5. Biar gulai masak perlahan-lahan sehingga mendidih kembali dan diangkat.


* Selamat menjamu selera ....



Thursday, 2 May 2013

KEK LAPIS SARAWAK (HOLIDAY INN)


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua....

Hari ni saya nak share resepi 'Kek Lapis Sarawak Holiday Inn' yang sangat SEDAP. Dengan texture kek yang halus ditambah dengan kelemakkan dan wangian butter yang digunakan, juga kelembutan dan kelembapan kek bertambah dengan ada nya jem dalam bancuhan tersebut.

Kaedah untuk bancuhan adunan yang selalu saya praktikkan adalah cara bancuhan yang tidak cerewet.

Jom kita semak RESEPI .....(Nota: untuk loyang 8 x 8)

BAHAN A
100g Gula Halus
200g Jem Nenas
450g Butter
30g Ovalete
300g Susu Pekat Manis

BAHAN B
10 biji Telur Gred A

BAHAN C
270g Tepung Hong Kong

BAHAN D
Mewarna Hijau, kuning dan merah

Cara-Cara Mengadun:-
1. Pukul kesemua Bahan A sehingga kembang dengan kelajuan yang maxima.
2. Masukkan telur satu persatu sambil dipukul, juga dengan kelajuan sama sehingga habis
3. Masukkan tepung dan adun dengan kelajuan yang perlahan hanya untuk sebatikan saja.
4. Bahagikan kan kpd 3 bahagian di diwarnakan merah, kuning dan hijau.

Cara-Cara melapis:-
1. Sapukan sedikit margerin pada permukaan loyang.
2. Alaskan dengan kertas minyak.
3. Sendukkan adunan warna merah ke dalam loyang dan ratakan dengan sudu supaya ia serata tebal nya.
4. Bakar dalam oven menggunakan api atas sahaja dengan api yang sederhana besar.
5. Pastikan lapisan telah masak/bertukar warna sedikit anggaran masa 7-10 minit setiap lapisan baru dikeluarkan dari oven.
6. Tekan lapisan kek dengan alat penekan atau gelas yang rata untuk mengeluarkan angin jika ada.
7. Sapu sedikit butter di atas nya.
8. Ulang step 3-7 diatas untuk hijau, kuning, dan Merah kembali sehingga adunan habis.

TIPS: Pastikan kek benar-benar sejuk sebelum dikeluarkan dari tin.

* Selamat menjamu selera .....

Wednesday, 1 May 2013

MOI LEMAK-LEMAK BERDAGING


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua !

Selamat 'Hari Pekerja kepada semua... terutama kepada kakitangan kerajaan, kakitangan swasta, surirumah-surirumah, yang bekerja sendiri dan kepada sesiapa saja yang rasa diri nya bekerja walau pon dengan membuat kerja-kerja atau urusan-urusan yang berkaian dengan rumahtangga....semua nya bekerja.
Kepada yang tak bekerja, asyik tidur dan beristirehat aja,  tak boleh nak rayakan hari ni lah  hihihih....

OK lah sarapan apa cuti-cuti ni ??? Makan Moi nasi  sedap juga. Dengan rasa lemak-lemak Santan, dicampur dengan sedikit daging lebih kurang macam bubur lambuk lah juga. Sesuai sangat kepada yang rasa badan tu tak berapa nak sihat atau yang kurang berselera nak makan...

Jom kita semak RESEPI .....

BAHAN A
1 cawan Beras
7 cawan air
sedikit halia (dihiris memanjang)
1/2 sudu teh 'halba sahaja'
1 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
1 batang kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
1/2 keping daging kisar (jenama RAMLY)

BAHAN B
1kiub pati Daging KNOR
1/2 cawan santan pekat
Daun bawang
Daun sup
Garam

BAHAN C
Bawang goreng
Cili potong/cili padi
Tambahan daun bawang/daun sup

Cara-Cara Memasak:-
1. Satukan bahan A dalam periuk dan rebus. Sentiasa dikacau selalu supaya beras cepat hancur.
2. Setelah nasi dah hancur dan pekat, masukkan bahan B.
3. Bila bubur kembali mendidih, boleh lah diangkat.
4. Sebelum makan, taburkan bahan C.

* Selamat menjamu selera .....